Monday, December 19, 2022

BN, PH di blok kerajaan. PN wadah umat Islam. KAMI bantah.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan Kabinet pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto ihsan Jabatan Penerangan

1. BN, PH sebaris di blok kerajaan

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat Penggal Pertama Parlimen Ke-15 yang membuka tirainya hari ini menyaksikan perubahan tempat duduk dalam kalangan Ahli Parlimen khususnya selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perubahan kedudukan Ahli Parlimen itu menyaksikan blok parti utama seperti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sebelum ini berseteru kini buat pertama kali berada sebaris dalam satu blok.

Perubahan ketara dapat dilihat apabila kerusi yang dikhususkan untuk Ketua Majlis kini diduduki Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sebelahnya.

Di sebelah Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu pula adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya) diikuti Anthony Loke (PH-Seremban) yang juga Menteri Pengangkutan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Sabri (BN-Bera) diapit Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) dan Lim Guan Eng (PH-Bagan).

Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) pula duduk di sebelah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar).

Blok pembangkang pula diduduki Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan PAS dengan kerusi Ketua Pembangkang diisi Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) diikuti Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh), Tan Sri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian).

Turut berada di blok pembangkang adalah bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang duduk bersebelahan dengan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota).

PRU15 menyaksikan tiada mana-mana parti memperoleh majoriti bagi membentuk kerajaan sebelum PH bersama dengan BN, GPS, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (WARISAN) bekerjasama untuk membentuk Kerajaan Perpaduan selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong. (BH)


2. PN wadah politik baharu umat Islam Malaysia  

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini menyaksikan kecenderungan atau pola pengundian orang Islam Bumiputera khususnya bangsa Melayu memihak kepada Perikatan Nasional (PN).

Berdasarkan kepada beberapa statistik, lebih kurang 54 peratus umat Islam dalam negara telah mengundi Perikatan Nasional, jauh lebih besar daripada jumlah peratusan undi orang Islam yang diterima oleh gabungan parti-parti politik lain dalam negara.

Ia dibuktikan lagi apabila majoriti daripada kerusi-kerusi Parlimen yang dimenangi Perikatan Nasional adalah dari kawasan Parlimen yang didominasi oleh pengundi dari kalangan umat Islam, satu petanda bahawa Perikatan Nasional telah mula mendominasi politik umat Islam dalam negara.

Perikatan Nasional juga telah meraih undi popular pada PRU15 kali ini sebanyak 34 peratus secara keseluruhan, hanya kurang 6 peratus berbanding Pakatan Harapan dan meninggalkan Barisan Nasional yang hanya memperolehi sebanyak 25 peratus undi popular.

Jumlah undi yang diterima Perikatan Nasional juga turut meningkat secara drastik pada PRU 15 ini iaitu sebanyak 4,612,578 undi, iaitu peningkatan lebih 100 peratus berbanding 2,015,578 undi yang diterima pada PRU 14 yang lalu, samada ia undi yang diterima oleh PAS yang bertanding solo ataupun jika dicampur dengan undi yang diterima Bersatu.

Secara tidak langsung boleh juga dikatakan bahawa Perikatan Nasional adalah pemenang mutlak pada PRU kali ini kerana telah berjaya mencetuskan “gelombang kebangkitan“ besar di kalangan umat Islam terutamanya anak-anak muda di kalangan pengundi-pengundi baharu apabila diwartakan “Undi 18“.

Sebelum berlangsungnya PRU 15, rata-rata penganalisa politik dalam negara tidak memberikan harapan besar kepada Perikatan Nasional untuk melakukan “kejutan“ pada pilihan raya kali ini dan lebih menumpukan kepada pertembungan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Perikatan Nasional hanya dilihat atau dianggap sebagai “kuasa politik sementara“ berikutan pengambilalihan tampuk Kerajaan Persekutuan akibat perletakan jawatan Tun Dr. Mahthir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketika Pakatan Harapan menerajui Kerajaan Persekutuan selama 22 bulan selepas PRU 14.

Mereka juga percaya bahawa Perikatan Nasional tidak mampu meneruskan momentum atau meraih sokongan rakyat terutamanya di kalangan umat Islam setelah Barisan Nasional dan Umno menarik kembali sokongan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus menerajui Kerajaan Persekutuan sebagai Perdana Menteri.

Maka setelah Barisan Nasional dan Umno kembali menguasai Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Dato’ Seri Ismail Sabri yang dilantik sebagai Perdana Menteri baharu berserta kemenangan Barisan Nasional dan Umno dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor, rata-rata penganalisa politik tempatan meramalkan PRU 15 adalah pertembungan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Namun apa yang diramalkan tidak menjadi kenyataan kerana Perikatan Nasional telah melakukan pelbagai kejutan pada PRU kali ini dan hampir-hampir sahaja berjaya menumbangkan Pakatan Harapan dengan hanya perbezaan sebanyak tujuh kerusi Parlimen sahaja antara kedua-dua gabungan parti politik.

Barisan Nasional dan Umno yang dijangka menjadi saingan kuat Pakatan Harapan pada PRU kali ini begitu jauh ketinggalan dengan hanya memenangi sebanyak 30 kerusi parlimen. Bolehlah dianggap bahawa Barisan Nasional secara totalnya kalah teruk pada PRU kali ini, lebih teruk daripada PRU 14 yang lalu.

Ia seterusnya diterjemahkan bahawa Umno bukan lagi parti tunjang kepada umat Islam khususnya orang Melayu dalam negara masakini dan boleh juga dikatakan bahawa orang Melayu telah mula menjauhi dan meninggalkan Umno, satu kuasa politik yang telah mendominasi arena politik orang Melayu sejak negara mula merdeka.

Kini telah mula timbul pelbagai persoalan mengapa orang Melayu telah mula meninggalkan Umno dan memilih Perikatan Nasional sebagai wadah politik mereka masakini. Pelbagai ramalan dan andaian telah mula timbul samada ianya positif dan tidak kurang juga banyak yang negatif.

Ada yang mengatakan bahawa Perikatan Nasional telah memainkan isu perkauman dan agama dengan begitu kuat pada PRU kali ini. Ada yang mengatakan bahawa Perikatan Nasional telah memanipulasi umat Islam dengan melakukan penipuan, fitnah dan pelbagai lagi tohmahan yang tidak masuk akal.

Yang lebih tidak masuk akal, ramai juga yang percaya dengan alasan dan ramalan-ramalan tersebut namun yang pastinya ia adalah salah, tidak benar, fitnah dan jauh tersasar. Perikatan Nasional bukanlah sebuah gabungan parti politik yang rasis, ekstrem, “kaki fitnah“ dan memanipulasi rakyat. Boleh dikatakan sebenarnya bahawa umat Islam kini melihat dan menilai Perikatan Nasional dari banyak sudut yang cukup berbeza berbanding dengan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Perikatan Nasional kini dilihat sebagai pembela nasib umat Islam di dalam negara. Perikatan Nasional dilihat sebagai pelindung agama Islam dan hak orang Melayu serta mampu memimpin orang Melayu dan Bumiputera ke era dan masa depan yang lebih baik.

Perikatan Nasional dilihat mampu merapatkan jurang antara penduduk bandar dan luar bandar samada dari sudut ekonomi, sosio budaya, pemikiran dan taraf kehidupan. Perikatan Nasional dilihat mampu mengangkat kembali “maruah dan jatidiri“ umat Islam ke tahap yang lebih baik setelah dilihat sekian lama tercalar.

Perikatan Nasional dilihat sebagai sebuah gabungan parti poltik yang bersih, berintergriti, berkarisma, berwibawa dan dibarisi oleh pemimpin-pemimpin yang mampu mengangkat umat Islam ke tahap yang lebih tinggi. Natijahnya, Perikatan Nasional kini dilihat sebagai wadah baharu kepimpinan negara yang diterajui oleh umat Islam serta mampu menyatukan masyarakat berbilang kaum dan agama dalam negara.

Mungkin ada yang akan menolak tanggapan ini dengan naratif politik masing-masing tetapi jika dikaji dengan teliti segala permasalahan dan rungutan umat Islam dalam negara, segala yang dipaparkan adalah realiti yang hakiki dan perlu diakui di mana rata-rata umat Islam merasai bahawa mereka telah jauh ketinggalan, dipinggirkan, tidak dipedulikan dan seperti dianaktirikan walau berada di tanah air mereka sendiri.

Setelah sekian lama “meminta dan merayu“, umat Islam dalam negara masih terasa seperti nasib mereka tidak diperdulikan oleh “golongan-golongan elit“ politik orang Melayu yang telah memimpin dan mentadbir negara sejak sekian lama. Mereka merasa jauh dan seperti wujud perbezaan antara mereka dan pemimpin serta pentadbir di kalangan ”golongan elit“ politik orang Melayu tersebut.

Akhirnya setelah wujud Perikatan Nasional, umat Islam merasa mereka dekat dengan pemimpin. Mereka berasa suara mereka didengari, nasib mereka diambil peduli, rintihan dan keluhan mereka diambil kira dengan merasakan bahawa pemimpin-pemimpin mereka kali ini benar-benar bersama mereka, “ berdiri sama tinggi, duduk sama rendah “.

Mereka tidak lagi rasa terasing dan seperti “berbeza kasta“ kerana pemimpin Perikatan Nasional dilihat “sama sahaja“ seperti mereka. Inilah realiti dan hakikat yang dilihat oleh majoriti umat Islam dalam negara ketika ini pada Perikatan Nasional dan para pemimpinnya serta merasakan bahawa Perikatan Nasional dan pimpinannya adalah sebahagian daripada mereka.

Umat Islam sudah sedar, cerdik dan peka dengan suasana politik di sekeliling mereka. Mereka tidak lagi mudah terpedaya dengan cerita-cerita karut dan naratif politik yang tidak betul, tahu yang mana hak dan batil serta tahu yang mana satu mudarat dan membawa kebaikan kepada mereka.

Realitinya, Perikatan Nasional masakini adalah wadah baharu politik untuk umat Islam dan Bumiputra di dalam negara, wadah politik yang mampu membawa kebaikan dan kesejahteraan untuk segenap lapisan masyarakat di dalam negara.

Insyallah, saya juga percaya akibat kesedaran politik yang semakin menyinar dalam negara masakini, sedikit masa lagi Perikatan Nasional mampu meraih sokongan daripada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan kaum demi untuk kesejahteraan dan kebaikan bersama.

Malaysia Sejahtera

YB Dr. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 17/12/2022

3. KAMI bantah sekatan suara rakyat oleh kerajaan baharu 

Sekumpulan sembilan ahli Kami Anak Muda Indipenden (KAMI) tiba di parlimen. Mereka dilihat memakai baju-T hitam yang tertera logo kumpulan mereka. 

Kumpulan itu cuba menyerahkan memorandum kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil membantah sekatan terhadap Video Tiktok yang melanggar garis panduan kerajaan baru-baru ini.

Memorandum mereka diterima oleh kakitangan kementerian Komunikasi dan Digital, Ahmad Firdaus Mohd.

KAMI merupakan sebuah kumpulan sebelum ini dipopulari oleh Ahmad Lutfi Othman yang merupakan penyokong kuat Anwar Ibrahim, PH dan AMANAH. 


Komen Weblog Ibnu Hasyim: BN, PH di blok kerajaan. PN wadah umat Islam. KAMI bantah.

Al-hamdulillah!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails