Tuesday, September 29, 2015

Taliban Tawan Kunduz, Bandar Utama Afghanistan.

REUTERS - ANGGOTA tentera Afghanistan berkawal ketika pertempuran dengan Taliban di wilayah Kunduz, Afghanistan semalam.


KUNDUZ – Kumpulan Taliban menawan sebahagian daripada sebuah bandar utama di Afghanistan, kata seorang wartawan agensi berita AFP dan beberapa pemimpin setempat.
Kemaraan Taliban ke bandar Kunduz , dalam wilayah Kunduz itu adalah yang pertama sejak Amerika Syarikat (AS) menawan Afghanistan pada 2001.
Kunduz yang terletak di sekitar 150 kilometer ke utara Kabul merupakan bandar kelima terbesar di Afghanistan.
“Kumpulan Taliban telah menawan kejirana kami yang merupakan sebahagian daripada bandar Kunduz. Saya dapat melihat pejuang-pejuang mereka di merata-merata tempat,” kata wartawan berkenaan.
“Taliban melancarkan serangan ke atas Kunduz dari segenap sudut bermula pukul 3.00 pagi semalam (kelmarin).
“Taliban kini berada kurang 1 kilometer dari pusat bandar Kunduz,” kata seorang pemimpin setempat.
Kepungan itu berlaku sehari selepas serangan bom pada perlawanan bola tampar yang mengorbankan 13 orang.
Selain Taliban, kumpulan militan Islamic State terlibat dalam serangan ke atas pasukan polis di timur negara itu.
“Sejumlah 20 militan Taliban terbunuh dalam pertempuran di beberapa bahagian di Kunduz dan empat anggota pasukan keselamatan Afghanistan disahkan cedera,” kata jurucakap polis wilayah Kunduz, Sayed Sarwar Hussaini sebelum kemaraan Taliban.
Menurutnya, pertempuran antara anggota keselamatan Afghanistan dan militan Taliban berlaku di Khanabad, Char Dara dan Imam Sahib yang merupakan pintu masuk utama ke bandar Kunduz.
Sementara itu, jurucakap Taliban, Zahibullah Mujahid berkata, pejuang mereka telah menawan beberapa pusat pemeriksaan keselamatan dan membunuh 12 tentera Afghanistan.
Anggota tentera dan polis Afghanistan yang dilatih Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berjuang menentang militan Taliban tahun ini tanpa bantuan daripada pakatan NATO. – AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails