Sunday, February 21, 2016

DAP Mahu Jadi Ketua, Itu Punca Masalah. –Dr Kamarul Zaman Yusoff.


KOTA BHARU – Masalah dalam PR sebelum ini berpunca daripada keinginan DAP untuk menerajui pakatan tersebut dalam masa sama tidak mahu Pas menjadi peneraju, kata penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff.
Menurutnya, beliau bersetuju dengan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendedahkan kelantangan DAP menentang Pas bukan disebabkan hudud semata- mata sebaliknya tidak mahu Pas menjadi ketua dalam mentadbir negara pada masa hadapan.
[ARTIKEL BERKAITAN: DAP tak mahu Pas jadi ketua]
“Perkara ini bukan suatu yang baru, kerana DAP sudah sekian lama melakukan tindakan menggambarkan mereka ingin menjadi ketua, memang betul apa yang diperkatakan Datuk Tuan Ibrahim (DAP punca perbalahan PR), malah berdasarkan perkembangan semasa tidak mustahil jika perkara sama berlaku dalam Pakatan Harapan kelak.
“Bukan sahaja dalam bab hudud, tetapi dalam beberapa isu lain seperti pilihan raya kerajaan tempatan, penukaran agama anak dan hak orang Islam untuk keluar dari agama pun DAP lebih cenderung membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada rakan komponen lain,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Menurutnya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan pada 2 November 2014 lalu pernah mengumumkan perancangan menubuhkan kerajaan negeri di Kuala Lumpur jika berjaya menguasai Putrajaya yang dibuat tanpa berunding dengan Pas dan PKR.
Kamarul Zaman mendakwa, hasrat DAP untuk menjadi ketua turut terserlah dalam tindakannya mengemukakan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan menjadikan parti itu lebih dominan dalam politik negara apabila kawasan bandar dikuasai dapat dipecahkan kepada kawasan kecil.
“Selain itu, keinginan DAP itu juga jelas kelihatan di Selangor sejak Oktober 2015, bila Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, mengumumkan hasrat meletakkan calon di lapan kerusi Dun yang kini dikuasai Pas pada PRU14 nanti,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Kluster Perpaduan Ummah, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) berkata, situasi sama boleh dilihat di Sarawak apabila DAP mengumumkan untuk bertanding di 21 kerusi Dayak dalam PRN itu sedangkan kebanyakan kerusi tersebut sebelum ini ditandingi oleh PKR.
“Ini belum dikira lagi usaha DAP cuba menerobos kawasan pendalaman Melayu Bumiputera di tempat-tempat lain selain kesungguhannya merekrut Melayu untuk menyertai mereka yang kesemuanya menunjukkan hasrat DAP untuk menjadi parti dominan dalam pakatan pembangkang,” katanya.
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia itu berkata, ini kerana DAP mempunyai ideologi dan pendirian yang jelas serta tegas dalam isu-isu tertentu menyebabkan pemimpinnya sukar menerima pandangan pemimpin daripada rakan komponen lain.
“Sikap pemimpin DAP yang sentiasa menganggap diri lebih baik daripada pemimpin pembangkang menyebabkan mereka ingin menonjol dalam hampir kesemua isu yang secara tidak langsung menampakkan mereka sedang meletakkan diri sebagai ketua,” katanya – SH

3 comments:

Anonymous said...

Sama2 ketua kluster
Kenalah menyokong

Ttg dap nk tanding 8 kerusi tu,
Kena tgk siapa buat cabaran dlu yg nk naduk tpt dap.

Aku penjilat dap lge?
Wakakakaka
Mana yg lebih adil
Berbanding mana yg lebih auta

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
Unknown said...

Yg penting pan dah tertubuh.. pas sekarang dah bebas dr geng pengacau..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails