Wednesday, May 16, 2012

Sibuk shj Muzakarah Tapi Tak Pernah Buat -N/Aziz


 

KOTA BHARU: Hanya sibuk sahaja sebut fasal muzakarah tapi tidak pernah buat. Sepatutnya setiap isu yang timbul di kalangan umat Islam diselesaikan secara muzakarah bagi mendapat gambaran lebih jelas dan bukan pandangan sebelah pihak sahaja.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, isu muzakarah sebenarnya berlaku sejak PAS diketuai Dato’ Asri Muda lagi.

“Tapi sampai sekarang isu itu tidak pernah selesai. Hanya sibuk sahaja sebut fasal muzakarah tapi tidak pernah buat.

“Jadi dalam keadaan sekarang ini paling sesuai membincangkan tentang isu kenapa ada orang hendak tolak Islam,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Sebelum ini Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan perjuangan PAS kini sudah menyeleweng daripada matlamat asal serta menyalahgunakan agama Islam demi kuasa dan politik.

Oleh itu beliau mencadangkan Majlis Fatwa Kebangsaan mempertimbangkan diadakan muzakarah bagi membincangkan kewajaran PAS menggunakan perkataan Islam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, muzakarah merupakan fitrah manusia sejak usia kecil lagi.

“Bertengkar juga dinamakan muzakarah ketika kita kecil. Bertengkar dan berbalah itu sama sahaja, erti masing-masing mahu berhujah.

“Soal muzakarah memang PAS hendak lama dah dengan Umno atau sesiapa sahaja. Saya ingat sejak saya baru balik belajar dari Mesir lagi.

“Tetapi sampai sekarang tak jadi. Saya memang setuju muzakarah sebab itu sudah menjadi fitrah manusia,” ujarnya.

Dipetik Sinar Harian Online sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya juga menyatakan kesediaan untuk bermuzakarah dengan PAS berhubung isu kepentingan Islam dan Melayu. Bagaimanapun, beliau meletakkan garis panduan supaya muzakarah itu mencapai objektifnya dalam usaha menegakkan syiar Islam.

Beliau turut menegaskan perbincangan itu mesti dilaksanakan dengan ilmiah, bukannya berlandaskan emosi dan sanggup menerima kebenaran yang berasaskan kepada al-Quran dan Sunnah, selari dengan petunjuk Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman pula menyifatkan perbincangan sesama Islam adalah satu perkara yang baik bagi kekuatan dan kepentingan ummah. Sehubungan itu, beliau menyarankan muzakarah itu wajar diadakan bersama Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan supaya ia lebih telus dantidak cenderung kepada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula tidak merasakan adanya keperluan untuk bermuzakarah dengan PAS kerana jelasnya, parti Islam itu sudah tergelincir daripada matlamat asal perjuangan mereka. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails