Saturday, October 24, 2009

Bajet 2010: Bimbang IPTA Jana Pendapatan Sendiri -Tim Pres PAS



AHLI parlimen Bachock, Nasharudin Mat Isa yang juga Timbalan Presiden PAS melahirkan kebimbangan mengenai cadangan kerajaan untuk membenarkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menjana hasil pendapatan sendiri agar dapat mengurangkan kebergantungan kewangan IPTA kepada kerajaan.

Apa yang dibimbangkan ujarnya, kebebasan yang diberikan kepada IPTA untuk menjana pendapatan sendiri itu akan menjejaskan fungsi IPTA untuk membangunkan modal insan.

"Universiti diberikan semacam satu kebebasan untuk menjana pendapatan, tetapi tidak disentuh dalam pembentangan itu mengenai peluang-peluang yang harus diberikan kepada universiti untuk benar-benar membangunkan modal insan."

"Saya bimbang universiti akan menjadi institusi yang hanya menjana kewangan lebih daripada institusi untuk membangunkan modal insan," katanya.

Najib dalam pembentangannya berkata, dalam usaha kerajaan memperkasakan IPTA supaya lebih berdaya saing dan dapat meningkatkan ranking mereka berbanding universiti lain di dunia, kerajaan akan menimbangkan untuk memberi lebih autonomi dalam pengurusan kewangan, sumber manusia, pentadbiran, kemasukan pelajar dan penjanaan pendapatan.

Dengan autonomi yang bertambah ujarnya, IPTA misalnya akan dibenarkan untuk menjana hasil pendapatan melalui penubuhan anak syarikat.

"Bagi mencapai objektif ini, kerajaan sedia mempertimbangkan kelonggaran peraturan dan syarat yang menyekat IPTA menjana pendapatnnya sendiri, "katanya.(AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails