Friday, September 16, 2011

ISA: Tolak 1 Campur 2, Mengecewakan. -Guan Eng


GEORGE TOWN, 16 Sept 11: Lim Guan Eng menegaskan langkah pentadbiran Najib mahu menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan dua undang-undang baru satu perkembangan yang mengecewakan dan penjenamaan semula akta yang kontroversial itu.

Justeru kata beliau, inisiatif pembaharuan politik yang diumumkan malam tadi adalah sesuatu yang tidak bermakna jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu mengadakan undang-undang baru bagi tujuan yang sama.

“Ya, sudah pasti ia berita yang baik tetapi jika anda mahu menggantikan dengan dua undang-undang baru, maka ia akan menjadi dua ISA?

“Kami tidak mahu melihat satu situasi di mana anda memasukkan wain yang lama dalam satu botol yang baru,” kata beliau pada sidang media hari ini.

Lim (gambar), seorang bekas tahanan ISA berkata, rakyat Malaysia mahukan elemen peruntukan boleh menahan seseorang tanpa perbicaraan dibuang daripada mana-mana undang-undang pencegahan yang mahu diadakan.

Setiausaha Agung DAP menambah, satu tempoh yang pendek boleh dibenarkan bagi penahanan tetapi tahanan mesti dibicarakan di mahkamah. Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia semalam, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Kata Najib, dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah. Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik. Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan, kata Najib semalam. Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa. Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, Putrajaya seharusnya memansuhkan undang-undang berkaitan media selari dengan usaha memansuhkan ISA.

“Saya juga mangsa PPPA . . . saya ditahan selama 18 bulan,” kata beliau.

Lim juga membidas pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA, Gerakan dan MIC kerana menyokong pembaharuan diumumkan oleh Najib kerana mereka juga menyokong ISA sebelum ini.

“Sekarang, mereka cuba untuk mengambil kredit dengan pengumuman Najib,” kata Lim lagi.

Sehubungan itu kata Lim, rakyat Malaysia seharusnya diberikan pujian atas pengumuman Najib semalam, yang dilihat sebagai hasil perubahan landskap politik menerusi pilihan raya umum 2008. Pilihan raya umum 2008 menyaksikan tsunami politik dengan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dinafikan dan lima negeri dikuasai komponen Pakatan Rakyat.

“Mereka menyokong pembangkang yang berjuang untuk kebebasan yang lebih luas. Ia juga kesan kebangkitan di negara-negara Arab . . . jadi kerajaan-kerajaan, diktator-diktator jatuh pada era moden ini, ia tidak lagi berfungsi lain,” katanya lagi. (iH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails