Tuesday, December 01, 2009

Isu Minyak & Doa: Husam Nak Jumpa PM & ...



KUALA LUMPUR, 1 Dis: Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Kelantan Datuk Husam Musa hari ini menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai respon berhubung persetujuan Najib berunding dengan kerajaan negeri Kelantan.

Surat tersebut antara lain memohon pertemuan segera antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan tuntutan royalti negeri itu. Ekoran itu, Husam yang juga exco kerajaan negeri juga telah bertemu dengan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan memohon agar satu pertemuan diatur di antara wakil kerajaan Kelantan dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Oleh kerana Perdana Menteri semalam telah menyatakan persetujuan untuk berunding, saya bagi pihak kerajaan negeri Kelantan selaku Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Kelantan yang dilantik oleh exco telah menghantar surat kepada Perdana Menteri hari ini,"

"Tadi juga saya telah berjumpa Ketua Penerangan Umno Malaysia Datuk Ahmad Maslan mohon jasa baik supaya diatur perjumpaan dan perundingan di antara wakil kerajaan negeri dengan Jabatan Perdana Menteri sendiri dalam isu tuntutan royalti ini," katanya dalam satu sidang media di lobi parlimen pagi tadi.

Beliau turut menjelaskan mengenai 'doa' Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menurutnya telah dimanipulasi oleh media arus perdana dengan mengambil sebahagian sahaja daripada ucapan Nik Aziz.

"Doa Tok Guru (Nik Aziz) bukan terus minta jatuhkan hukuman ke atas Perdana Menteri tetapi mengenai supaya Perdana Menteri berbesar hati untuk berunding dan mempertimbangkan bayaran royalti terhadap kerajaan negeri. Jika selepas satu masa beliau masih enggan (berbuat demikian) barulah tok guru minta supaya Allah letakkan bala kepada Perdana Menteri,"

"Tetapi media telah ambil sebahagian sahaja daripada ucapan tersebut dan telah memanipulasikan bahagia terakhir ucapan itu untuk menggambarkan Menteri Besar Kelantan hanya sukakan konfrantasi dengan Perdana Menteri," jelasnya.

Jumaat lepas, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata beliau akan berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Najib dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan. Nik Aziz juga dilaporkan telah menjelaskan kenyataannya itu. (Sumber Harakahdaily/2MA)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails