Saturday, September 17, 2011

Selamat M'sia, Bahasa Melayu Belum Merdeka?

Allahyarham Aminuddin Baki

PPSMI, Dr Mahthir (UMNO) mantan PM pengkhianat bahasa Melayu?

KL 17 SEPT 11: “Ancaman datang daripada golongan Melayu yang kurang percaya tentang kebolehan Bahasa Melayu sehingga timbulnya rasa tidak tahu membuat apa-apa bila Bahasa Inggeris cuba hendak diganti dengan Bahasa Melayu. Ini adalah keadaan yang biasa di kalangan bangsa yang dijajah, hasil penjajahan di alam fikiran dan kehidupan penduduk”.

Kata-kata ini diucapkan oleh Aminuddin Baki pada 1956 pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga, 16-21 September di Johor Bharu, Johor. Mungkin generasi yang berumur 20-an dan 30-an tahun tidak mengenali siapa Aminuddin Baki.

Beliau ialah Ketua Penasihat Pendidikan Malaysia (kini jawatan tersebut dikenali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan) pada 1962. Sepanjang kerja beliau telah turut menyusun Dasar Pelajaran Kebangsaan melalui Laporan Pendidikan Razak pada 1956 dan Laporan Rahman Talib pada 1960.

Tan Sri Hamdan Sheikh Tahir yang juga bekas Ketua Pengarah Pendidikan menyifatkan Aminuddin Baki sebagai Bapa Pendidikan Moden Malaysia. Dalam bidang pendidikan, Aminuddin telah mempelopori pelbagai aspek pendidikan seperti kurikulum, pentadbiran, aspek bahasa pengantar, falsafah pendidikan negara dan juga aspek yang menyentuh masalah pendidikan negara.

Beliau diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai perancang pendidikan yang bijaksana dan berpandangan jauh di Asia oleh Unesco. Pandangan Aminuddin Baki tersebut telah dikemukakan oleh beliau ketika Tanah Melayu belum lagi mencapai kemerdekaan. Beliau menyatakan ada golongan orang Melayu yang tidak percaya tentang kebolehan Bahasa Melayu dan apabila Bahasa Inggeris ingin diganti dengan Bahasa Melayu golongan ini seperti tidak yakin dan tidak menyokong tindakan tersebut.

Walaupun ucapan Aminuddin Baki ini dibuat pada 1956 tetapi beliau seperti merasakan apa yang diucapkan itu benar-benar akan berlaku. Pada hakikatnya memang terdapat golongan orang Melayu yang menolak kebolehan Bahasa Melayu sebagai bahasa penyampai ilmu. Sejarah kewujudan Bahasa Melayu telah bermula sejak zaman awal abad masihi lagi.

Pada abad ini, orang Cina memanggil Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kun Lun dan orang India memanggil Bahasa Melayu dengan panggilan Bahasa Dwipantara. Pada abad keempat pula Bahasa Melayu telah ditemui pada catatan sejarah yang terdapat pada batu bersurat atau prasasti di Campa, sebuah kerajaan Melayu di Indocina.

Penggunaan Bahasa Melayu semakin berkembang dengan wujudnya kerajaan Sriwijaya dari abad ketujuh hingga abad ke-13. Sementara Bahasa Inggeris dikatakan berasal dari Bahasa Jerman, dari orang-orang Jerman yang berhijrah ke Britain sekitar abad kelapan dan kesembilan dan mula berkembang pada abad ke-13.

Untuk memberikan kedudukan yang kukuh Bahasa Melayu telah diberikan peruntukan Fasal 152 yang meletakkanya sebagai bahasa rasmi iaitu bahasa yang digunakan bagi segala urusan rasmi di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. Kedudukan Bahasa Melayu diperkuatkan dengan wujudnya Akta Pendidikan 1961, Akta Bahasa Kebangsaan 1967/1968, Akta Institut PengajianTinggi Swasta 1996 dan Akta Pendidikan 1996 yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan di negara ini.

Tetapi apa yang berlaku bukan sahaja akta-akta tersebut tidak dilaksanakan, malahan pada bulan Julai 2002, Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan, mulai 2003 pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris iaitu dasar PPSMI. Setelah bantahan demi bantahan dilakukan terhadap PPSMI termasuk demonstrasi besar-besar pada 7 Mac 2009, kerajaan bersetuju PPSMI dimansuhkan dan diajar sepenuhnya dalam bahasa Melayu dan ibunda mulai 2012.

Walaupun langkah penghapusan PPSMI baru bermula tetapi telah ada segolongan orang Melayu yang telah menjerit-jerit supaya PPSMI dilaksanakan semula dengan alasan ibu bapa diberi pilihan supaya Bahasa Inggeris dibenarkan untuk PPSMI. Golongan ini mahu PPSMI dilaksanakan kerana jiwa mereka yang kerdil dan masih terjajah dan mengganggap hanya Bahasa Inggeris yang boleh memajukan mereka.

Sepatutnya setelah lebih 54 tahun merdeka dan 48 tahun pembentukan Malaysia, kerajaan sewajarnya telah berjaya memartabatkan Bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya mengikut Fasal 152, Akta Pendidikan 1961, Akta Bahasa Kebangsaan 1967/1968, Akta Institut Pengajian Tinggi Swasta 1996 dan Akta Pendidikan 1996.

Selamat menyambut Hari Malaysia. Tetapi di mana kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi masih belum merdeka! (IH/sumber The Malaysian Insider)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails