Friday, January 06, 2012

Sekarang, Mahasiswa Serah Bukti Polis Ganas!

Safwan Anang  (dalam kerusi roda) menunjukkan laporan polis beliau yang dibuat semalam berhubung keganasan polis yang menimpa dirinya di UPSI pada 1 Januari, 2011. — Gambar oleh Jack Ooi
Safwan Anang (dalam kerusi roda) menunjukkan laporan polis beliau yang dibuat semalam berhubung keganasan polis yang menimpa dirinya di UPSI pada 1 Januari, 2011. — Gambar oleh Jack Ooi

KL, 6 Jan 12: Kumpulan mahasiswa yang terlibat dalam demonstrasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini akan menyerahkan bukti keganasan polis di Bukit Aman selepas solat Jumaat. Menurut aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim, selain serahkan bukti keganasan polis kumpulan mahasiswa itu juga akan menyerahkan memorandum.

“Kita akan serahkan bukti penting keganasan polis di UPSI pada petang ini di Bukti Aman.

“Kita ada banyak bukti keganasan polis, kita ada dalam bentuk video dan juga gambar yang menunjukkan polis bertindak kasar terhadap mahasiswa,” katanya selepas memberikan keterangan berhubung insiden menurunkan kain rentang bergambar Datuk Seri Najib Razak di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di sini.

Turut hadir peguam Adam Adli (gambar), Fadiah Nadwa Fikri dan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) Muhammad Safwan Anang — yang mendakwa dipukul polis semasa polis cuba menghuraikan demonstrasi aman menuntut kebebasan akademik di UPSI.

Muhammad Safwan yang mengalami kecederaan dalam insiden itu hadir dengan berkerusi roda.

Adam Adli, 22, menjadi perhatian dan dikritik kerana bertindak menurunkan kain rentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di luar ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur bulan lalu.

Dua kumpulan mahasiswa yang akan menyerahkan bukti keganasan polis adalah Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Bebas.

“Muhammad Safwan mempunyai tesmoni dan saksi yang dapat buktikan polis telah bertindak ganas semasa menahannya.

“Kita mempunyai bukti-bukti ini dan kita akan dedahkan pada petang ini,” kata Adam Adli yang menuntut di UPSI.

Justeru beliau berharap dengan pendedahan itu dapat menutup mulut individu-individu yang mengkritik dan menuduh mereka membuat cerita palsu berhubung perkara itu.

“Saya nak tanya pada malam ini berapa ramai anggota polis yang cedera? Tiada sesiapapun yang cedera malah mereka menahan aktivis mahasiswa dengan ganas dan kasar.

“Sekarang kita ada bukti itu, kita nak tutup mulut orang yang tidak bertanggungajwab... kami akan buktikan,” katanya.

Polis sebelum ini telah menafikan dakwaan memukul beberapa aktivis mahasiswa semasa menghuraikan demonstrasi aman di UPSI, menegaskan “tiada pergelutan” berlaku apabila tangkapan dibuat.

Mahasiswa dan ahli politik pembangkang telah mendakwa beberapa mahasiswa yang terlibat dalam demonstrasi aman menuntut kebebasan akademik telah dipukul dan ditangkap awal pagi selepas ingkar arahan agar bersurai.

Seramai 17 aktivis mahasiswa telah ditahan dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi dan kesemua mereka dibawa ke balai polis Tanjung Malim.

Dalam demonstrasi yang diadakan pada malam sambutan tahun baru itu, Muhammad Safwan dikatakan dipukul, ditumbuk dan ditendang sehingga tidak sedarkan diri.

PKR mendakwa Muhammad Safwan telah dipukul oleh lapan anggota polis dan anggota Unit Cawangan Khas. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails