Saturday, February 27, 2016

Kini Giliran PKR Pula Dicelarukan DAP..


Jarum politik DAP demi menjadi taiko Pakatan Harapan

[ULASAN] Kepimpinan PKR kini bercelaru. Apabila disergah oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, respons PKR bersifat amatur. Sekaligus ini mengancam  keyakinan rakyat akan potensi PKR menjadi kuasa politik besar di hari muka.
Yang pasti Guan Eng tahu apa yang dilakukannya. Dengan memecat dua ADUN PKR dari lembaga pengarah dua agensi kerajaan negeri, Ketua Menteri Pulau Pinang itu berpeluang mencongak reaksi PKR.

Apa yang mahu dipastikan ialah cara dan gaya PKR memberi reaksi. Guan Eng mahu mengukur adakah solidariti dalam kepimpinan PKR utuh apabila diuji. Beliau juga mahu kepastian siapa sebenarnya pemimpin de facto PKR. 

Justeru Guan Eng menggunakan isu pemecatan itu sebagai umpan -- taktik yang digunakan beliau menduga solidariti dan perpaduan dalam PAS. 

Objektif beliau ialah meninjau dan melapah kesepaduan dalam kepimpinan PAS. Ini dimulakan dengan  mengkritik hebat presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Yang pasti, Guan Eng memang sudah menghidu keresahan di kalangan pimpinan PAS terhadap pemikiran dan halatuju politik Haji Hadi. Kawan-kawannya dalam pimpinan PAS memang ramai. 

Paling akrab ialah Timbalan Presiden PAS ketika itu, Mohamad Sabu. Keakraban ini dizahirkan dalam video bersama Mat Sabu yang tersebar luas dalam Youtube. 

Berikutan itu tidak sukar bagi Guan Eng menilai kekuatan PAS dan meraih keuntungan maksimum daripada “krisis yang semakin meruncing” dalam parti itu sejak berakhirnya pilihan raya umum ke-13 Mei 2013.

Perbalahan berhubung isu hudud di antara PAS dan DAP meyakinkan Guan Eng bahawa DAP memerlukan PAS yang “memahami” pendirian dan perjuangannya. Mujur ada Mat Sabu. PAS akhirnya dapat dilonglaikan dengan tertubuhnya  PAN.

Kini Guan Eng beralih pada PKR pula. Ketika Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, masih bebas, Guan Eng dan DAP sedar banyak faedah jika bekerjasama dengan PKR dan PAS. Hakikat itu terbukti dalam PRU12 dan ke-13.

Bagaimanapun selepas 10 Februari 2015, Anwar sudah tiada dalam senario politik Pakatan Rakyat. Maka demi “keselamatan dan kepentingan DAP” kritik tajam dan pedas terhadap Hadi berjaya mencapai objektifnya – PAS berpecah.

Kini sudah lebih setahun Anwar di luar gelanggang politik Malaysia. Guan Eng perlu menentukan di mana kedudukan dan pengaruhnya dalam Pakatan Harapan. 

Namun sebelum itu, beliau mahu kepastian adakah akan muncul ikon atau “pemimpin fikiran” baru dalam PKR yang boleh duduk di kerusi Anwar. Jika ada, silat politiknya akan sedikit berbeza.

Tanpa tokoh yang boleh merapatkan saf politik DAP, PAN dan PKR seperti kaliber Anwar, DAP menjangka lebih banyak perang gerila politik akan berlaku dalam Pakatan Harapan. 

Perselisihan faham dalam pakatan itu semakin nyata. Ada ADUN PKR yang merajuk dan mendakwa kerajaan DAP Pulau Pinang mengabaikan sokongan dan bantuan kepada pengundi-pengundi kawasannya. 

Kemudian ada sekelompok ADUN PKR berkomplot cuba mengaibkan kepimpinan DAP di Dewan Undangan Negeri dengan tidak menyokong dasar kerajaan pimpinannya sebaliknya berkecuali terhadap usul Umno.

Dalam kes itu, PKR dilihat bukan sahaja mempertahankan pendirian kelima-lima ADUNnya, malah langsung tidak sensitif dengan keserba-salahan DAP kerana maruahnya secara tidak langsung dicabar oleh kerabat politiknya. 

Ini diekori dengan keputusan kerajaan Selangor pimpinan PKR yang tidak mengacuhkan syor DAP untuk melantik ahli majlis pimpinan Selangornya, Dr Aziz Bari menjadi ahli Majlis berkuasa kerajaan tempatan. 

Seperti pengalamannya dengan PAS, Guan Eng mempunyai banyak maklumat apa yang berlaku dalam PKR. DAP melihat mutakhir ini, banyak kritik dilemparkan oleh ahli dan pemimpin PKR sendiri terhadap Timbalan Presiden mereka. 

Datuk Seri Azmin Ali secara moralnya, dicabar dari banyak penjuru. Guan Eng lantas mengambil kesempatan mengukur kesepaduan dalam kepimpinan PKR. Maka beliau menggugurkan dua ADUN PKR dalam dua anak syarikat kerajaan Pulau Pinang. 

Reaksi pertama datang daripada Azmin. 

“Biro Politik PKR buat keputusan, kita membantah sebarang tindakan terhadap ADUN dan kita akan mempertahankan mereka yang menggunakan DUN untuk memberikan pandangan dan maklum balas.
“Mereka bukan buat fitnah tetapi sebagai ADUN mereka memberikan maklum balas dan pandangan. Perkara ini perlu diraikan dan tidak perlu diambil tindakan,” katanya.

Biro Politik lazimnya dipengerusikan oleh presiden, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail. Seharusnya beliaulah yang patut menimbulkan isu pengguguran kedua-dua ADUN PKR itu kepada DAP.

Pucuk dicita ulampun tiba. Guan Eng segera melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Azmin mengenai pemecatan dua ADUN PKR Pulau Pinang sebagai pengarah syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

Guan Eng sinis dalam isu itu dengan berkata, isu-isu berbangkit dalam Pakatan Harapan dibincangkan secara tertutup dan menteri besar atau ketua menteri tidak pernah campurtangan dalam urusan negeri yang diterajui oleh Pakatan.

"Pernahkah anda melihat saya mengulas mengenai hal ehwal negeri lain yang ditadbir oleh Pakatan?,” ujar Guan Eng.

Malangnya, presiden PKR tidak bersikap pro-aktif dalam isu ini. Beliau seolah-olah enggan menyatakan pendiriannya berhubung isu itu. Maka semakin jelaslah di benak Guan Eng duduk perkara kepimpinan PKR.

Maka dilepaskanlah satu lagi panah politik terhadap PKR.

"Setakat ini, tiada penjelasan bagi tindakan mereka. Jika (bekas Menteri Besar Selangor) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disingkirkan kerana beliau terus enggan melaksanakan keputusan parti, maka prinsip yang sama terpakai (di Pulau Pinang)," kata beliau. 

Selepas ini Guan Eng akan terus meneliti apakah sebenarnya ada masalah komunikasi dalam kepimpinan PKR. 

Yang pastinya Guan Eng melihat di bawah pimpinan Azmin, semua aktiviti yang telah disusun untuk mengabadikan aura dan karisme Penasihat Ekonomi Selangor, Anwar Ibrahim, langsung tidak bergerak atau dirasai. 

Ditokok dengan pelbagai kritik dari akar umbi terhadap kepemimpinan Azmin, Guan Eng kini tentu sedang menganalisis kumpulan mana yang lebih dominan dan berpengaruh dalam PKR kini. 

Azmin ada kuasa di Selangor tetapi tidak berusaha menyebarkan aura dan kepimpinan Anwar. Sementara Wan Azizah sebagai presiden agak lemah memikul tanggungjawab itu hingga kelu mempertahankan dua ADUNnya di Pulau Pinang. 

Mungkin ini berlaku kerana tiada dana, agaknya. 

Apabila sudah pasti di mana dan pada siapa pusat kuasa PKR, Guan Eng akan mengatur bagaimana menjadikan PKR berpecah belah dan setiap kumpulan pimpinan parti itu “berbaik” dengan DAP untuk sokongan moral dan politik. 
Ketika itu, DAP akan menjadi peneraju mutlak Pakatan Harapan. (Antarapos)


3 comments:

Anonymous said...

Pkr celaru. Dap jugak yg salah. Nasib jadi dap. Hidup dap. Haha

Anonymous said...

pecah dan perintah...senjata utama dlm politik sejak dulu lg.

Anonymous said...

Parti sendiri. Sendiri jagalah. Awat dok salahkan parti lain. Dulu pas berpecah pun salahkan dap jugak. Hudud tak laksana pun salah dap. Inilah gaya fikiran olamak pas dan wala unta nye. Kahkah

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails