Monday, September 20, 2021

Kebajikan penduduk di lokasi tanah runtuh diberi perhatian

 

KUALA LUMPUR: Sehingga sekarang, seramai 103 penduduk yang tinggal di Jalan Kemensah Heights dipindahkan daripada kediaman mereka untuk sementara waktu berikutan kejadian tanah runtuh di lokasi terbabit.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Dato Seri Takiyuddin Hassan berkata, tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan berikutan kejadian tersebut.

Katanya pada 17 September lalu, pihak berkuasa menerima laporan berlaku kejadian bencana geologi tanah runtuh di kawasan perumahan Kemensah Heights, Ampang, Selangor.

“Berdasarkan siasatan awal, Jabatan Mineral dan Geosains, Malaysia (JMG) menyatakan ia dicetuskan oleh faktor hujan sama ada yang turun secara berlebihan atau turun dalam tempoh masa yang lama.

“Faktor pencetus ini bersama faktor penyumbang lain seperti bahan geologi dan morfologi cerun di tempat kejadian telah menyumbang kepada berlakunya kegagalan cerun dan mengakibatkan tanah runtuh berlaku,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Menurutnya juga Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui JMG mempunyai kepakaran dalam bidang geologi dan berkaitan diberi tanggung jawab untuk menjalankan siasatan lanjut.

Kata beliau juga semua pihak sedang berusaha menjalankan langkah-langkah yang difikirkan perlu supaya masalah sama tidak berulang dan kebajikan Keluarga Malaysia yang terjejas diberi perhatian sewajarnya.

Oleh itu beliau merakamkan ucapan takziah kepada penduduk yang terlibat.

Semalam ahli parlimen Gombak Dato Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan memberitahu sebanyak RM1 juta diperlukan segera bagi mengelakkan runtuhan tebing di lokasi kejadian terus berlaku. – HARAKAHDAILY 19/9/2021

Perhatian:

Sebenarnya, masalah-masalah begini adalah masalah umat manusia sedunia. Maka elok kita paparkan dan 'islah', terutama di kalangan negara umat Islam yang sepatutnya tidak terbatas hanya dalam kelompok dan sempadan negara mereka sahaja. Kerana Islam adalah mendunia..

Rentas Mendunia.

Sunday, September 19, 2021

Bagaimana merakam video model tanpa pakaian secara rahsia?

 


Kantoi rakam video model tanpa seurat benang

London: Seorang lelaki yang juga bekas pegawai polis unit antikeganasan mengaku membuat rakaman video puluhan model tanpa seurat benang dengan menggunakan kamera secara rahsia. 

Metro UK melaporkan Neil Corbel 40, sembunyikan peranti itu di tempat strategik seperti kotak tisu, pengecas telefon, penyegar udara dan gelas. Modus operandinya adalah dengan menyamar sebagai juruterbang sebelum menyewa hotel, flat dan Airbnb untuk mengadakan sesi penggambaran dengan model yang dikenalinya di internet. 

Helahnya terbongkar selepas seorang daripada wanita berkenaan yang setuju untuk mengambil gambar tanpa pakaian, curiga dengan satu jam digital sebelum mendapati ia adalah kamera pengintip. Hasil siasatan lanjut, pegawai polis menemukan 51 gambar wanita di pemacu cakera keras milik Corbel. Polis seterusnya mengenal pasti 19 mangsa yang bersedia memberi kenyataan terhadap lelaki berkenaan. 

Corbel kemudian digantung daripada tugasnya di Polis Metropolitan London selepas mengaku bersalah atas 19 kesalahan di Mahkamah Majistret Westminster, pada Isnin. Mahkamah bagaimanapun mendapati kesalahan itu tidak mempunyai kaitan dengan pekerjaannya sebagai polis. 

Berdasarkan prosiding, tertuduh melakukan semua perbuatan berkenaan di London, Manchester dan Brighton, antara Januari 2017 hingga Februari tahun lalu. Mahkamah diberitahu bahawa Corbel merakam video semua mangsa kecuali seorang wanita tanpa pengetahuan mereka. Pendakwa raya, Babatunde Alabi berkata, secara umumnya semua mangsa adalah model. 

"Seorang saja bersetuju untuk rakaman video, manakala yang lain tidak," katanya. 

Difahamkan, dua daripada model berkenaan mempunyai hubungan dengan tertuduh. Mahkamah diberitahu, Corbel ketika disoal siasat oleh pihak polis mengakui menggunakan peranti untuk merakam video mangsa secara sembunyi untuk kepuasan seksualnya sendiri semata-mata. 

Dalam pada itu, Polis Metropolitan London akan mengambil tindakan tatatertib terhadap Corbel. at 9/19/2021 03:25:00 PG 

Perhatian:

Sebenarnya, masalah-masalah begini adalah masalah umat manusia sedunia. Maka elok kita paparkan dan 'islah', terutama di kalangan negara umat Islam yang sepatutnya tidak terbatas hanya dalam kelompok dan sempadan negara mereka sahaja. Kerana Islam adalah mendunia..

Rentas Mendunia.

Cantik punya hal, guru rogol pelajar? Ini..

 

SUMATERA SELATAN: Akibat tidak tahan melihat kecantikan pelajarnya, seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Makarti Jaya nekad merogol mangsa.

Lapor Tribunnews, kes terbongkar selepas mangsa dikenali sebagai L berusia 13 tahun mengaku pernah diperkosa oleh lelaki itu, dua tahun lalu.

Ibu bapa mangsa kemudian membuat laporan polis di Makarti Jaya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Polis Banyuasin, Ikang Ade Putra mengesahkan kejadian itu dan memberitahu suspek turut mengganggu pelajar lain.

Katanya, guru itu berpura-pura mengajak murid perempuan ke perpustakaan dengan alasan ingin memberikan markah tambahan.

Namun, helahnya terbongkar selepas dia melakukan serangan seksual terhadap pelajar itu.

Difahamkan, seramai tiga pelajar menjadi mangsa guru lelaki berumur 31 tahun itu dengan salah seorang mangsa pernah dirogol.

“Cuma sekali itu kalau dengan L sampai bersetubuh. Kalau dengan yang lain tidak pernah, hanya pegang-pegang sahaja. Tidak sampai aku ajak untuk bersetubuh seperti L,” kata guru tersebut. (18/9/2021)

Ikutilah siri-siri terkini kes rogol berikut..


Keluarga mangsa hanya tuntut mohon maaf. Itukah Strtegi ganas AS?

 

Seorang ahli keluarga Ezmarai Ahmadi, berdiri di sebelah kenderaan yang musnah dalam serangan dron AS di Kwaja Burga, Kabul. - Foto AFP

Keluarga mangsa serangan dron tuntut AS mohon maaf bersemuka.

KABUL: Ahli keluarga mangsa serangan dron Amerika Syarikat (AS) yang mengorbankan 10 orang awam termasuk tujuh kanak-kanak menuntut permohonan maaf secara bersemuka dan pampasan.

Ezmarai Ahmadi secara salah dikaitkan dengan anggota militan DAESH oleh perisikan AS yang menjejaki kenderaan Toyota putih milik mangsa selama lapan jam di Kabul pada 29 Ogos lalu sebelum menyasarkan kenderaan itu dengan peluru berpandu.

Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin mengakui serangan itu satu kesilapan dan memohon maaf kepada ahli keluarga mangsa.

Bagaimanapun, anak saudara Ezmarai, Farshad Haidari, 22, berkata ia tidak memadai dengan apa yang telah berlaku.

"Mereka perlu datang ke sini dan memohon maaf kepada kami secara bersemuka," katanya kepada AFP ketika ditemui di rumahnya di Kwaja Burga, barat laut ibu negara Afghanistan.

Haidari yang turut kehilangan abang, Naser dan sepupu dalam kejadian itu berkata, AS tidak berhubung dengan keluarga mereka secara langsung.

"Mereka perlu datang dan membayar ganti rugi. Keluarga kami bukan pengganas dan ia sudah disahkan," katanya.

Dia juga menuntut individu yang bertanggungjawab dalam serangan itu ditahan dan didakwa.

"Hampir semua (mangsa) bekerja dengan orang Amerika. Naser pernah bekerja dengan orang Amerika hampir 10 tahun dan bapa saudara saya bekerja dengan organisasi antarabangsa," katanya.

Ketika kejadian, Ezmarai bekerja dengan kumpulan bantuan AS.

Haidari berkata kesemua mangsa menerima surat pemindahan dan berhasrat untuk ke AS dalam masa terdekat seperti mana ramai rakyat Afghanistan yang teruja untuk keluar dari negara itu.

Sebelum ini Komander tentera AS, Jeneral Kenneth McKenzie mengakui tentera negara itu tersilap ketika melancarkan serangan dron di Kabul bulan lalu.

Beliau dilaporkan berkata, serangan berkenaan menyasarkan suspek pengganas Daesh selepas pihak perisikan menerima maklumat kumpulan terbabit dipercayai mahu melancarkan serangan di lapangan terbang Kabul, pada 29 Ogos lalu.

"Serangan itu satu kesilapan yang tragik," kata McKenzie kepada pemberita selepas siasatan berakhir sambil menambah kerajaan mengkaji pampasan setimpal kepada keluarga mangsa yang terbunuh.

McKenzie turut mengesahkan tiada seorang pun mangsa mempunyai kaitan dengan Daesh. - AFP


Komen Weblog Ibnu HasyimKeluarga mangsa hanya tuntut mohon maaf? Itulah strategi samseng AS penaja keganasan yang menjajah dunia. Kembalilah dunia kepada keadilan Islam. Allahu Akbar!

Isu ‘taik mesin’ diharap dapat diselesaikan secara ‘menang-menang’ ..

 

ADUN PAS harap penyelesaian menang-menang isu ‘taik mesin’

ARAU, 19 Sept: Isu ‘taik mesin’ yang timbul setiap kali musim menuai padi di negeri ini diharap dapat diselesaikan secara ‘menang-menang’ oleh kedua-dua ADUN PAS.

Menurut ADUN Sanglang, Mohd. Shukri Ramli, masalah jentuai meninggalkan bongkah tanah atau dikenali sebagai ‘taik mesin’ di atas jalan raya bukan perkara baharu, malah sering menjadi keluhan orang ramai setiap kali musim menuai padi.

“Isu ini melibatkan kepentingan banyak pihak, terutamanya masyarakat sekitar yang terjejas di samping para pengusaha jentuai serta pemilik sawah yang terlibat.

“Jika tidak ditangani dengan baik, lebih banyak masalah akan dihadapi oleh pengguna jalan raya termasuklah risiko kemalangan, manakala tindakan penguatkuasaan seperti saman pula dibimbangi akan menyebabkan para pengusaha enggan membawa jentera mereka untuk menuai padi.

“Justeru, satu penyelesaian secara ‘menang-menang’ perlu diadakan agar permasalahan yang berlaku ini tidak menjejaskan sektor pertanian padi di negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pandangan yang sama turut dikongsi ADUN Guar Sanji, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim yang berharap agar pihak berkuasa dapat mencari kaedah terbaik dalam menangani masalah berkenaan.

“Kita juga sedia maklum rungutan para pengusaha jentuai bahawa mereka terpaksa menanggung kos yang amat tinggi sekiranya menggunakan perkhidmatan lori (bagi mengangkut jentuai).

“Namun, pada masa yang sama, kita tidak boleh membiarkan saja isu ini berlarutan kerana bongkah tanah yang dibiarkan berselerakan di atas jalan raya bukan sahaja mengotorkan dan merosakkan struktur jalan malah boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal.

“Saya berpandangan adalah amat penting kepada pihak-pihak yang berkepentingan seperti Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Perlis, JPJ, MADA serta para pengusaha jentuai untuk duduk bersama mencari solusi terbaik agar masalah ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan rungutan penduduk di beberapa kawasan di negeri ini berkenaan isu ‘taik mesin’ yang dakwa mereka tidak berkesudahan dan disifatkan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

Rungutan berkenaan turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk para pengusaha jentuai yang tampil memberi penjelasan berhubung situasi yang terpaksa mereka hadapi. (B/PAS/Perlis)

Covid-19: Menteri Agama akan temui pendakwah, pondok

 

KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad merancang untuk mengadakan pertemuan bersama golongan pendakwah dan institusi Islam yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Katanya, para pendakwah dan institusi berkenaan selama ini berkorban untuk menyebarkan agama di bumi Malaysia dan mencari jalan keluar terhadap isu-isu berkaitan situasi dakwah di negara ini.

“Sejujurnya kita perlu akui, antara golongan yang terkesan akibat pandemik adalah para pendakwah dan institusi-institusi Islam termasuklah institusi pondok,” ujarnya menerusi laman Facebook hari ini.

Pagi tadi, beliau dikunjungi dua institusi besar yang menggerakkan usaha dakwah Islam dalam negara iaitu daripada Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulamak (Geng Ustaz) dan Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran (PERMATA) Malaysia di pejabatnya.

Katanya, kedua-dua wakil dihadiri oleh presiden mereka iaitu Ustaz Ahmad Dusuki Ab Rani dan Ustaz Manolito Mohd Dahlan.

“Saya begitu gembira menerima kehadiran dapat meluangkan masa mendengar dan berbincang bersama khususnya berkaitan hala tuju para pendakwah serta isu-isu sekitar institusi-institusi Islam di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/9/2021

Tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands

 

Keadaan tanah runtuh yang menyebabkan laluan retak di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dan ditutup sepenuhnya kepada semua aliran trafik. - Foto tular

IPOH: Tanah runtuh dilapor berlaku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, petang tadi.

Keadaan itu menyebabkan laluan di Seksyen 43.9 ditutup sepenuhnya kepada semua aliran trafik jalan raya bermula 9 malam ini.

Perkara itu disahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta yang menyatakan kejadian membabitkan laluan sepanjang 30 meter dengan lebar lima meter yang dikesan kira-kira jam 5.45 petang tadi.

Susulan itu, jabatan terbabit bersama syarikat konsesi, Belati Wangsa (M) Sdn Bhd, melakukan pemantauan di lokasi terbabit.

JKR Daerah Kinta menerusi kenyataan yang dikongsikan kepada media malam ini berkata, runtuhan laluan di kawasan cerun terbabit berkemungkinan disebabkan hujan berterusan yang menyebabkan struktur tanah menjadi lemah serta tidak kukuh.

Katanya, pengguna jalan raya masih boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Laluan FT059, Jalan Tapah-Ringlet.(BH)

Rentas Mendunia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails