Tuesday, December 25, 2012

Kenangan Bersama P.Ramlee

CATATAN SANTAI IBNU HASYIM  

MEMANG saya dapat jemputan dari Penang Institute untuk hadir ke Festival P.RAMLEE Pulau Pinang beberapa hari lalu, tetapi tak dapat hadir. Walaupun cadangan diadakan forum mengenai P. Ramlee itu, adalah termasuk cadangan dari saya sendiri, semasa saya menjadi ahli penal  'Forum Intelektual Nusantara 5, Syed Sheikh Al Hadi' sebelum itu. (Sila lihat E-Buku IH-56: Syed Syeikh Al-Hadi, Pemikiran dan; P.Pg)

 

Menyorot wacana pada malam itu bertajuk, “Kosmopolitanisme Melayu dalam karya P Ramlee: Melihat dimensi identiti Melayu yang lain” merupakan acara pertama dalam Festival P Ramlee anjuran Penang Institute yang akan berlangsung selama sebulan. Pelbagai lagi aktiviti akan diadakan, termasuk forum yang lain, pertandingan esei, tahlil peringatan, pameran khas, pesta rakyat, pertandingan nyanyian, permain tradisional dan lain-lain lagi. 

Seperti dalam ucapan alu-aluan Zairil Khir Johari, CEO Penang Institute.

P. Ramlee dilahirkan, hasil dari perkongsian hidup Teuku Nyak Putih Teuku Karim dengan Che Mah Hussein sejak tahun 1925. P.Ramlee telah dilahirkan pada 22 Mac 1929 pagi Hari Raya Aidilfitri di rumah neneknya di 40A, Counter Hall, Penang, MalayaP.Ramlee memulakan pendidikan awal beliau di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan kemudiannya ke Francis Light School.  Sebelum perang meletus, P.Ramlee sempat menyambung pelajarannya ke Penang Free School tetapi tidak sempat menamatkannya. Semasa Perang Dunia Ke 2, P.Ramlee telah mendapat pendidikan di Japanese Navy School'

Bermula dengan bermain ukele, P. Ramlee beralih kepada gitar dan biola di bawah bimbingan Encik Kamaruddin (pemimpin brass band di Penang Free School). Beliau menyertai Orkes Teruna Sekampung dan kemudian Sinaran Bintang Sore. Beliau pernah menjadi juara nyanyian anjuran Radio Pulau Pinang pada tahun 1947 dan terpilih sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. Dalam pertandingan itu, beliau menggunakan huruf "P" (bagi Puteh) di awal namanya dan kekallah nama P. Ramlee itu hingga ke akhir hayatnya.

Pada tahun berikutnya, P.Ramlee bersama sahabatnya Mohd Yusop telah menubuhkan sebuah pancaragam bernama Pancharagam Mustika. Beliau telah mendapat undangan menyanyi di atas pentas di Agricultural Show di Bukit Mertajam. B.S Rahjans kebetulan berada di situ untuk mencari bakat baru. Setelah menyaksikan persembahan P.Ramlee, beliau menawarkan P.Ramlee untuk datang ke Singapua.
.
P.Ramlee meninggal ketika berusia 44 tahun pada pagi Selasa 29 Mei 1973 kerana diserang sakit jantung. Jenazahnya telah disembahyangkan di Masjid Kampung Baru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan orang-orang Islam di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Waktu itu saya (Ibnu Hasyim) masih remaja dan masih belajar. Siangnya saya bekerja di sebuah sekolah di Jelutung bawah Kementerian Pelajaran, malamnya saya belajar tambahan di Sekolah Al-Mashhor (antara pengasasnya Syed Sheikh Al-Hadi), Lebuh Tek Soon yang berdiri tersergam bangunan KOMTAR sekarang.  

Secara sambilan saya juga menjadi penarik beca, di mana lesen beca saya lulus pada tahun 1972. Waktu itu antara idola saya adalah P.Ramlee yang terkenal dengan filemnya 'Penarik Becha'

Satu  peristiwa yang tak dapat saya lupakan, semasa saya membawa penumpang seorang gadis Melayu guru pelatih di sebuah sekolah di Jalan Counter Hall, tempat P.Ramlee dilahirkan. Dia bertanya saya.

"Betui-betui.. adik ini sapa?"  Walaupun dia panggil saya adik, sebenarnya umur kami sebaya. Cuma dia penumpang (tuan) saya pengayuh (buruh)..

Bila saya tanya balik mengapa dia tanya begitu, katanya, "Aku rasa pelik, aku tak pernah tengok tukang kayuh lanca (beca), orang Melayu muda macam hang! ".  Kerana waktu itu hampir tidak ada langsung orang muda kayuh beca. Dia bercakap loghat Kedah.

"Apa lagi, bila aku tengok masa hang berenti dekat lampu merah (traffic light) tadi, hang beli surat habak 'The Star' tu... (dari penjual-penjual di kaki lima jalan), dan  baca-baca sikit  sebelum naik lampu hijau. Budak Melayu kayuh lanca baca Star? Huuu.... tak pernah aku bayangkan.." Katanya dengan rasa kagum.

Di situ kami mula berkenalan  Ku ceritakan padanya tentang diriku yang miskin seperti P.Ramlee dalam filem 'Penark Beca'. Tapi, kisahku mengembara, kerana mencari ilmu.  Akhirnya kulihat bintik-bintik air jernih sudah bergelumang di pelupuk matanya, tanda bersimpati.  Kami mula berkenalan... dan...
  P.Ramlee dalam filem Penarik Becha
Cukup sampai di sini, kerana apa yang saya nak sampaikan ialah pengaruh P.Ramlee sudah menjiwai pemikiran anak-anak muda Melayu waktu itu. Bukan sahaja di Malayisa, Singapura, Indonesia, bahkan hingga ke Selatan Thai. Saya dapat berita kepergian P.Ramlee, melalui corong radio  semasa saya sedang makan nasi kandar pagi, di gerai bawah pokok ketapang sebelah Masjid Jelutong.

Lepas itu tiap-tiap pagi radio Malaysia mendendangkan lagu-lagu P.Ramlee, kira-kira sebulan lebih. Hari-hari orang memperkatakan kehebatan dan kekreatifan beliau yang mempengaruhi pemikiran masyarakat. Di dalam dunia perfileman tempatan, P.Ramlee telah berlakon dalam 66 filem. Bermula dengan filem pertama 'Chinta' sehinggalah filem terakhirnya 'Laksamana Do Re Mi'. Terakhir lagi filem 'Air Mata Di Kuala Lumpur', tapi tak sempat siap.Di dalam dunia seni suara pula, P.Ramlee telah mendendangkan 359 buah lagu.

P.Ramlee juga telah memenangi beberapa buah anugerah di Festival Filem Asia di Hang Kong, Jakarta, Kuala Lumpur, Manila, Singapura, Taipe dan Tokyo. Tidak ketinggalan juga, Festival Filem Antarabangsa di Berlin.  Allahyarham telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri.

Berbalik kepada tajuk forum  “Kosmopolitanisme Melayu dalam karya P Ramlee: Melihat dimensi identiti Melayu yang lain”. Mengapa perlu diperbesarkan 'Kosmopolitanisme Melayu' sehingga perlu melihatnya dari sudut 'identiti Melayu yang lain', di tengah-tegah realiti kosmopolitan luar bangsa Melayu, di Malayisa? Mungkin penganjur melihat sifat keterbukaan dalam .'kosmopolitanisme.Melayu' itu yang membantu kejayaan P.Ramlee?

Dalam ucapan alu-aluan Zairil Khir Johari, CEO Penang Institute mengatakan, 

"P Ramlee yang berketurunan Acheh, lahir dan membesar di Pulau Pinang, kemudian bekerja dengan tauke besar filem Singapura, Shaw Brothers, untuk menghasilkan filem-filem Melayu yang pertama.

" Ironinya, perwatakan Melayu yang dihasilkan P Ramlee terbit melalui industri filem multi-etnik yang kuat dipengaruhi penerbit Cina, pengarah India serta menjiwai jalan cerita Hollywood, India serta koleksi kisah-kisah fantasi Arabian Nights.

"Dan saya rasa penggemblengan pengaruh luar dengan budaya tempatan inilah yang dapat menzahirkan jambatan antara alam fantasi yang direka dengan realiti masyarakat tempatan. Apabila dilihat Ali Baba Bujang Lapok yang makan belacan Pulau Pinang, secara langsung watak fantasi itu menjadi relevan dan tidak asing kepada kita." Jelasnya.

 
Saya bersetuju dengan pemikiran keterbukaan melalui kosmopolitanisme yang membangunkan ketamadunan manusia. Faham Anamisme dan Hiduisme Alam Melayu sanggup menerima 'agama yang Hanif (Islam)' pimpinan Muhammad SAW dari Asia Barat sampai ke sini pada kurun ke 12 Masihi hasil dari kosmopolitanisme tersebut. Waktu itu budaya pendidikan melalui hiburan dibawa bersama. Di Pulau Pinang lahirnya 'Boria', 'Hadrah', pelbagai jenis zikir, nyanyian rakyat, berzanji dan sebagainya.

Hampir semuanya itu dibawa masuk dengan ciri-ciri budaya dan ketamadunan Islam yang juga turut memainkan peranan membangunkan masyarakat. Tetapi semuanya itu bertukar misi dan cara apabila penjajah barat masuk,  hasil dari Perang Salib di Eropah.  Di Malaya bermula dengan kemasukan Portugis 1511 Masihi, Indonesia oleh Belanda,dan sterusnya. Di bidang hiburan, faham barat berjaya menyemaikan pengaruhnya melalui media baru masa itu iaitu lagu dan filem.  

Filem-filem dan lagu-lagu P.Ramlee begitu berjaya mempengaruhi masyarakat Melayu yang secara tidak langsung berperanan menjauhkan diri dari agamanya walaupun masih banyak nilai-nilai baik. Contohnya, ada lagu P.Ramlee yang meminta Tuhan cabutkan nyawanya. Ada filem yang memilih jalan selesai dalam kemelut cinta melalui membutakan mata sendiri. 

Banyak memperkenalkan simbol-simbol maksiat, kelab malam, meringan-ringankan najis zina, aurat, minum kencing syaitan (arak), lawak lucah, membesar hubungan cinta hingga membelakang agama dan adat yang baik. Memburuk-burukkan pemimpin-pemimpin dan raja-raja Melayu seolah-olah terlalu 'bodoh' sangat memerintah negara. Serangan-serangan budaya beginilah yang merosakkan sendi-sendi agama Islam. 

Bahkan ianya terus berlanjutan hingga sekarang.samada disedari atau tidak, oleh pemerintah masa kini. Pihak-pihak berkuasa sepatutnya memainkan peranan membimbing media tersebut ke arah pembangunan negara dalam ertikata sebenarnya. Yang penting hiburan perlu ada haltujunya, jangan tersasar dan disalahgunakan, yang kadang-kadang lebih bahaya dari salahguna dadah.

Sasarannya perlu ke arah pembangunan insan dan negara. Begitu kira-kira. As-salamu 'alaikum.
Catatan Santai Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com  18 Dis 2012
KL

Sila lihat...
E-Buku IH-59: C/Santai (Minda) IH Mulai Jun 2012.

E-Buku IH-59: C/Santai (Minda) IH Mulai Jun 2012 

2 comments:

Anonymous said...

Banyak filem-filem P Ramlee dengan ide dna isu sosial kelas Melayu. Jalan cerita mempersoalkan kedudukan kelas Melayu marhaen. Lebih bersifat sosialis. Mungkin kerana pengaruh dari Jakarta dan Indonesia pasca perang Jepun.
Filem P Ramlee memberi gambaran sebenar orang Islam semasa 40an sehingga awal 70an yang gagal atau melupakan Islam secara sedar atau tidak. Gambaran masyarakat Melayu ini adalah penting sebagai bahan untuk melihat isu sebenar yang melanda masyarakat Melayu termasuk seluruh nusantara ketika itu.
Tapi sayangnya filem P Ramlee hanya dihargai selepas dia mati.
Cuma yang saya nampak Arwah Saloma lebih rapat dengan surau dan aktiviti agama selepas itu dengan anak-anak mereka serta anak anak Mariani kerap ke surau di Taman Setapak selepas mereka berpindah dan menetap di rumah P Ramlee di taman Setapak Gombak.

Unknown said...

Jika kita berada di era yang serba ada tetapi kekurangan mungkin kita akan melakukan perkara yang sama seperti P ramlee . Berkarya di dalam bidang yang di sendiri sangat memahami bukan sahaja mendalaminya malah berkongsi raya dan upaya kepada segenap lapisan manusia yang menyaksikan beliau di dalam hasil filem dan lagu . Kita berada di era moden sangat tidak merasa bahawa ketika zaman beliau sangat berbanding dengan apa yang kita ada malah tidak serupa. Biarlah karya beliau berkembang dengan sempurna menyusupi setiap zaman . Usahlah kita memperkecilkannya kerana semua bukan sekadar filem tetapi pasca plot melampaui dan menjangkau ramalan beliau .

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails