Tuesday, September 01, 2009

Tiada P/raya Kecil DUN Kota Siputih -SPR

MB Kedah Azizan Razak

PETALING JAYA September 1 2009: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan tidak wujud kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh dan tidak perlu diadakan pilihan raya kecil.

Dengan keputusan itu, kerusi tersebut yang menjadi perhatian sejak dua minggu lalu kekal milik Barisan Nasional (BN) yang dimenangi pada Mac 2008. Ini kali kedua SPR memutuskan untuk tidak mengisytiharkan kekosongan mana-mana kerusi, sekali gus mengelakkan daripada diadakan pilihan raya kecil. Langkah yang sama diambil ke atas kerusi DUN Changkat Jering dan Behrang - kedua-duanya di Perak Februari lalu tetapi atas alasan berbeza.

"SPR juga memutuskan bahawa kerusi ADUN Kota Siputeh masih disandang oleh Datuk Abu Hassan Sarif yang beliau menangi dalam pilihan raya umum ke-12 yang lepas," kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dalam kenyaatan yang dikeluarkan lewat petang tadi.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat khas selama empat jam yang diadakan sejak 10 pagi tadi. Pilihan raya kecil itu menjadi sebutan banyak pihak ekoran kemungkinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sarif dari Umno-BN digugurkan daripada jawatannya kerana gagal hadir dua kali sidang DUN tanpa kebenaran Speaker. Oleh itu, SPR telah meminta pandangan penasihat undang-undangnya dan juga Jabatan Peguam Negara mengenai isu berkenaan.

Beliau dikatakan tidak hadir Mesyuarat Kelima Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri pada 19 April lalu dan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri pada 9 Ogos lalu.

Justeru, SPR memutuskan bahawa berdasarkan kepada takrif perkataan consecutive meetings, Mesyuarat Kelima Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Kedah dan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah bukanlah consecutive meetings dalam erti kata Perkara 51.

Sehubungan itu, kata Abdul Aziz, adalah tidak tepat jika dikatakan bahawa Abu Hassan tidak hadir dua mesyuarat berturut-turut. Dalam penjelasannya, Abdul Aziz berkata, SPR berpendapat "ini adalah kerana mesyuarat yang tidak dihadiri oleh ADUN berkenaan bukanlah dua mesyuarat berturut-turut dalam satu penggal persidangan."

"Sebaliknya ia adalah dua mesyuarat berturut-turut bagi dua penggal yang berbeza. Tempoh masa antara penggal persidangan pertama dan penggal persidangan kedua ialah selama tiga bulan 20 hari," katanya.

Abdul Aziz menambah, setelah meneliti dokumen dan mengkaji fakta yang dikemukakan kepada SPR serta kedudukan undang-undang yang berkaitan, pada menjalankan kuasa di bawah Fasal (5) Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah, diputuskan bahawa mesyuarat yang tidak dihadiri oleh ADUN Kota Siputeh bukanlah dua mesyuarat berturut-turut dalam satu penggal persidangan dalam erti kata Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.

Sebaliknya ia adalah dua mesyuarat berturut-turut untuk dua penggal yang berbeza, jelas beliau.

"Surat cuti sakit yang dikemukakan oleh ADUN Kota Siputeh diterima oleh SPR sebagai penjelasan mengenai ketidakhadiran beliau dalam mesyuarat Dewan pada 9 Ogos 2009.. SPR juga mendapati bahawa kegagalan ADUN Kota Siputeh itu menghantar surat cuti sakit kepada Speaker lebih awal (selewat-lewatnya pada 9 Ogos 2009) tidak menjadikan surat cuti sakit itu terbatal.. PR berpendapat bahawa sebelum Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman digunakan, ia hendaklah terlebih dahulu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan. SPR memutuskan bahawa tiada berlaku apa-apa kekosongan pada kerusi Kota Siputeh," katanya.

Dalam pada itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail ketika dihubungi mStar Online juga mengesahkan keputusan SPR itu. Katanya, pejabat beliau menerima faks daripada SPR kira-kira 5 petang tadi. "Rumusan makluman SPR itu ialah tidak wujud kekosongan (kerusi DUN Kota Siputeh) dan pilihan raya kecil tidak diadakan," katanya.

Ketika ditanya tindakan susulannya, Abdul Isa memberitahu, beliau tidak dapat memberikan ulasan lanjut kerana belum menghalusi kandungan penuh keputusan suruhanjaya itu. "Esok, selepas saya meneliti alasan-alasan yang diberikan oleh SPR, baru saya boleh berikan komen lanjut," katanya lagi.

Pada 18 Ogos lalu, Abdul Isa berkata, beliau sudah menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu. Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi. Lawannnya, Ismail Wan Teh dari PAS menerima 7,665 undi. (Sumber Mstar Online/AK)

1 comment:

Kuda Perang said...

Syabas Kerajaan PR Kedah..!!! Walaupun tiada PRK.. kes ini semakin membuka mata umum terhadap Undang2 Tubuh Negeri, UMNO-BeEND tidak bolek memperkotak katik lagi..!!!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails