Wednesday, December 21, 2022

Usul undi percaya, Shahidan pertikai. & Tanah runtuh, penjelasan J.Amal.

 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. - foto BERNAMA

1. TPM bentang usul undi percaya terhadap PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Fadillah Yusof membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, usul itu bertujuan menyokong sepenuhnya pelantikan dan kepimpinan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun selaku Perdana Menteri Ke-10 (PM10).

Beliau berkata, kepimpinan Anwar dan Kerajaan Perpaduan perlu disokong demi kejayaan negara dan kesejahteraan rakyat.

Kerajaan Perpaduan berikrar untuk terus menstabilkan iklim politik, memakmurkan ekonomi, menyatupadukan rakyat berbilang kaum serta mengangkat martabat negara di persada dunia.

"Perdana Menteri menjunjung kasih dan menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas cetusan idea penubuhan Kerajaan Perpaduan. Ini berikutan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang telah menatijahkan situasi Parlimen tergantung di mana tiada parti atau gabungan parti politik memperoleh majoriti mudah.

"Situasi terbabit tidak pernah berlaku sepanjang sejarah negara ini. Idea penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah cerminan pandangan jauh serta keprihatinan Baginda demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Usul berkenaan disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, Perdana Menteri mengambil inisiatif mewujudkan Kerajaan Perpaduan dengan parti politik utama negara termasuk Ahli Parlimen Bebas, sekali gus membolehkan pembentukan Jemaah Menteri yang dilantik pada 3 Disember lalu.

Katanya, Kerajaan Perpaduan kini komited menggalas amanah rakyat, selain kerajaan giat melaksanakan segala gerak kerja termasuk menyusun strategi baharu bagi mempersiapkan negara menghadapi cabaran politik, ekonomi, sosial, perubahan persekitaran dan sebagainya.

"Menyedari prospek ekonomi dunia tahun hadapan dijangka mengalami kemelesetan, adalah penting Kerajaan Perpaduan mendapat sokongan dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat.

"Ini sekali gus akan memperkukuhkan lagi keyakinan pelabur, komuniti perniagaan serta rakyat. Hasil sokongan ini akan menyuntik azam bagi Kerajaan Perpaduan terus komited memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Pentadbiran Kerajaan Perpaduan akan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik, keadilan serta kesaksamaan sosial termasuk usaha reformasi bidang tertentu," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, memaklumkan 12 Ahli Parlimen disenaraikan sebagai pembahas bagi usul berkenaan, antaranya Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Selain itu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu); Doris Sophia Brodi (Sri Aman); Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran); Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Titiwangsa) dan Ahmad Fadhil Shaari (Pasir Mas).

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli; Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor); Datuk Dr Jeffery Kitingan (Keningau); Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).


2. Shahidan pertikai keperluan usul undi percaya; Dewan Rakyat kecoh  

(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat jadi kecoh selepas Shahidan Kassim (PN-Arau) mempertikaikan keperluan membentangkan usul undi percaya terhadap Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Beliau turut mempertikaikan ucapan Timbalan Perdana Menteri II, Fadillah Yusof, kerana menyebut Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu ketika membentangkan usul itu.

Terdahulu, Fadillah (GPS-Petra Jaya) dalam ucapannya berkata Anwar (PH-Tambun) harus diberi kepercayaan untuk menjadi perdana menteri kerana pelantikan beliau mendapat izin Agong dan raja-raja Melayu.

Shahidan bagaimanapun mendakwa Peraturan Majlis Mesyuarat 36(7) tidak membolehkan nama Agong, raja-raja Melayu, atau Yang di-Pertua Negeri digunakan bagi mempengaruhi majlis mesyuarat.

Speaker Johari Abdul bagaimanapun berkata Fadillah sekadar menyatakan fakta.

Shahidan juga mempertikaikan keperluan usul itu, memandangkan Anwar sudah pun mengangkat sumpah perdana menteri.

“Kalau dah absah kenapa nak bawa ke majlis (Dewan Rakyat) lagi? Kalau dah jadi perdana menteri tak perlu absahkan lagi,” kata wakil rakyat PN itu.

Sany Hamzan bangun untuk menjawab, dan berkata pemerintah sekarang berani menguji sokongan berbanding perdana menteri ke-8.

“PM8 dulu tak berani bawa, kenakan darurat. Tak berani!” katanya.

Beliau merujuk kepada Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh). Sebelum ini beberapa wakil rakyat cuba membawa usul undi tidak percaya terhadap beliau ketika itu namun tidak pernah dibentangkan.

Selepas hujahnya dijawab Sany, Shahidan mencabar wakil rakyat PH yang sedang berkerusi roda itu bangun apabila bercakap, lalu berkata: “Orang yang baru keluar hospital ni masalahnya.”

Usul undi percaya itu bertujuan membuktikan Anwar, yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov, mendapat sokongan Ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

Berdasarkan sokongan mengikut parti, jumlah Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar sekarang ialah seramai 148 orang.

Ia merangkumi daripada PH 82, BN 30, GPS 23, GRS 6, Warisan 3, KDM 2, PBM 1, dan Bebas 1 kerusi.

Selebihnya iaitu 74 kerusi ialah milik PN yang merupakan blok pembangkang.


3. Tanah runtuh: Penjelasan Jabatan Amal Malaysia  

BAGI mengelakkan sebarang salah faham, kami pihak Jabatan Amal Malaysia sebenarnya sudah menerima dan akur arahan yang dikeluarkan semalam oleh Ketua Polis Negara yang tidak membenarkan semua NGO dan sukarelawan membantu di kawasan operasi SAR.

Kami percaya selepas 24 jam mangsa runtuhan yang masih belum dijumpai dan tidak ada bukti kemungkinan masih hidup atau boleh diselamatkan, maka ia dianggap sebagai kes mangsa korban atau mangsa hilang di bawah bidang kuasa PDRM untuk meneruskan misi siasatan.

Dalam tempoh masa 24 jam atau lebih mengikut tempoh sesuatu bencana itu, adalah tempoh misi mencari dan menyelamat yang diletakkan di bawah bidang kuasa NADMA atau mana-mana agensi penyelamat, dan kini saya difahamkan kawasan tersebut diletakkan di bawah kawalan PDRM sebagai tempat kes siasatan orang hilang yang tidak boleh dimasuki oleh mana-mana individu tanpa kebenaran pihak PDRM dikhuatiri mengganggu siasatan.

Bagi saya, ia bukan isu anggota Amal turun bantu tanpa kebenaran atau tidak terlatih, sekalipun ada yang sebut bahawa tempat tersebut tidak selamat dan sebagainya. Jika tidak selamat untuk turun dari awal lagi pihak Jabatan Bomba dan SMART tidak benarkan kami turun, tetapi dalam tempoh bidang kuasa JBPM, kami Anggota Amal mendaftar bertugas seperti biasa dan dibenarkan turun bagi membantu mencari dan menyelamat mangsa yang kemungkinan masih hidup lagi di kawasan SAR.

Sebagai rekod, kami pernah turun bersama pasukan Bomba dalam pelbagai misi SAR dan hampir semua tempat merbahaya namun dengan pemantauan dan ilmu yang di ajar pihak JBPM. Kita telah turun dalam pelbagai misi SAR dengan selamat sebagai contoh Operasi SAR di Bukit Broga, Operasi Tengas Bukit Fraser, Operasi Sungai Kim Kim, operasi kanak-kanak lemas di Balakong, di Sungai Bakau dan banyak lagi.

Bagi mengelakkan pelbagai salah faham terhadap Jabatan Amal Malaysia, saya ingin perjelaskan bahawa kehadiran kami di kawasan SAR pada hari pertama kejadian tanah runtuh di Batang Kali telah diterima baik oleh agensi kerajaan JBPM dan melalui proses dan SOP ketat.

Justeru itu, kami menghormati bidang tugas pihak berkuasa dan tanpa kompromi akur segala arahan pihak berkuasa dan semalam walaupun tidak dapat turun membantu operasi SAR kami tetap hadir bagi menyampaikan bantuan makanan kepada petugas-petugas di lapangan.

Semoga kenyataan ini dapat memberi penjelasan yang baik sebagai sudut pandangan dan posisi kami di Jabatan Amal Malaysia, wallahua’lam.

#BeramalKeranaAllah

SHEHDI HAZRIK SHAMSUDIN
Pengarah Bahagian Operasi
Jabatan Amal Malaysia – HARAKAHDAILY 18/12/2022


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Usul undi percaya, Shahidan pertikai.  & Tanah runtuh, penjelasan Jab/Amal.

Insya Allah, Allah selamatkan Malaysia tercinta..

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails