Saturday, October 24, 2009

Kicap Beralkohol & Penipuan Sijil Halal.

PENGGUNA
KUALA LUMPUR: Sebuah restoran mewah di ibu negara yang mempamerkan logo halal besar di hadapan premis dikesan menggunakan sejenis kicap beralkohol buatan Jepun bagi menyedapkan masakan selain turut digunakan untuk memerap ayam sebelum dimasak dan dihidangkan. Kicap terbabit juga dipercayai berfungsi mirip wain yang menjadi bahan popular dalam resipi masakan barat. Demikian sumber berita dipetik dari MyMetro semalam.

Ketika pemeriksaan, pemilik restoran terbabit mendakwa dia membeli sijil halal yang tidak diiktiraf Jakim itu pada harga RM3,000 daripada sebuah syarikat. Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Mohd Amri Abdullah, berkata sijil halal palsu berkenaan sebelum ini turut dikesan dijual pihak syarikat terbabit secara berleluasa terutama kepada pengusaha syarikat pengeluar makanan bukan Islam.

Pemeriksaan sama turut dilakukan terhadap sebuah restoran berhampiran yang dikesan menggunakan logo halal Jakim tanpa kebenaran. Mohd Amri berkata, pemilik restoran terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perihal Dagangan 1972 kerana memalsukan logo sijil halal Jakim yang boleh membawa denda maksimum RM250,000 jika sabit kesalahan.

Sementara itu, syarikat yang mengeluarkan sijil perakuan halal kepada restoran di Wangsa Maju itu mendakwa sijil dikeluarkan mereka sah dan diperakui secara meluas di seluruh dunia. Kakitangan wanita syarikat itu yang enggan dikenali berkata, bagi pemilik restoran yang ingin mendapatkan sijil halal, mereka perlu memastikan ayam dan semua jenis daging termasuk kambing, lembu, kerbau dan sebagainya yang boleh dimakan mempunyai sijil sembelihan yang sah.

“Semua pihak boleh memohon dapatkan sijil halal ini dengan borang diperoleh menerusi laman web kami, tapi perlu sertakan dokumen berkaitan termasuk mahu sijil sembelihan yang disahkan halal, menu masakan dan bahan digunakan.

“Setiap permohonan diterima akan disemak pegawai kami sebelum melakukan pemeriksaan menyeluruh di restoran terutama bahagian dapur, malah pemohon perlu menyertakan dua kakitangan beragama Islam memasak di dapur.

“Selepas berpuas hati dan yakin pengurusan restoran menggunakan produk halal barulah kami akan keluarkan sijil yang dicaj mengikut kriteria tertentu sama ada dalam mahupun luar negara,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dia berkata, bayaran untuk pengeluaran sijil halal bagi restoran di Lembah Klang ialah RM800 tidak termasuk caj pemeriksaan RM200, manakala untuk kios, medan selera, kafe dan kantin, masing-masing dikenakan bayaran RM200, RM400 dan RM600.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Dalam kes ini dua perkara perlu dijelaskan. Pertama, status haram kicap beralkohol. Kedua, masalah sijil halal palsu. Perkara-perkara seperti ini perlu ditangani dengan baik oleh pihak berwajib demi khidmat untuk kemudahan kepada rakyat dan masyarakat. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails