Friday, November 29, 2013

Polis Britain Sedia Terima Surat Kakak S/Aishah


Kamar Mahtum Abdul Wahab

Aktivis Hishammuddin Rais yang bersama-sama dalam misi pencarian warga Malaysia Siti Aishah Abdul Wahab mengatakan polis Britain kini dalam proses menerima surat yang dikirimkan kakak kepada “mangsa”,

Kamar Mahtum Abdul Wahab selepas meminta bantuan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.
Katanya surat itu akan diserahkan sebaik sahaja pegawai penyiasat polis Britain itu tiba di Suruhanjaya Tinggi untuk diserahkan pula kepada adik Kamar Mahtum, Siti Aishah yang "dikurung" Aravindan Balakrishnan yang juga dikenali sebagai "Komrad Bala" dan isterinya, Chanda selama 30 tahun.

“Pegawai polis Neil Hamilton akan menerima surat daripada Cikgu Kamar dan ini akan dilakukan di kedutaan.
“Surat ini untuk disampaikan kepada adiknya, Siti Aishah. Ini berita baik yang ditunggu-tunggu,” kata Hishamuddin melalui kiriman di blog Tukar Tiub.

Hishammuddin mengirimkan pesanan itu pada jam 1.30 tengahari waktu tempatan atau 9.30 malam tadi.
Beliau sebelum ini melaporkan Kamar Mahtum mengambil langkah awal bagi bertemu adiknya dengan menghantarkan sepucuk surat kepada polis Britain.

Katanya, surat itu diserahkan kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Seri Zakaria Sulong semasa pertemuan di London semalam.

Kamar Mahtum merupakan bekas guru sekolah terbang ke London pada Selasa dalam impiannya untuk bertemu adiknya yang sudah lama terpisah. Pihak berkuasa United Kingdom hari ini mengesahkan status Siti Aishah sebagai warganegara Malaysia dengan nama berdaftar Aishah Wahab dan dilahirkan pada 27 Mei 1944.

Kementerian Luar memaklumkan kes itu masih di peringkat siasatan. Akses bagi mendapatkan maklumat lanjut adalah terhad dan tertakluk kepada Akta Perlindungan Data 1998 di bawah undang-undang tempatan United Kingdom.

Pihak berkuasa tempatan masih belum memberikan akses terus kepada mangsa setakat ini. Kenyataan itu menyebut Suruhanjaya Tinggi akan mengambil langkah susulan bagi menentukan status mangsa tersebut dari segi undang-undang.

"Sekiranya beliau secara tidak disedari telah kehilangan kewarganegaraan Malaysia serta tidak mempunyai sebarang kerakyatan dalam tempoh 30 tahun yang lalu di bawah keadaan daif, Suruhanjaya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa lain bagi mengembalikan semula kerakyatan beliau.
"Bantuan konsular selanjutnya akan dihulurkan kepada mangsa dan ahli keluarga, sebagaimana yang sesuai dan perlu," kata Kementerian Luar. – 28 November, 2013.(TMI)

Lihat sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails