Tuesday, September 01, 2009

Royalti Minyak: K'tan-Pusat Makin Baik -Nik Aziz.

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam, mengakui hubungan di antara Kerajaan Negeri yang dipimpin Pas dengan Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional semakin baik.

Nik Abdul Aziz berkata, perkembangan itu jelas apabila beliau diundang beberapa kali bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. “Semakin baik (perkembangan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat). Saya baru-baru ini dijemput jumpa Perdana Menteri. Saya pun ada pergi ke Pekan jumpa Perdana Menteri.. Saya baru-baru ini pun ada jemput Perdana Menteri datang merasmikan projek oleh ECER yang dijadualkan suatu masa nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Kemerdekaan Ke-52 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV dekat sini, semalam.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika mengulas perkembangan yang dijalin di antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Pusat pada masa kini. Mengenai tuntutan royalti minyak yang dibuat Kelantan kepada Kerajaan Pusat, beliau berkata, daripada maklumat diperolehinya, memang mengesahkan Kelantan berhak menerima bayaran royalti itu.

“Dari segi ketentuan memang Kelantan berhak. Insya-Allah sempena Ramadan ini Allah buka pintu hati kita semua baik Pusat baik negeri menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya. Kelantan sebelum ini menuntut Pusat menjelaskan tunggakan royalti hasil pengeluaran petroleum di negeri itu yang dikatakan RM1 bilion setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata, tunggakan itu berikutan Kerajaan Pusat tidak menjelaskan royalti yang sepatutnya diberikan kepada rakyat negeri ini. Menurutnya, anggaran pengeluaran minyak di negeri ini berjumlah RM2.5 bilion setahun berdasarkan data Jabatan Perangkaan.

"Sebanyak RM2.615 bililon dihasilkan pada 2006 dan terbaru RM2.7 bilion pada 2008," katanya. Husam berkata, dengan konsep 1Malaysia yang dicanangkan selama ini oleh Kerajaan Pusat ia diharap tidak menjadi masalah untuk Kerajaan Pusat membayar royalti itu kepada rakyat Kelantan, (Sumber Sinar Harian)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails