Thursday, November 28, 2013

Media London Dedah Wajah Siti Aishah & 'tuannya'...

hamba11
ITV News London menyiarkan imej wanita dipercayai Siti Aishah Abdul Wahab, 69 (gambar) dan seorang lagi wanita, Josephine iaitu wanita yang dijadikan hamba oleh sepasang suami isteri sejak 30 tahun di Brixton.
Imej berkenaan dirakamkan ketika Aishah dan Josephine bersama dengan suspek, Aravindan Balakrishnan menghadiri inkues di mahkamah pada 1997.

Inkues itu diadakan susulan kematian seorang wanita, Sian Davies, selepas terjatuh dari tingkap sebuah rumah pada Oktober 1997.
Dalam imej berkenaan Aishah memakai cermin mata serta kemeja dan dia serta Josephine berada di belakang Balakrishnan.
Menurut media tempatan, Siti Aishah bersama-sama enam wanita lain pernah dibicarakan pada 1978 selepas ibu pejabat Maoist di sebuah kedai buku di Brixton diserbu polis.
hamba-400x240
Siti Aishah paling kiri dan suspek Aravindan Balakrishnan kanan sekali.

Sepanjang perbicaraan ketika itu, semua wanita tersebut melaungkan slogan komunis dan enggan mengemukakan rayuan terhadap 13 tuduhan yang dikenakan ke atas mereka termasuk menyerang polis.
Ini kerana mereka tidak mengiktiraf mahkamah, hakim dan sistem kehakiman.

Malah Aishah yang ketika itu berusia 34 tahun, telah membacakan satu kenyataan bahawa British adalah suruhan kepada Amerika Syarikat.
Jelasnya, mereka semua merupakan tahanan politik yang berdepan dengan tuduhan yang sengaja direka-reka.

Semalam, seorang pesara guru, Kamar Mahtum Abdul Wahab menyatakan bahawa Siti Aisyah adalah  adiknya yang hilang dalam tempoh sama selepas menyertai fahaman komunis Maoist.
Kamar Mahtum memberitahu,  Siti Aishah ditahan oleh pasangan suami isteri, Aravindan Balakrishnan dan Chanda yang memimpin sebuah kumpulan ekstremis komunis pada 1970-an.
Siti Aishah pernah belajar di Kolej Tunku Kursiah di Seremban, Negeri Sembilan sebelum menyambung pengajian dalam bidang juru ukur bahan di London dengan biasiswa Komanwel.

Jelasnya, Siti Aishah berpindah ke Britain pada 1968 bersama tunangnya, Omar Munir dengan impian untuk memulakan kerjaya di negara tersebut bersama keluarga.-27/11/2013


Kakak Siti Aishah berlepas ke London buat pengecaman...
aishah1
Kakak kepada Siti Aishah Abdul Wahab (gambar) , 69, yang menjadi hamba selama 30 tahun di London, berlepas ke England malam ini untuk membuat pengecaman dan membawa pulang adiknya ke tanah air.
Abang ipar mangsa, Md. Noh Md Dom, 67, memberitahu, isterinya, Kamar Mahtum Abdul Wahab, 73, diiringi aktivis, Hishamuddin Rais bersama seorang wartawan The Telegraph yang beribu pejabat di London bertolak ke England menaiki pesawat Malaysia Airlines kira-kira pukul 11.55 malam ini.

BACA JUGA London tidak benar pegawai Malaysia temui Siti Aishah
"Isteri saya diminta ke sana (London) untuk membuat pengecaman. Dia juga membawa barangan milik Siti Aishah seperti gambar serta pakaiannya yang disimpan di rumah ini.
"Mereka dijadualkan berlepas ke England kira-kira 11.55 malam ini,'' katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Binjai Kuala Klawang, malam tadi.-26/11/2013


Keluarga Siti Aishah buka cerita...
Sebuah keluarga dari Jelebu, Negeri Sembilan telah mengesahkan bahawa wanita yang didakwa menjadi hamba selama 30 tahun di London adalah ahli keluarga mereka yang hilang sejak 30 tahun lalu selepas menyertai kumpulan Maoist di sana.
Kamar Mautum Abdul Wahab berkata, beliau yakin adiknya yang kini berumur 69 tahun, Siti Aishah Abdul Wahab adalah wanita Malaysia yang ditahan oleh pemimpin kumpulan Komunis Mao sejak 30 tahun lalu.
Katanya, kehilangan Aishah telah menyebabkan kesedihan kepada keluarganya.

BACA LANJUT DAN TONTON VIDEO The Daily Telegraph:   Slavery case: the high-flying student who vanished into a Maoist sect
Kamar berkata, ibunya memberikan wasiat agar menjejaki apa yang berlaku kepada anak perempuannya yang tidak pernah pulang itu, lapor The Daily Telegraph.
"Saya sangat sedih tanpa dia di sini tahun demi tahun. Dia sangat berbakat, dia juga menjadi buah hati pada emak saya. Emak menyebut namanya sebelum menutup matanya.
"Bila emak saya meninggal, dia (Aishah) tidak mahu bercakap dengan kami dan saya tidak boleh berbuat apa-apa," katanya kepada akhbar tersebut.

Aishah belajar di sekolah yang paling elit di Malaysia dan mendapat anugerah biasiswa Komanwell untuk belajar dalam bidang Juruukur Bahan di London.
Dia berlepas ke Britain pada tahun 1968 bersama tunangnya dan berhasrat untuk mencapai cita-cita untuk keluarga tetapi kemudiannya terlibat dengan kegiatan politik melampau yang menyebabkan dia melupakan segala-galanya untuk mengikut ajaran Maoist.
Dia terpengaruh dengan Aravindan Balakrishnan dan rakannya, Chanda, yang telah ditangkap minggu lalu atas dakwaan menahan tiga wanita tanpa kerelaannya melebihi tiga dekad di London.-26/11/2013


Hamba 30 tahun di London mungkin wanita Melayu bernama Siti Aishah...
Perh... ini sudah jadi cerita lain, misteri identiti wanita warga Malaysia yang dijadikan hamba selama 30 tahun di London yang heboh diperkatakan seluruh duinia itu mungkin wanita Melayu.
Ini berdasarkan ingatan dan 'syak wasangka' seorang aktivis pembangkang Hishamuddin Rais (gambar kanan) yang pernah tinggal lama di London sezaman dengan wanita tersebut.

hishamuddin_raisHishamuddin mengatakan identiti wanita mesteri tersebut berkemungkinan bernama Siti Aishah Abdul Wahab, lapor portal The Malaysian Insider.
Wanita itu merupakan salah seorang daripada tiga wanita yang dibebaskan pada 25 Oktober di London selepas salah seorang daripada mereka menghubungi pertubuhan kebajikan. Dua lagi wanita adalah warga Ireland berumur 57 tahun dan warga Britian berumur 30 tahun.

(BACA  'Hamba' luah perasaan dalam puisi... )
Polis Britian masih belum mendedahkan identiti ketiga-tiga wanita tersebut  tetapi memaklumkan bahawa sepasang suami isteri ditahan berkait dengan kes itu.
Hishamuddin yang hidup dalam buangan di London pada lewat 1970-an berkata, Siti Aishah aktif dengan kumpulan mahasiswa Malaysia berhaluan kiri yang menggelarkan diri mereka "New Malayan Youth" di ibu kota Britian pada ketika itu.
"Abang dia ada cari saya pada 1991 minta tolong carikan Aishah yang dikatakan hilang kerana kami berasal dari daerah sama," katanya.

"Saya juga menetap di Brixton, London, di mana lokasi wanita itu ditemui," katanya
Hishamuddin berkata, Siti Aishah merupakan pengikut kepada fahaman Marxist-Leninist dan pemikiran bekas pemimpin besar China Mao Tse Tung.
Difahamkan, "New Malayan Youth" adalah pertubuhan mahasiswa yang menggabungkan pelajar berhaluan kiri dari Malaysia dan Singapura pada 1970-an.

Hishamuddin yang pulang ke Malaysia pada 1994 berkata, Siti Aishah merupakan bekas penuntut Kolej Tunku Kursiah (TKC), Seremban dan kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang Juruukur Bahan (QS) di London di bawah biasiswa "Colombo Plan".

Bekas aktivis mahasiswa itu mendakwa, beliau berasal dari daerah yang sama dengan Siti Aishah iaitu di Jelebu, Negeri Sembilan dan kakak kepada wanita itu adalah gurunya di sekolah menengah.
Hishamuddin menetap di London selama 15 tahun dan menuntut ilmu Asas Seni di Brixton College sebelum melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Muda Kajian Filem dan Video di University of Westminster, London.  Alamat terakhir beliau di London adalah di Coldhabour Lane, Brixton.

Akhbar Britian melaporkan pasangan yang ditahan ialah Aravindan Balakrishnan, juga dikenali sebagai “Comrade Bala” dan isterinya Chanda dari Tanzania, tetapi Hishamuddin berkata, lelaki itu turut dikenali sebagai “Chairman Ara” dan berasal dari Singapura.

Ketiga-tiga mangsa bebas daripada “perhambaan” selepas salah seorang daripada mereka menghubungi badan kebajikan Freedom Charity pada 18 Oktober.
Menurut laporan media Britain, Pengasas Freedom Charity, Aneeta Prem bertemu dengan ketiga-tiga wanita berkenaan Khamis lalu.
Laporan media juga menyebut mangsa didera secara fizikal dan dikawal emosi dalam kes perhambaan yang disifatkan sebagai "rumit dan menyayat hati".
Polis dipetik sebagai berkata, mereka masih menyiasat apakah "gari tidak nampak" yang digunakan untuk memanipulasi ketiga-tiga mangsa.
Polis menghabiskan masa 12 jam untuk mencari lokasi perhambaan berkenaan dan mengumpul 55 beg bahan bukti dan 2,500 eksibit.-26/11/2013


Rakyat Malaysia dijadikan hamba di UK aktivis komunis tahun 1970an...
Mengejutkan... kisah tiga wakita yang dijadikan hamba selama 30 tahun di London oleh sepasang suami isteri, kini masuk babak baru selepas mereka semua dilaporkan adalah aktivis komunis tahun 1970-an, dedah media London.

Mereka direkrut oleh pasangan tersebut yang juga merupakan simpatisan komunis yang 'menyembah' Mao Zedong dan menubuhkan sel penyokong komunis di London.
Pasangan tersebut masing-masing berasal dari India dan Tanzania ditahan polis minggu lepas kerana didakwa 'mengurung' ketiga-tiga wanita itu selama lebih 30 tahun.
Ketiga-tiga mangsa itu merupakan seorang warga Malaysia yang berusia 69 tahun, seorang wanita Ireland dan seorang wanita British.

Mereka direkrut untuk menjalankan "kerja-kerja revolusi".
The Daily Telegraph melaporkan bahawa pasangan itu, yang tinggal  di Brixton, selatan London, telah menubuhkan sebuah "sel komunis" pada tahun 1974 dan sebelum dipenjarakan berkaitan dengan aktiviti-aktiviti politik mereka.
Sel tersebut dilaporkan terlibat menerbitkan risalah menyeru kejatuhan kapitalisme Barat, selain menjalankan aktiviti diskusi, ceramah dan menganjurkan tayangan filem.
Akhbar UK melaporkan bahawa polis menahan 14 orang dalam 'sel' tersebut pada tahun 1978, termasuk pasangan itu, yang kemudiannya dipenjara kerana menyerang seorang pegawai polis.
'Sel' itu kemudian dilaporkan berpecah dan pasangan tersebut berpindah Brixton dengan beberapa pengikut. Polis Metropolitan London menyatakan, pada mulanya dua wanita itu tinggal bersama dengan pasangan tersebut bagi berkongsi ideologi tersebut.

Ketua Polis Unit Jenayah Terancang dan Gengster, Steve Rodhouse menyatakan, perkongsian ideologi komunis itu menyebabkan wanita-wanita tersebut terus tinggal bersama dengan pasangan itu.
Beberapa anggota polis menemui penduduk yang tinggal berdekatan dengan rumah pasangan tersebut bagi mencari maklumat untuk membantu siasatan.

Polis tidak mendedahkan lokasi sebenar rumah yang menjadi tempat tiga wanita tersebut dijadikan hamba.
Identiti ketiga-tiga wanita itu seperti nama mereka masih tidak didedahkan polis.
Bagaimanapun, polis mencari maklumat itu di kawasan beberapa buah flat di Peckford Place di Brixton. Kawasan itu terkenal dengan kehidupan malam dan komuniti Afrika.
Sejumlah wartawan berhimpun di lokasi tersebut dua hari selepas polis mendedahkan kejadian itu.
Pasangan yang kedua-duanya berusia 67 tahun itu sebelum ini telah ditangkap dan diikat jamin pada Khamis lalu. Polis Metropolitan London menyatakan, pasangan tersebut ditangkap berhubung kes perhambaan domestik.
Mereka diselamatkan pada bulan lalu selepas wanita Ireland itu menelefon sebuah agensi kebajikan secara rahsia.-25/11/2013

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails