Monday, October 19, 2009

Lagu ganti demonstrasi jalanan, Bolehkah?

HALAMAN HIBURAN




JIKA desakan terhadap pemansuhan akta ISA sebelum ini dilihat sinonim dengan demonstrasi jalanan, pendekatan terbaru Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) melalui nyanyian dan persembahan pentas mungkin boleh mengubah persepsi itu.

Malam tadi, seorang penyanyi folk berbakat besar, Meor Yusof Aziddin mengambil inisiatif melagukan kritikan pedas terhadap akta itu di atas pentas GMI.

"Rakus, kau perkosa jiwa rakyat/kau rampas anugerah kurniaah Ilahi/apakah ertinya kebebasan di bawah belenggku kau/apakah ertinya kebebasan di bawah belenggu kau?

"Fitnah, kau lontarkan tohmahan kau/kaupalitkan arang ke mukaku/apakah ertinya maruah di bawah fahaman kau/apakah ertinya hak di bawah telunjuk kau?
" demikian senikata lagu ISA (Ikut Suka Aku) dipetik.

Dalam album Dari Rakyat untuk Rakyat (DRUR), Meor - penyanyi indie yang aktif dengan persembahan jalanan - didukung beberapa penulis popular seperti Hishamuddin Rais, Pyanhabib, Abdullah Jones dan Rahmat Haron yang tampil menyumbangkan lirik.

Beraksi hanya di sebuah dewan orang ramai di Kuala Lumpur malam tadi, program GMI kali ini berbeza sekali dengan pendekatan sebelumnya yang sering menganjurkan pidato politik yang berapi-rapi.

Di hadapan kira-kira 100 penonton yang hadir, Meor berjaya menyampaikan mesej tersiratnya dengan santai melalui dendangan lagu-lagu berentak catchy, antaranya ISA (Ikut Suka Aku), Bapakku Seorang YB, Rakyat Bersatu dan Shuhada Memali.

Album propaganda

Sasterawan Negara A Samad Said, ADUN Hulu Klang Saari Sungib, pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh dan penyair terkenal Dinsman turut hadir.

Meor ketika ditemui Malaysiakini berkata, beliau tampil menampilkan album "propaganda" itu kerana turut tidak berpuas hati dengan akta ISA.

"Saya mahu meraikan pandangan rakan-rakan yang menulis lirik-lirik sebegini. Saya berkongsi pandangan dengan mereka. Selama ini tidak ada album sebegini dibuat.

"Kalau kita buka radio, hanya lagu-lagu yang sama juga dimainkan," kata anak kelahiran Perak itu.

Menurutnya lagi, setelah menghasilkan enam album, inilah kali pertama beliau merasa berpuas hati dengan hasil karyanya.

"Saya rasa inilah yang saya hendak lakukan. Ia selari dengan perkembangan semasa," kata peminat P Ramlee itu.

DRUR memuatkan sepuluh lagu dan diterbitkan sendiri oleh pencipta dan penyanyinya sendiri. Buat masa ini, DRUR boleh didapati dengan menghubungi pengedarnya di talian 012-59 01 798.

Blog Ibnu Hasyim: Lagu ganti demonstrasi jalanan.. Bolehkah sampaikan matlamat berat itu? Boleh, sekurang-kurang akar ganti rotan!

(Malaysia kini/AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails