Monday, June 23, 2014

Tukar MB: Apa Kata Pesuruhjaya PAS S'gor.



Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikritik kerana dikatakan lemah dalam mentadbir negeri. – Gambar fail The Malaysian Insider, 22 Jun, 2014. Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikritik kerana dikatakan lemah dalam mentadbir negeri. – Gambar fail The Malaysian Insider, 22 Jun, 2014.















Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad membidas kritikan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang mendesak agar kedudukan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ditukar kerana lemah mentadbir negeri.

Iskandar berkata, pandangan rakyat Selangor perlu diambil kira kerana mereka juga berhak memilih seseorang menteri besar dan bukan hak mutlak orang politik semata-mata.

"Jangan hanya mengambil kira pandangan pemimpin politik sahaja.
"Pemimpin politik perlu juga turun ke bawah untuk mendapatkan pandangan sebenar di peringkat akar umbi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Iskandar yang juga exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar berkata, rakyat memberi mandat kepada PR mentadbir Selangor semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lalu.

Maka, sebarang perubahan besar termasuk membabitkan pertukaran Khalid juga perlu mendapat “restu” rakyat. Beliau juga memberi amaran jika rakyat tidak merestui pertukaran itu maka kesannya akan diterima oleh PR pada PRU akan datang.

"Pada PRU, parti-parti politik turun merayu kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan.
"Oleh itu, adalah wajar di saat-saat seperti ini pandangan rakyat juga perlu diperoleh," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cempaka itu menegaskan, PR mesti mesra rakyat dan ini termasuk peka kepada kehendak rakyat.
"Biarlah pandangan semua kelompok dan peringkat rakyat diambil kira. Bukan hanya kumpulan-kumpulan tertentu sahaja," katanya.

Selepas PKR, beberapa pemimpin daripada DAP dan PAS kini mula bersuara mengeluh mengenai kelemahan pentadbiran Khalid dan menggesa kedudukannya dikaji semula. Kelemahan itu dilihat daripada sekecil-kecil isu agihan peruntukan kawasan DUN sehingga isu besar membabitkan rampasan Alkitab, serbuan gereja dan krisis air serta projek Lebuhraya Kidex.

Malah, Khalid juga didakwa mentadbir negeri ala syarikat korporat dan sering membuat keputusan yang membelakangkan pandangan PR termasuk partinya sendiri. Namun, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulas keluhan pemimpin PR itu berkata, ia hanya pandangan peribadi sahaja dan tidak melambangkan pendirian rasmi PR.

Anwar berkata, masa depan Khalid hanya akan ditentukan melalui keputusan mesyuarat tertinggi PR sebelum membawa perkara itu untuk diperkenankan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. – 22 Jun, 2014. (TMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails