Wednesday, July 08, 2015

Najib Tak Perlu Undur Masa Siasatan -Kata B/Peguam Negara. Lega! (87)

Bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman berkata prinsip seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah perlu digunakan dalam kes melibatkan Datuk Seri Najib Razak. - Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Julai, 2015.

LIHAT pendedahan ini, Perdana Menteri Najib perlu letak jawatan? 
E-Buku IH-102: Pendedahan Ini, PM Akan Letak Jawatan?

E-Buku IH-102: Pendedahan Ini, PM Akan Letak Jawatan?
Walaupun gesaan supaya Datuk Seri Najib Razak berundur sementara siasatan dijalankan mengenai dakwaan RM2.6 bilion dikreditkan ke dalam akaun di bawah namanya, bekas peguam negara menjelaskan tidak ada keperluan undang-undang yang memaksa perdana menteri berbuat demikian.

"Tiada keperluan undang-undang untuk perdana menteri mengosongkan jawatannya semasa siasatan dijalankan.
"Tambahan pula, tidak terdapat bukti perdana menteri campur tangan dalam penyiasatan pasukan petugas khas," kata Tan Sri Abu Talib Othman kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun, beliau berkata pasukan petugas itu yang terdiri daripada Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Bank Negara Malaysia perlu menyelesaikan tugas secepat mungkin kerana ia melibatkan kedudukan perdana menteri.

"Pasukan petugas khas mempunyai kuasa penyiasatan luas dan perlu menyelesaikan kes seberapa segera yang mungkin. Ia harus bertindak secara profesional dan mengeluarkan keputusan serta menafikan dakwaan terhadap perdana menteri jika beliau tidak terlibat," katanya.


Abu Talib yang juga peguam negara paling lama berkhidmat di antara 1980 dan 1993, berkata tidak ada bukti Najib campur tangan dalam siasatan yang dijalankan, termasuk "mengganggu" saksi.

"Ini siasatan mudah dan biasa sekiranya saksi dan dokumen terbatas dalam negara ini.
"Tidak ada keperluan bagi Najib berundur atau bercuti hanya kerana beliau sedang disiasat," katanya.

Abu Talib berkata, prinsip seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah juga perlu digunakan kepada Najib. Beliau berkata, senario berbeza jika siasatan mendapati terdapat lebih daripada bukti yang mencukupi mengaitkan Najib dengan kesalahan jenayah.

"Bagaimanapun, ia terpulang kepada peguam negara untuk membuat keputusan, sama ada untuk mendakwa," katanya.

Semalam, pasukan petugas khas mendedahkan ia membekukan 6 akaun bank dalam siasatan mereka setakat ini dan turut merampas dokumen berkaitan 17 akaun di 2 bank untuk siasatan lanjut ..

Walaupun kenyataan dikeluarkan pasukan itu tidak menamakan bank terlibat, juga tidak menyatakan sama ada mana-mana akaun milik kepada perdana menteri, sumber The Malaysian Insider memberitahu, 3 daripada 6 akaun bank yang dibekukan adalah kepunyaan Najib.

Sumber mendedahkan kepada The Malaysian Insider, 2 akaun adalah daripada Ambank dan Affin Bank. Terdahulu semalam, aktivis hak asasi manusia Datuk Ambiga Sreenevasan, dalam satu mesyuarat khas bersama ahli Parlimen, kumpulan bukan kerajaan dan ahli politik, berkata Najib perlu bercuti sementara siasatan terhadapnya sedang berjalan.

"Perdana Menteri perlu bercuti. Pemimpin pembangkang harus pergi dan berjumpa beliau dan meminta beliau berbuat demikian.
"Siasatan sedang berjalan dan kita tidak akan mendapat siasatan adil jika beliau masih perdana menteri," kata Ambiga sambil menambah pilihan raya baharu perlu diadakan dalam tempoh setahun.

Majlis Pimpinan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Isnin menggesa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu Najib mengambil cuti sementara siasatan diteruskan. Presidennya, Hanif mahpa juga mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hanif berkata, jika kerajaan gagal mengambil tindakan dan menghentikan penyelewengan dana negara, pelajar tidak akan teragak-agak mengadakan bantahan besar-besaran yang terdiri daripada pelajar universiti seluruh Negara.
Pemantau pilihan raya Bersih 2.0 juga menuntut supaya Najib mengosongkan semua jawatan kerajaan sementara pihak berkuasa menyiasat dakwaan The Wall Street Journal (WSJ) dan laman pendedah maklumat Sarawak Report.

Bersih juga mengancam mengadakan perhimpunan besar-besaran jika tiada jawapan daripada perdana menteri berhubung kemelut 1MDB itu. Jumaat lepas, WSJ mendakwa AS $ 700 juta (RM2.6 bilion) dipindahkan ke akaun bank peribadi Najib di AmPrivate Bank, sebelum pilihan raya umum ke-13.

Najib menafikan dakwaan itu dan berkata tidak pernah mengambil sebarang dana daripada 1MDB untuk kepentingan peribadi, serta menyalahkan pendedahan terkini kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang beberapa bulan kebelakangan ini menggesa peletakan jawatannya.

Najib mengancam menyaman WSJ tetapi akhbar perniagaan itu semalam membalas dengan menyiarkan dokumen atas talian yang memperincikan pergerakan wang berkenaan. Semua dokumen itu menurut WSJ diperoleh daripada "siasatan kerajaan Malaysia" termasuk borang permohonan kiriman wang, surat kuasa deposit tunai dan carta aliran wang.

Dalam borang berkenaan, butiran pembayaran disenaraikan sebagai pemindahan dana untuk "program CSR". - 8 Julai, 2015. (TMI)

"Lega, Nu.." Mungkin begitu kata hati Najib.

2 comments:

Anonymous said...

Jika orang yang didakwa masih lagi berkuasa, orang yang didakwa masih boleh mengganggu atau mempengaruhi siasatan terhadap dirinya. Ini bererti siasatan tersebut boleh dipertikaikan oleh rakyat. Sepatutnya orang yang disiasat digantung tugasnya supaya dia tidak boleh mengganggu atau mempengaruhi siasatan terhadap dirinya.

Pilihan yang terbaik ialah menubuhkan siasatan diraja untuk menyiasat PM kerana ia bebas dari pengaruh orang yang dituduh.

Anonymous said...

Walaupun kerajaan Israel adalah rejim pengganas Zionis, kerajaan Israel telah mendakwa dan memenjarakan presiden Israel sendiri yang bernama Moshe Katsav kerana merogol perempuan. Bahkan polis Israel berani menggeledah rumah presiden dan merampas bukti (evidence) untuk mendakwa presiden Israel dalam mahkamah.

Mengapa negara Malaysia tidak menubuhkan siasatan diraja untuk menyiasat PM walaupun berbagai tuduhan dari pelbagai pihak telah ditujukan kepada PM dan PM sendiri enggan bersemuka dengan Tun Dr Mahathir untuk membela dirinya? Walaupun PM cuba menafikan semua tuduhan terhadap dirinya, penafian PM amat tidak memuaskan hati rakyat! Adakah negara kita lebih teruk dari Israel?


NOTA: Saya bukan penyokong Israel atau Zionis. Sebaliknya, saya adalah penyokong Palestin.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails