Thursday, November 28, 2013

Boikot Sertai Sukan Sea kali ke-27 Di Myanmar -Mapin


SUKAN
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa Malaysia menimbang penyertaan dalam Kejohanan Sukan  Sea kali ke-27 yang bakal berlangsung di Myanmar bermula 1 Disember ini.

“Mengambilkira tindakan kelompok sami Buddha yang terang-terangan berkempen membenci Islam dan menyebarkan permusuhan terbuka kepada Islam dan syiar agama Islam termasuk membunuh, membakar hidup-hidup  mangsa yang diserang, membakar masjid, memusnah kubur dan madrasah Islam yang  diserang berterusan,  berbulan-bulan sejak Jun 2012, menunjukkan mereka tekad untuk melenyapkan Islam dari bumi Myanmar,” ujar Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.

Menurutnya, demonstrasi yang terkini yang didorong sendiri oleh kerajaan Yangoon telah mempamerkan kempen membenci Islam dan masyarakat Islam secara jelas, terus disebar luas.

Katanya, setelah mereka membunuh, merampas, menyiksa, membakar dan menzalimi masyarakat Islam Rohingya, kini jelas mereka sudah secara terang-terangan menyerang Islam sebagai agama suci dan melancarkan kempen untuk menghapuskan seluruh simbol Islam di Myanmar.

Tambahnya, terkini mereka menghina Islam dengan melabelkan Islam sebagai agama haiwan ketika memprotes lawatan delegasi OIC ke Myanmar baru-baru ini untuk meninjau mangsa pelarian Rohingya Muslim yang terpaksa hidup dalam keadaan terancam.

Katanya lagi, kebencian terhadap umat Islam sangat meluap-luap sehingga seorang warga Muslim sama ada rakyat Myanmar atau orang luar akan sentiasa dipandang dengan mata permusuhan oleh semua penganut Buddha di Myanmar.

Kini, ujarnya Myanmar akan menjadi tuan rumah kepada kejuaraan Sukan Sea.

“Pada pendapat kami Myanmar hilang kelayakan untuk menjadi tuan rumah kepada kejohanan yang diadakan itu di Myanmar itu, setelah Myanmar menjadi tuan rumah sebanyak dua kali sebelum ini iaitu 1961 dan 1969.

“Dalam keadaan inilah kami menggesa Malaysia malah semua delegasi kejohanan Sea tahun ini membatalkan penyertaan mereka atas alasan kerajaan Myanmar bersikap anti Islam dan kehadiran atlet Islam yang tidak selamat di Myanmar,” ujarnya.

Katanya, Mapim menggesa semua olahragawan dan olahragawati Muslim dari Malaysia mahupun dari mana-mana negara Asean yang menyertai kejohanan ini berfikir dua kali untuk ke Myanmar.

Menurutnya lagi, mereka harus menilai keadaan keselamatan ketika  berada di Myanmar yang tidak selamat dan tidak terjamin.

“Kami berpendirian memboikot kejohanan Sukan Sea di Maynmar itu adalah wajar kerana antara matlamat kejuaraan ini adalah untuk mewujudkan keharmonian dalam masyarakat Asean dan Myanmar tidak berhasrat menjayakan keharmonian itu,” katanya lagi.

Beliau menambah, dengan jelas Myanmar tidak berhasrat untuk berbuat demikian, malah dengan sangat tidak bertamadun, rejim Myanmar yang ada sekarang telah melaksanakan penindasan, penafian hak manusia etnik Rohingya Muslim dan seterusnya menyatakan sikap permusuhan terhadap Islam.

“Kami tidak nampak manfaat penyertaan dalam kejohanan Sea di Myanmar jika Malaysia serta semua anggota lain serius dengan slogan rantau aman, bebas dan neutral Asean (zone of peace, freedom and neutrality),” katanya.

Mohd Azmi berkata, Asean tidak boleh membiarkan Myanmar meneruskan polisi menindas dan mewujudkan ketegangan agama antara penganut Buddha dan Islam bertujuan untuk menghapuskan Islam dan umat Islam di negara tersebut.

Katanya, Mapim menegaskan peserta Malaysia yang mempunyai anggota dari kalangan orang Islam mungkin menjadi sasaran oleh puak ekstremis Buddha ketika berada di Myanmar.

“Kami mengambil berat terhadap ingatan yang diberikan oleh beberapa pertubuhan Islam Rohingya supaya peserta Islam di kejohanan Asean itu benar-benar menjaga keselamatan diri ketika di Myanmar kerana ada tanda-tanda bahawa mereka boleh diserang,” katanya.

Ini, kata beliau menunjukkan bahawa keadaan di Myanmar sangat terdedah kepada keganasan oleh penganut ekstremis Buddhis dan kekhuatiran etlit Islam akan menjadi sasaran adalah beralasan.

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Kebiadaban Myanmar membunuh, merampas, menyiksa, membakar, menzalimi masyarakat Islam Rohingya, kini secara terang-terangan menyerang Islam sebagai agama suci dan melancarkan kempen untuk menghapuskan seluruh simbol Islam di Myanmar..

Bagaikan jiran kita  yang membunuh, merampas, merogol, menyiksa, membakar dan menyerang rumah saudara kita, reaksi kita baru nak boikot main bola? Padankah?

Jauh dari padan. Itupun kalau berlaku... (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails