Friday, September 04, 2009

Jangan Tunduk Desakan SIS, JAG -Nasharuddin Mat Isa.


SHAH ALAM - Kerajaan tidak perlu tunduk dengan desakan Sister In Islam (SIS) dan The Joint Action Group for Gender Equality (JAG) yang mahu Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah dikaji semula

Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, berkata kes yang melibatkan model sambilan, Kartika Sari Dewi adalah kompleks memandangkan ia merupakan insiden pertama yang berlaku di bawah Undang-Undang Syariah di Malaysia.

Menurutnya, kedua-dua pertubuhan tersebut telah menjadikan asas syarak, garis panduan hukuman, perundangan dan perlembagaan serta pematuhan terhadap polisi di peringkat antarabangsa untuk dijadikan perbahasan seterusnya untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

“Bagaimanapun, saya tidak bersetuju dengan gesaan drastik pihak SIS dan JAG terhadap kerajaan untuk mengkaji semula Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah di Malaysia bagi membolehkan semua kesalahan jenayah yang dilakukan oleh rakyat di negara ini ditadbir di bawah Kanun Keseksaan peringkat persekutuan.

“Bagi saya ini adalah satu campur tangan di luar daripada bidang kuasa pihak yang mengemukakan cadangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, di bawah Perlembagaan Persekutuan, terdapat peruntukan yang jelas mengenai Islam sebagai Agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3 (1).

Oleh yang demikian katanya, sekiranya Perdana Menteri melayan tuntutan pihak tersebut, pendekatan itu sekali gus mengeruhkan lagi keadaan sehingga mampu menyentuh bidang kuasa Sultan, asas agama dan institusi-institusi Islam di Malaysia.

“Saya khuatir kes Kartika ini akan di manipulasi untuk meminggirkan dan memandang prejudis terhadap Islam, umat Islam perlu berhati-hati dengan usaha pihak-pihak tertentu yang dilakukan secara terancang untuk cuba mengganggu gugat urusan agama Islam termasuk mendoktrinkan kefahaman yang salah daripada ajaran yang sebenar,” katanya. (Sumber Sinar Harian)

Tulisan ini ada kaitan..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails