Saturday, September 17, 2011

Pelakon Drama Geng Surau Ditangkap Khalwat


HALAMAN HIBURAN

PETALING JAYA: Pelakon, Razak Ahmad memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini, Khamis, kehadirannya di rumah seorang ahli perniagaan berstatus isteri orang pada malam mereka ditangkap berkhalwat pada 1 April 2006 hanya disebabkan dia mahu mengambil baju yang ditaja wanita itu untuk satu program televisyen.

Razak, 44, yang sinonim dengan watak orang alim dalam drama televisyen itu menambah, wanita tersebut, Selamah Sahudin, 45, sering menaja baju berunsurkan keislaman seperti baju Melayu, jubah dan kurta yang dipakainya dalam sesuatu program seni.

Mengenai kehadirannya di rumah itu pada pukul 1 pagi, Razak memberitahu waktu tersebut ditetapkan oleh Selamah memandangkan dia perlu ke RTM pada pukul 2 atau 3 pagi untuk menjalani latihan. Tambahnya, itu adalah kali pertama dia berkunjung ke rumah itu yang dianggapnya sebagai tempat stor menyimpan pakaian memandangkan pada hari lain, baju-baju akan diambil dari sebuah kedai milik Selamah pada waktu siang.

Mengimbas kejadian yang berlaku, pelakon drama “Geng Surau” itu memberitahu, Selamah mempelawa dia untuk masuk ke rumah bagi mencuba beberapa baju yang dirasakan sesuai untuk dipakai dalam siaran langsung tersebut. Katanya lagi, Selamah kemudiannya mengunci pintu jeriji dan menutup pintu utama rumah kerana dua unit yang terletak berhampiran rumah tersebut dijadikan sebagai asrama pekerja-pekerja asing.

Ketika peguam syarie Mohammad Azman Karim yang mewakili dirinya mengenai pakaian yang dipakai oleh Selamah, Razak menjawab wanita itu berpakaian lengkap.

"Dia berpakaian biasa, menutup aurat iaitu bertudung. Saya tidak pernah melihat dia tanpa tudung. Tapi saya tidak beberapa ingat pakaian yang dipakai kerana saya tidak perhatikan, cuma pakaian itu senonoh," katanya di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis.

Razak seterusnya memberitahu, dia mencuba tiga pasang baju di dalam bilik utama rumah tersebut sebelum memperagakannya kepada Selamah yang berada di ruang tamu bagi memastikan baju tersebut benar-benar selesa. Malah, dia juga membuat aksi seperti sedang mengaji lengkap dengan Al-Quran dan rehal yang dibawanya sebagai persediaan untuk ke RTM.

Selepas mencuba, Razak kemudiannya kembali ke dalam bilik untuk membuka baju tersebut yang digantung untuk mengeringkan peluh sebelum digosok semula oleh Selamah. "Saya pula berada di birai katil kerana mahu mengeringkan peluh," katanya sambil menambah, hanya bersinglet dan berseluar pada masa itu.

Pada keterangannya, Razak juga berkata, dia mendengar pintu jeriji digoncangkan dan diberitahu oleh Selamah bahawa suaminya datang ke premis tersebut.

"Saya hanya duduk di dalam bilik. Saya beranggapan yang datang itu suaminya kerana mereka membahasakan diri sebagai mama dan papa. Saya mendengar suami Selamah menjerit menyuruh saya keluar dan mendapati ada anggota polis bersamanya," katanya.

Razak didakwa berkhalwat dengan Selamah pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006 di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, dekat sini. Dia didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 14 September 2006, Selamah yang mengusahakan perniagaan butik, mengaku bersalah dan didenda RM2,850 atau penjara tujuh bulan, jika gagal membayar denda itu.Prosiding yang dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JAIS, Shafezan Rusli di hadapan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad bersambung pada 6 Oktober depan.

Komen Weblg Ibnu Hasyim: Apakah khalwat itu?

Khalwat (khalwah) dalam bahasa Arab bererti berdua di suatu tempat dimana tidak ada orang lain. Maksud dari tidak adanya orang lain dalam hal ini mencakup:

  • tidak ada orang lain sama sekali; atau
  • ada orang lain dan keberadaan keduanya kelihatan tetapi pembicaraan antara keduanya tidak dapat didengar oleh orang itu.

Inilah makna khalwat secara bahasa. Menurut al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah (Ensiklopedi Fiqh Kuwait), makna bahasa sebagaimana dipaparkan di atas semakna dengan terminologi khalwat menurut ahli-ahli fiqh Islam. Dengan kata lain tidak ada perbedaan untuk kata khalwat antara makna bahasa dan makna istilah syar’i.

Lebih lanjut Syekh Abdullah al-Bassam menyebut dua bentuk khalwat.

  • Pertama, mughallazhah (berat), ialah berduanya seorang lelaki dan wanita di suatu tempat yang mana keduanya tidak dilihat oleh orang lain.
  • Kedua, mukhaffafah (ringan), iaitu berduanya seorang lelaki dan wanita di tengah-tengah manusia sehingga keduanya kelihatan namun percakapan antara keduanya tidak dapat didengar oleh orang lain.

Rasulullah SAW melarang khalwat. Sabda beliau: “Janganlah sekali-kali seorang lelki berduaan dengan seorang wanita, kerana yang ketiganya adalah syaitan.” (HR. Ahmad dengan sanad yang shahih)

Jelas, berdua seorang lelaki dengan wanita yang bukan mahramnya sangat potensial membuka peluang terjadi fitnah, walaupun bolehjadi keduanya tidak memiliki niat jahat. Oleh sebab itu, hadits di atas dengan tegas melarang perbuatan tersebut. Dengan merujuk kepada makna khalwat di atas maka banyak fenomena khalwat yang dapat dikemukakan.

Terutama khalwat yang umumnya kurang diperhatikan oleh masyarakat kita. Contohnya adalah berduanya seorang lelaki dengan wanita di atas kendaraan. Walaupun lelaki tersebut sedang memandu, misalnya. Keduanya di dalam kereta memang dilihat oleh orang lain, tetapi cakap-cakap keduanya tidak didengar oleh siapapun.

Termasuk dalam kategori perbuatan khlawat adalah “khalwat profesion”. Iaitu khalwat yang terjadi kerana “tuntutan” profesion. Konsultan, dokter, perawat, adalah sebagian contoh. Profesion-profesion ini rentan untuk boleh berdua dengan klien atau pasiennya. Tidak terkecuali pula, dalam konteks khalwat ini, yang kerap terjadi dalam sebahagian masyarakat adalah khalwat dalam pergaulan dengan kerabat dekat yang bukan mahram.

Dalam sebuah hadits, Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah kalian masuk ke (ruang) wanita.” Seorang lelaki Anshar bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana dengan kerabat suami?” Beliau menjawab: “Kerabat suami itu (laksana) maut.” (HR. Bukhari)

Dalam hadits ini, Rasulullah menyebut kerabat suami sebagai maut kerana dapat menjerumuskan kepada hal-hal yang tidak dikehendaki. Apalagi jika mengingat kedudukan keluarga suami yang demikian dekat sehingga jarang menimbulkan kecurigaan dan luput dari perhatian.

Sebagai solusi untuk keluar dari problem khalwat ini adalah dengan bersama dengan lelaki atau wanita lain. Demikian menurut Imam Abu Hanifah. Lebih baik lagi jika lelaki atau wanita tersebut adalah mahram.

Janganlah seorang lelaki berdua dengan seorang wanita,” Sabda Rasulullah SAW “kecuali dengan mahram.” (HR. Bukhari)

Hadits ini bersama hadits-hadits yang lain memberi makna bahawa kondisi khalwat dapat dihilangkan dengan kehadiran salah satu lawan jenis lain. Dengan demikian, hilanglah kondisi khalwat yang dapat menimbulkan fitnah. Tentu saja bila komunikasi atau berkumpulnya antara lelaki dan wanita tersebut dalam perkara-perkara yang mubah dan dengan tetap menjaga batasan-batasan syariat yang ada.

Jika dikaitkan dengan tujuan syariat yang salah satunya adalah (menjaga nasab/keturunan), jelas relevan dan hikmah tuntunan syariat untuk menghindari khalwat. Keinginan Islam untuk menciptakan jalinan masyarakat yang harmonis, bersih dari penyimpangan, dan berjalan di atas fitrah yang murni adalah sebahagian hikmah di balik larangan khalwat ini.

Wallahu ta’ala a’lam bi al-shawab.

Kembali Ke Atas

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails