Saturday, September 05, 2009

Analisis N31: Isu Perkauman Senjata UMNO Makan Tuan.



SEORANG blogger Umno yang juga bekas ADUN Pulau Manis, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz (sakmongkol.blogspot.com) membayangkan Umno tidak boleh menggunakan isu ekonomi, demokrasi dan kedaulatan undang-undang. Demikian kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub di KL hari ini, berikutan pilihan raya kecil N31 DUN Bagan Pinang P132 T/Kemang yang dijangka akan diadakan berikutan kematian ADUNnya Allahyarham Azman Mohd Noor semalam.

"Jika digunakan isu ekonomi, rakyat akan bertanya mengapa hanya kroni tertentu sahaja yang mengaut sebahagian yang amat besar dari kek ekonomi? Jika digunakan isu demokrasi dan kedaulatan undang-undang, rakyat akan mempersoalkan adakah Umno menjunjung nilai-nilai demokrasi dan kedaulatan undang-undang? Satu-satunya isu yang boleh digunakan oleh Umno ialah menakut-nakutkan orang Melayu kononnya kepentingan mereka terancam," Salahuddin menjelaskan.

Sebab itulah, kata beliau, Umno mengapi-apikan perkauman.

"Sambil itu, Umno terus menyembunyikan hakikat bahawa Tanah Rezab Melayu susut kira-kira 44 peratus sepanjang pemerintahannya, RM52 bilion dari RM54 bilion saham yang diperuntukkan kepada bumiputera dari 1984 sehingga 2005 hilang entah ditelan kroni siapa, nasib malang orang-orang Melayu di Pulau Pinang, setinggan-setinggan Melayu dizalimi seperti yang berlaku di Kampung Berembang ketika Umno memerintah Selangor dan pelbagai pengkhianatan lain ke atas orang-orang Melayu ketika di bawah pemerintahan Umno dan BN," kata beliau.

Ditanya mengenai 4,925 undi pos di kawasan itu, Salahuddin berkata, PAS akan membincangkan tindakan yang akan diambil mengenai perkara itu. Dalam pilihan raya umum lalu, Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi di mana 66 peratus darinya Melayu, 10.5 peratus Cina, 19.9 India dan 3.5 peratus bangsa-bangsa lain. Dari carian yang dibuat, kawasan itu mempunyai 4,925 pengundi pos.

Mereka adalah dari Pusasda Kem Si Rusa (1,903 undi), 2 KAD Kem Sunggala (1,130 undi), IJED Kem Kg Sawah (847 undi), IPDA Port Dickson (407 undi), 1 Kompeni KPD Kem Si Rusa (265 undi), 1 WKSP Bgd Kem Sg Sawah (165 undi), Sekolah Pertukangan Perintis (105 undi) dan ILMI Port Dickson (103 undi).

Meskipun demikian, dalam pilihan raya umum lalu, calon PAS Ramli Ismail berjaya memperolehi 4,097 undi, hampir kesemuanya dipercayai dari 9,267 pengundi yang tidak mengundi melalui undi pos. Calon BN, Allahyarham Azman Mohd Nor yang meninggal dunia semalam memenangi kerusi itu dengan mendapat 6,430 undi dengan majoriti 2,333 undi.Salahuddin juga mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Azman dan berharap roh beliau dicucuri rahmat oleh Allah SWT.

Komen Ibnu Hasyim..

Pertama: Dulu dikatakan PAS, DAP adalah parti perkauman bila berkempen di kawasan majoriti Melayu atau Cina. Menyebabkan PAS kalah di kawasan Cina dan DAP kalah di kawasan Melayu. Kerajaan terus meminda kawasan pilihan raya menjadikan undi bukan Melayu sebagai kuasa penentu dalam setiap pilihan raya. Inilah sebenarnya senjata BN.

Tapi suasana kini sudah berubah, rakyat pun sudah muak dengan tingkah laku pemimpin-pemimpin BN. Senjata kuasa penentu pada pengundi bukan Melayu sudah berubah menyokong pembangkang. Senjata BN itu sudah makan tuan. Yang mempertahankan UMNO kini tinggal di kawasan di kawasan majoriti Melayu. Memandangkan N31 DUN Bagan Pinang ini kawasan majoriti Melayu (66%), maka isu perkauman menjadi peluru ampuh bagi pertahankan kawasannya. Mungkin isu pilihan raya kali ini adalah isu perkauman.

Kedua:

Dikatakan UMNO menjadi penaja kepada 'demontrasi kepala lembu' di Shah Alam baru-baru ini, bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangaor, setelah mereka berjaya menjatuh kerajaan PR di Perak. Isunya sudah merebak ke peringkat antarabangsa, contohnya terdapat kecaman dari Yayasan Penganut Hindu Amerika (HAF). Bahkan, kini ianya menjadi isu penting jika dibongkarkan berterusan dan mampu mendedahkan pekung busuk perkauman UMNO kepada pengundi, terutamanya yang bukan Melayu (10.5 % Cina, 19.9% India dan 3.5% bangsa-bangsa lain), pasti boleh menggugat BN dalam pilihan raya kecil tersebut. Sekali lagi, senjata UMNO makan tuan!

Ketiga: Ya. Moga-moga berkubur lagi UMNO dalam pilihan raya kecil kali ini. Apalagi di Negeri Sembilan yang BN menang rapuh.

Akhirnya, Blog Ibnu Hasyim mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Azman wakil rakyat BN itu, dan berharap roh beliau dicucuri rahmat oleh Allah SWT. Amin. (AK)

DATA PILIHANRAYA UMUM 12

P132 TELOK KEMANG (PKR)
Jumlah Pengundi: 60,186 [ M: 40.6% C: 36.1% I: 22.2% L: 1.1%]
1. Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR) (23,348)
2. Datuk S. Sothinathan (BN) (20,544)
3. Mohd. Rashid (Bebas) (601)
Majoriti: 2,804
Jumlah undi: 45,792 Peratus mengundi: 76.08% Undi rosak: 1,299
Penyandang: S. Sothinathan (BN) (Majoriti: 17,777 undi)

N29 CHUAH (PKR)
Jumlah Pengundi: 10,159 [M: 26.4% C: 57.7% I: 21.7% L: 0.09%]
1. Chai Tong Chai (PKR) (4,415)
2. Foo Ming Chee (BN) (3,091)
Majoriti: 1,324
Jumlah undi: 7,670 Peratus mengundi: 75.5% Undi rosak: 164
Penyandang: Foo Ming Chee (BN) (Majoriti: 3,234 undi)

N30 LUKUT (DAP)
Jumlah Pengundi: 11,276 [M: 17% C: 62.3% I: 20.7% L: 0.07%]
1. Ean Yong Tin Sin (DAP) (5,579)
2. Cheok Leong Huat (BN) (3,161)
Majoriti: 2,418
Jumlah undi: 8,920 Peratus mengundi: 79.11% Undi rosak: 180
Penyandang: Datuk Dr. Yeow Chai Thiam (BN) (Majoriti: 1,504 undi)

N31 BAGAN PINANG (BN)
Jumlah Pengundi: 14,192 [M: 66% C: 10.5% I: 19.9% L: 3.5%]
1. Azman Mohd. Nor (BN) (6,430)
2. Ramli Ismail (Pas) (4,097)
Majoriti: 2,333
Jumlah undi: 10,911 Peratus mengundi: 76.88% Undi rosak: 384
Penyandang: Mohd. Faizal Ramli (BN) (Majoriti: 4,411 undi)

N32 LINGGI (BN)
Jumlah Pengundi: 12,711 [M: 55.2% C: 24.1% I: 19.8% L: 0.9%]
1. Ismail Taib (BN) (5,510)
2. Ramlan Roes (PKR) (3,935)
Majoriti: 1,575
Jumlah undi: 9,741 Peratus mengundi: 76.63% Undi rosak: 296
Penyandang: Ismail Taib (BN) (Majoriti: 5,262 undi)

N33 PORT DICKSON (PKR)
Jumlah Pengundi: 11,848 [M: 33.9% C: 36.6% I: 29.1% L: 0.4%]
1. Ravy Munusamy (PKR) (4,475)
2. Datuk T. Rajagopalu (BN) (3,742)
3. Jeeva Kumar Marimuthu (Bebas) (196)
Majoriti: 733
Jumlah undi: 8,550 Peratus mengundi: 72.16% Undi rosak: 137
Penyandang: Datuk T. Rajagopalu (BN) (Majoriti: 1,893 undi)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails