Sunday, June 14, 2009

Wujudkan Sekretariat Pakatan Rakyat -Tuan Ibrahim Tuan Man.

AHAD Jun 14, 2009. Menyedari bahawa media arus perdana yang dikuasai oleh BN, maka sewajarnya sebuah sekretariat Pakatan Rakyat perlu diwujudkan bagi menjadi medan perbincangan rasmi kepimpinan tertinggi parti dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Dalam menghadapi pelbagai kemelut yang berlaku dalam kerajaan yang memerintah, serta isu-isu dalaman parti Pakatan Rakyat, kewujudan sekretariat ini dilihat jalan keluar bagi merapatkan saf kepimpinan parti. Akhir-akhir ini terlalu banyak luahan rasa tidak puas hati disalurkan melalui media arus perdana yang terdedah kepada manipulasi dan pelbagai penyelewengan fakta, sehingga boleh mencetuskan suasana tidak baik dalam hubungan Pakatan Rakyat.

Melalui sekretariat ini diharapkan dapat menjadi platform bagi merangka pelbagai program, disamping mengurangkan salah faham antara kita. Sehingga kini saluran rasmi bagi penghubung Pakatan Rakyat hanyalah Majlis Presiden, yang sangat jarang membuat pertemuan; dan ia lebih bersifat perbincangan dan penyelarasan bagi menghadapi pilihanraya sahaja. Dicadangkan sekretariat ini terdiri dari tiga orang wakil yang terdiri dari Timbalan Presiden, Setiausaha Agong dan seorang Naib Presiden.

Kita perlu banyak mengadakan perbincangan agar semua perkara yang berbangkit dapat diselesaikan lebih awal sebelum media memainkan isu bagi melaga-lagakan Pakatan Rakyat. Desakan melalui akhbar tidak sesuai dalam bentuk sebuah pakatan, yang dilihat hanya mengeruhkan hubungan dan memeningkan ahli dan penyokong.

Dipetik dari Blog Tuan Ibrahim Tuan Man Naib Presiden PAS.


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails