Friday, April 08, 2016

PAN BORNEO: Utamakan Kualiti Dan Kemudahan - PAS Sabah

 

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah menyambut baik perancangan kerajaan untuk membina lebuhraya Pan-Borneo yang akan menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei. Walau bagaimanapun, PAS Sabah menyarankan kepada kerajaan agar memberi penekanan kepada beberapa perkara;

Satu:

Pihak kerajaan diminta mengutamakan kepada kualiti pembinaan dan struktur jalanraya. Berdasarkan kepada pemerhatian PAS Sabah, pembinaan jalanraya utama seperti jalanraya Kota Kinabalu-Kimanis-Keningau dan jalanraya Kota Kinabalu-Sepulut-Kalabakan, kerajaan seolah-olah tidak mengambil berat soal kualiti dan keselamatan. 

PAS melihat kos jutaan ringgit yang dibelanjakan untuk pembinaan jalanraya seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk keselesaan dan keselamatan pengguna. Kebanyakan jalan yang dibina antara 2 hingga 5 tahun sudah mengalami kerosakan.

Dua:

Kerajaan diminta menyediakan kemudahan yang mencukupi untuk keperluan pengguna. Berdasarkan contoh jalanraya Kota Kinabalu-Kimanis-Keningau- Kalabakan, pihak berkuasa tidak menyediakan kemudahan yang sempurna kepada pengguna. 

PAS amat berharap kerajaan menyediakan kemudahan yang sempurna seperti kemudahan Rehat dan Rawat(R&R) seperti yang terdapat di  lebuhraya di Semenanjung Malaysia.  PAS Sabah melahirkan rasa terkilan apabila terdapat jalan-jalan utama di Sabah yang tidak disediakan kemudahan seperti surau, medan selera dan tandas yang sempurna oleh pihak berkuasa.

Tiga

PAS Sabah amat mengharapkan supaya pihak berkuasa menyegerakan penyelenggaraan terhadap sebarang kerosakan yang berlaku ke atas jalanraya yang dibina. Sepanjang pemerhatian kami, kebanyakan jalanraya di Sabah, termasuk jalan-jalan utama tidak diselenggara dengan baik. 

Jalan-jalan yang tidak rata dan berlubang seolah-olah sudah menjadi suatu kebiasaan ke atas jalanraya di Sabah. Ini pasti akan mendatangkan kesan negatif khususnya boleh menyebabkan kemalangan.

Akhirnya, PAS Sabah mengharapkan agar peruntukan pembinaan lebuhraya ini digunakan dengan sebaiknya dan pengguna mestilah diutamakan dalam sebarang keputusan yang dibuat.

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah 
6 April 2016

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails