Saturday, December 29, 2012

Ketua UMNO Pandan Rasuah RM193,512



KL: Ketua Umno Pandan, Abd Ghani Ismail dihukum penjara lapan tahun dan denda hampir RM1 juta oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati bersalah terhadap 10 tuduhan menerima rasuah RM193,512 enam tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu setelah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Abd Ghani. Beliau juga mengarahkan hukuman penjara sembilan  tahun dan dua bulan terhadap Abd Ghani sekiranya dia gagal membayar denda RM977,560.

Abd Ghani, 46, yang ketika kejadian adalah seorang ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) merangkap Ahli Jawatankuasa Tender MPAJ, didapati bersalah atas tuduhan memperoleh satu suapan daripada seorang kontraktor Abdul Rahman Yaacob sebanyak RM24,189. Abdul Rahman telah pun meninggal dunia.

Ia sebagai balasan menolong Abdul Rahman mendapatkan Tender Zon SP 23 iaitu kerja perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Taman Lembah Maju dan Taman Kencana serta Tender Zon PB 16 iaitu kerja pembersihan kawasan di Pandan Cahaya daripada MPAJ.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di Restoran Islah Tomyam, Jalan 5/76B, Desa Pandan disini,  pada 9 malam 4 Ogos 2006. Lelaki itu juga bersalah atas lapan lagi tuduhan menerima rasuah antara RM10,189 hingga RM24,189 yang kesemuanya melibatkan RM169,323 daripada Abdul Rahman. Suapan itu diberikan oleh Abdul Rahman kepadanya di hadapan Blok E 15, Jalan 4/76B, Desa Pandan di sini antara 20 Oktober 2006 hingga 31 Mac 2007.

Bagi pertuduhan ke-10, Abd Ghani  turut bersalah memperoleh suapan bagi dirinya iaitu pelantikan Syarikat Lembah Rimbun sebagai subkontraktor kepada syarikat Dwisakti Mewah Sdn Bhd yang mana dia mempunyai kepentingan dalam syarikat Lembah Rimbun. Suapan tersebut diberikan sebagai upah menolong syarikat Dwisakti Mewah mendapatkan Tender Zon SP 21 iaitu kerja pelupusan sisa pepejal di kawasan Bandar Pandan Indah daripada MPAJ.

Perbutan itu dilakukan olehnya di syarikat Lembah Rimbun, di No. 27, Jalan Pandan 7, Pandan Jaya pada 1 Mei 2006. Kesemua kesalahan yang dilakukan olehnya mengikut Seksyen 11 (a) dan Seksyen 10 (a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Roziza Sidek manakala Abd Ghani diwakili Peguam Md Yunos Shariff. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails