PERUBATAN
4,400 kes amputasi di Australia setahun akibat diabetes
MELBOURNE – Australia berdepan darurat kesihatan dalam usaha memerangi penyakit diabetes selepas data baharu mendedahkan lebih 4,400 kes amputasi terpaksa dilakukan pada setiap tahun, menurut agensi berita China, Xinhua.
Dilabelkan sebagai krisis diabetes Australia, statistik terbaharu itu mendedahkan sekurang-kurangnya 12 kes pembedahan membuang anggota badan atau amputasi dilakukan terhadap penghidap diabetes pada setiap hari di seluruh negara dan melibatkan kos ratusan juta dolar saban tahun.
Pada majilis pelancaran Minggu Diabetes Kebangsaaan di Melbourne kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif Diabetes Australia, Greg Johnson berkata, Australia perlu mula memandang penyakit itu secara serius.
“Sistem kesihatan di Australia berdepan bebanan akibat penyakit kronik, terutamanya kes diabetes jenis kedua.
“Masalah ini kritikal dibuktikan dengan lebih 4,400 kes amputasi di Australia pada setiap tahun,” kata Johnson.
“Pakar-pakar meramalkan perbelanjaan bagi kes amputasi dan kos-kos lain berkaitan penyakit diabetes adalah kira-kira 875 juta dolar Australia (RM2.6 bilion) setahun,” tambahnya.
Beliau berkata, sikap orang ramai yang memandang rendah penyakit diabetes dan tidak menyedari hubungan diabetes dan amputasi adalah membimbangkan. - Bernama
No comments:
Post a Comment