Monday, September 26, 2022

PAS & A.Hadi. Ini langkah tukar kerajaan PH...

 


I.  PAS gerakkan langkah tukar Kerajaan PH

PADANG RENGAS: PAS menunjukkan pendekatan politik Penyatuan Ummah dalam menghadapi dominasi Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dikuasai secara perkauman, kumpulan liberal dan merisikokan bermacam bahaya lain.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberitahu, gerakan untuk mengambil alih dan menukar kerajaan itu dilaksanakan dengan mengumpulkan parti-parti Melayu-Islam, NGO-NGO dan parti bukan-Islam yang tidak ekstrem.

“Tetapi malangnya masih ada salah faham, penyakit lama masih ada lagi (antara parti-parti Melayu-Islam). PAS mahu supaya Islam memimpin, bukan PAS sahaja, mesti gabung dengan orang Islam dulu. Macam Nabi buat di Madinah.

“Bila Nabi hijrah ke Madinah, Nabi gabungkan Muhajirin macam-macam kelompok Bani ‘Adi, macam-macam. Kemudian Aus dan Khazraj yang Islam tanpa mengira dia buat maksiat, tak buat maksiat, jahat ke apa, orang Islam dulu, gabung dengan orang Islam.

“Islam kuat menjadi tonggak perpaduan orang Islam dulu. Kemudian diajak orang bukan-Islam, orang Yahudi, Kristian, Musyrikin yang tidak ekstrem. Ini diajar oleh Nabi dan kita ambil pendekatan ini,” terang beliau.

Menurut beliau, PAS telah memulakan langkah itu dua minggu selepas PRU14 termasuk menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendahului Langkah Sheraton yang diketahui sebelum ini.

Beliau yang juga Wakil Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah berucap demikian dalam Amanat Presiden sempena Karnival PAS Pilihanku peringkat negeri Perak di Dewan Millenium, Lubuk Merbau, di sini semalam.

Komited agenda penyatuan

“PAS (ada) 18 kerusi saja, orang lain banyak kerusi. Tapi PAS tunjukkan pendekatan ini. Tapi ada yang degil nak PAS dengan Umno je, tak boleh, mesti gabungkan semua orang Islam dan orang bukan-Islam yang tak ekstrem dalam satu gabungan
hadapi pilihan raya mendapat majoriti dua pertiga.

“Dengan dua pertiga boleh pinda Perlembagaan, selesaikan masalah-masalah yang tak selesai. Banyak boleh buat. Tetapi kalau masing-masing nak pelihara kepada puak masing-masing, tak boleh selesaikan masalah.

“Namun demikian orang PAS sabar menghadapi ujian-ujian ini. Orang PAS sabar menghadapi kezaliman-kezaliman yang dibuat kepada PAS, kita boleh sabar kerana perpaduan orang Islam,” ujarnya.

Tuan Guru mengimbas peristiwa Memali dan Lubuk Merbau, Kedah yang mengakibatkan anggotanya mati syahid dan ramai dikenakan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Begitu juga katanya royaliti Terengganu yang dirompak dan sebelumnya Kelantan apabila dimenangi PAS tidak diberikan royalti, selain dikenakan pelbagai sekatan hingga kedua negeri itu menghadapi masalah kewangan.

“Kemudian dia kata tak boleh selesai masalah air, selesai masalah-masalah ini. Macam mana, kamu sekat. Yang ikut Perlembagaan pun tak bagi. Bagi pun lambat. Masa kita perintah Kelantan tahun 1990 ‘capitation grant’ (pun tak diberi).

“Iaitulah peruntukan yang wajib diberi oleh Kerajaan Persekutuan mengikut konsep Federalisme, ada kerajaan negeri, ada Kerajaan Pusat. Kerajaan negeri dipilih melalui pilihan raya, kerajaan pusat dipilih melalui pilihan raya.

“Negeri ada kuasa, Pusat ada kuasa. Dan Pusat mesti bayar pada negeri ‘capitation grant’. Cukai-cukai yang diambil, pakaiannya, makanannya, maka dia ikut jumlah rakyat negeri masing-masing, maka dibayar.

“Kebiasaannya bayar bulan Mac, bulan Ogos. (Tetapi) Bagi Kelantan dia bayar bulan Disember, nak susahkan Kelantan. Terengganu kita menang, 1999 menang balik. 1959 kita dah menang, pertama di Terengganu. 1961 dijatuhkan.

“Beli wakil-wakil rakyat. Tekan 1961 jatuh Kerajaan Terengganu.  Kelantan kita boleh bertahan, itu cara dibuatnya. Bila kita ada masalah, dia hentam kita, padahal dia yang buat masalah, sekat. Kita sabar ini semua, ajak pada perpaduan.

“Lupa yang lama itu, mari bina balik kekuatan ummah. Ini. Kita ajak balik,” ujar beliau menjelaskan kesungguhan PAS mahukan kebersamaan dengan Umno dan BERSATU di sebalik semua yang terjadi disebutkannya.

Teruskan agenda syariah

Tambahnya lagi, PAS selepas merdeka turut dicemuhkan dan dimomokkan dengan hukum hudud untuk dilaksana secara menakutkan apabila memerintah di mana akan ramai orang menjadi cacat dan kudung.

Malah luahnya kesal, terdapat sindir-sindir akan tidak cukup batu hendak dibuat jalan raya serta bermacam percakapan lain yang menghina hukum Islam disebabkan oleh kejahilan hingga berlaku gejala kafir-mengkafir.

Menurut beliau, selepas tragedi 13 Mei 1969 PAS bersama kerajaan campuran dan ketika itu diterbitkan buku Mustika Hadis yang membicarakan mengenai akidah dengan mengupas batas iman dan kufur hasil permintaan Dato’ Asri Muda tahun 1979.

“Saya pula dihentam (dengan isu) Amanat Hadi. Banyak yang kena tahan ISA pemuda-pemuda kita, ditanya soalan kepada yang tahanan ISA ini tentang amanat saya. Kawan-kawan itu kata mengapa tak tangkap dia, tangkap kami?

“Kita minta bincang secara ilmu. Alhamdulillah akhirnya cakap-cakap politik suku, agama suku, cakap menghina Islam tak ada lagi, hilang. Masing-masing semangat Islam, dan sehingga kita berjaya, berbincang dengan Umno sebelum PRU14.

“Umno ajak kita masuk Barisan (Nasional). PAS dah masuk Barisan (dahulu), tak boleh masuk acap kali sangat, tak boleh masuk. Dia setuju RUU355 ke arah memperkenalkan hukum takzir. Kalangan Umno sokong. Ada yang tak sokong. Tak cukup majoriti.

“Kita tangguh dulu. Kita tangguh sehingga cukup majoriti. Nak memperkenalkan hukuman sebat dalam Islam dan sebat undang-undang sivil. Rupanya mereka takut kepada hukum Islam.

“Kalau laksanakan hukum Islam ini, orang bukan-Islam akan pilih hukum Islam kerana hukum Islam tidak menyeksa, tidak mendera, itu sebabnya,” ujarnya optimis agenda syariah itu dapat direalisasikan bila Ahli Parlimen Islam memiliki majoriti besar di Parlimen. – HARAKAHDAILY 25/9/2022


II. Melayu perkasa bersama Islam

KALANGAN mereka yang membuat kenyataan bahawa orang Melayu gagal memerintah negara itu perlu disekolahkan kerana pada hakikatnya mereka itu buta sejarah. Sekalipun mereka berilmu hanya dalam satu aspek ilmu sahaja seperti ilmu undang-undang.

Mereka membuat kenyataan laksana kumpulan orang buta yang mahu mengenali gajah dengan meraba-raba salah satu anggotanya sahaja, tanpa melihat seluruh jasad gajah yang besar. Lalu, dinyatakan rupa bentuk gajah dengan keterangan yang salah dan penuh pembohongan.

Kenyataan mereka itu menyentuh soal perkauman dan sensitiviti kaum, tanpa mengira kaum yang sangat berperikemanusiaan dan berbudi bahasa kepadanya. Seolah-olah telah lupa terhadap bangsanya sendiri yang pernah dizalimi, ketika diangkut oleh penjajah dan diperhambakan di tapak lombong dan ladang-ladang.

Malah, bangsanya juga pernah dikerah menjadi tentera yang berperang bagi pihak penjajah. Namun, kini mereka diberikan taraf kewarganegaraan, bukannya menumpang atau dihalau pulang ke negara asalnya.

Islam telah memperkasakan bangsa dalam rumpun Melayu di Nusantara, sehingga berjaya menegakkan beberapa kerajaan yang bertamadun sebelum kedatangan golongan penjajah. Adanya kerajaan seperti Kesultanan Melaka, Kerajaan Demak, Kerajaan Acheh dan lain-lain, kerajaan yang silih berganti berkuasa.

Hukum Islam yang adil kepada semua telah dilaksanakan sehingga berjaya memerintah masyarakat berbagai-bagai suku kaum dan agama tanpa paksaan dalam beragama. Bahkan, tidak ditukar nama asal rumpunnya dan tutur bahasanya dengan mengizinkan wujudnya masyarakat majmuk. Hal ini berpandukan kepada firman Allah SWT:

﴿وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ٢٢﴾

“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi serta berlainan bahasa dan warna kulit kamu. Sesungguhnya, pada hal yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” (Surah al-Rum: 22)

Selain itu, Islam membawa mesej kepada manusia yang terdiri daripada pelbagai bangsa berkonsepkan keluarga besar dengan perintah Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا١﴾

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menjadikan kamu daripada diri yang satu (Adam), dan daripadanya itu dijadikan pasangannya (isterinya iaitu Hawwa’), dan daripada kedua-duanya Dia mengembangbiakkan keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebutkan nama-Nya, serta peliharalah hubungan silaturahim; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.” (Surah al-Nisa’: 1)

Dan juga firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu saling kenal-mengenal (bermasyarakat madani). Sesungguhnya, semulia-mulia kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kalian. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat: 13)

Dalam pada itu, Islam tegas mewajibkan berlaku adil kepada semua manusia. Hal ini dijelaskan oleh firman-Nya:

﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨﴾

“Sesungguhnya, Allah memerintahkan kamu supaya menunaikan amanah kepada kalangan yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya, Allah itu Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (Surah al-Nisa’: 58)

Kesan daripada pengaruh Islam inilah yang membolehkan orang seperti Tommy Thomas menjadi rakyat Malaysia.

Jawaharlal Nehru ialah seorang tokoh yang lebih besar daripada Tommy Thomas, tidak lupa untuk menyebutkan pengaruh Islam yang positif kepada masyarakat India dalam bukunya, Discovery of India. Thommy Thomas yang dikatakan seorang pakar undang-undang masih belum memberikan penjelasan sikapnya ketika menjadi Peguam Negara terhadap proses pengampunan pemimpin PH, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan terhentinya perbicaraan mahkamah kes rasuah Lim Guan Eng yang masyhur itu, serta terhadap ulasan Tun Abdul Hamid dan tulisan saya.

Tiba-tiba meletup kenyataan politik Melayu yang dikatakan sangat lemah, maka inilah taraf bekas Peguam Negara yang dilantik oleh Kerajaan PH.

Para pemimpin PH pula hangat mempertikaikan layanan terhadap Dato’ Seri Najib yang telah dipenjarakan, seakan mereka melupakan bagaimana layanan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga pernah dipenjarakan? Keadaan ini menandakan politik yang tidak matang atau Melayu mudah lupa, namun bukan semua Melayu.

Islam yang bertamadun telah ditunjukkan oleh al-Quran dan teladan Rasulullah SAW yang diwahyukan supaya berpolitik secara matang. Pada masa yang sama, diperintahkan agar berlaku adil dan rahmat, walaupun kepada mereka yang zalim terhadapnya apabila menjatuhkan hukuman jika dibuktikan bersalah atau memaafkan sekiranya mempunyai alasannya. Hal ini disebutkan oleh firman Allah SWT:

﴿وَإِنۡ عَاقَبۡتُمۡ فَعَاقِبُواْ بِمِثۡلِ مَا عُوقِبۡتُم بِهِۦۖ وَلَئِن صَبَرۡتُمۡ لَهُوَ خَيۡرٞ لِّلصَّٰبِرِينَ١٢٦ وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ وَلَا تَحۡزَنۡ عَلَيۡهِمۡ وَلَا تَكُ فِي ضَيۡقٖ مِّمَّا يَمۡكُرُونَ١٢٧ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحۡسِنُونَ١٢٨﴾

“Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi, jika kamu  bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (126); Dan bersabarlah (wahai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap tipu daya mereka. (127); Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan. (128)” (Surah al-Nahl: 126-128)

Dan juga firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah! Kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Rasulullah SAW juga menyuruh supaya bersifat ihsan (baik) apabila menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang bersalah. Perkara ini dinyatakan oleh sabdanya:

‌إِنَّ ‌اللهَ ‌كَتَبَ ‌الْإِحْسَانَ ‌عَلَى ‌كُلِّ ‌شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ.


Sesungguhnya, Allah telah mewajibkan agar berlaku baik dalam sesuatu tindakan. Apabila ingin menjatuhkan hukuman bunuh, maka lakukanlah dengan cara yang baik, dan apabila ingin menyembelih (binatang), maka lakukanlah dengan cara yang baik, hendaklah kalian menajamkan pisaunya dan merehatkan binatang sembelihannya.” (Riwayat Muslim 1955, al-Tirmizi 1409, Abu Dawud 2815 dan lain-lain)

Oleh itu, hukuman sebatan dalam Islam tidaklah sama dengan bentuk sebatan dalam undang-undang ciptaan manusia, kerana hukum Islam tidak mencedera dan menyeksa, tetapi sebaliknya mendidik. Begitu juga, hukuman yang lain dalam Islam mempunyai adab dan rahmatnya.

Hukuman dalam Islam bukan dengan dendam kesumat, sehinggakan bertindak melampaui batas. Sekiranya melampaui batas, maka seseorang itu berdosa dan akan dihukum oleh Allah SWT pada Hari Kiamat. Inilah ciri-ciri yang tiada dalam undang-undang ciptaan manusia.  

Sebenarnya, banyak lagi contoh lain yang ditunjukkan oleh Islam telah diambil oleh tamadun Barat, termasuklah dalam Konvensyen Geneva yang terkenal kini dalam menguruskan krisis antarabangsa. Hakikatnya mereka mengambil daripada tamadun Islam yang menegaskan agar berperikemanusiaan dalam menghadapi sebarang krisis.  

King Charles III yang baru sahaja dilantik menjadi raja itu lebih masyhur daripada Tommy Thomas, pernah menegaskan sepatutnya dunia Barat berterima kasih kepada Islam yang memberikan sumbangan kepada tamadun Barat.

Banyak hasil karya ilmuwan Islam yang dicuri dan disimpan di England, Belanda, Perancis dan lain-lain telah mempengaruhi tamadun Barat yang tidak bertamadun sebelumnya. Termasuklah terhadap sistem politik dan kehakiman, bukan sahaja dari segi sains dan teknologi.

Tamadun Islam ialah tamadun pertama yang memperkenalkan konsep bank simpanan dan perniagaan, penggunaan cek, pembinaan hospital, rumah tumpangan (hotel), sistem bekalan air bersih dan sebagainya. Perkara ini termasuklah juga peranan rakyat dalam politik sebelum munculnya demokrasi Barat, apabila Islam terlebih dahulu memperkenalkan konsep pemisahan kuasa kehakiman dengan kuasa politik serta pentadbiran dan lain-lain.

Pesatnya tamadun Barat kini sehinggakan melampaui batas telah meruntuhkan kehidupan manusia dan alam sekitar kerana mereka mengambil tamadun Islam secara tidak beramanah dan tidak sempurna. Hal ini disebabkan mereka tidak beriman dan tidak berakhlak, setelah dipisahkan agama daripada kehidupannya, walau pada asalnya elemen tersebut terkandung dalam tamadun Islam.

Akan tetapi, Barat yang mencurinya telah membuang peranan agama dan akhlak, sehingga berpisah juga daripada urusan sains dan teknologi. Sehinggakan, ia turut merosakkan diri manusia dan alam sekitarnya, khususnya cuaca dunia yang disaksikan kini. Al-Quran telah memberikan suatu peringatan melalui firman Allah SWT:

﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ٤١﴾

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Rum: 41)

Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA pernah berucap kepada bangsa Arab pada zamannya:

‌نَحنُ ‌قَوْمٌ ‌أَعَزَّنَا ‌اللهُ ‌بِالإِسْلَامِ، فَمَهمَا ابتَغَينَا العِزَّةَ بِغَيرِ مَا أَعَزَّنَا اللهُ أَذَلَّنَا اللهُ.

“Kita ialah kaum yang diberikan kemuliaan dan keperkasaan oleh Allah dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selain Islam (dengan meninggalkan Islam), nescaya kita akan dihina oleh Allah.” (Al-Hakim, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, jilid. 1, halaman 61)

Apa yang diucapkan oleh Khalifah ‘Umar RA itu mentafsirkan firman Allah SWT:

﴿وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم٣٨﴾

“Dan jika kamu berpaling (menegakkan Islam), nescaya Dia akan menggantikan (kalian) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan (menyerupai) seperti kamu ini.” (Surah Muhammad: 38)

Kehebatan bangsa Arab itu dapat dilihat apabila mereka berpegang dan beramal dengan Islam yang sempurna, bukan terletak pada pedangnya. Begitu juga dengan orang Melayu yang pernah bertamadun, kehebatan mereka bukan terletak pada kerisnya, tetapi ketika mereka berpegang dan beramal dengan Islam.

Justeru, Islam pernah beralih kepada bangsa bukan Arab yang memimpin sebagai sebuah kuasa besar seperti bangsa Kurdi, kaum Mongol di India dan Turki, termasuklah bangsa Melayu di Nusantara. Kejatuhan umat Islam pula berlaku kerana mereka melemahkan peranan Islam daripada cara hidupnnya, khususnya dalam aspek politik.

Kerajaan Melayu jatuh apabila lemah pegangan Islamnya sehinggakan mereka berpecah belah. Maka, kekuatan teknologi kebendaan yang ada pada bangsa Eropah memberikan kelebihan ketenteraan sementara waktu kepada mereka bagi menjajah, memperhambakan bangsa lain dan menguasai sumber bumi jajahannya dengan rakus. 

Kelemahan bangsa Melayu kini lebih banyak disebabkan mereka pernah dibuli pada zaman penjajahan yang datang bertalu-talu daripada Portugis diikuti oleh Belanda, Inggeris, Perancis dan Sepanyol. Sehinggakan, mereka dijajah beberapa abad lamanya.

Sejak tempoh itu, masyarakat Melayu sengaja dipinggirkan dalam politik, ekonomi, dan pendidikan. Bahkan, dilumpuhkan politik, dirosakkan pendidikannya dan dilemahkan ekonominya.

Namun, mereka tetap berjuang menentang penjajah sejak kejatuhan Melaka pada tahun 1511 lagi. Berkumpulnya rumpun Melayu Islam bermula dari Acheh, Jawa, Bugis, Minang dan Banjar dalam penyertaan bersama menentang penjajah, sebelum kedatangan kaum bukan Islam daripada kalangan Cina dan India yang dilonggokkan oleh penjajah itu.

Kedatangan berbagai-bagai kaum yang dibawa oleh penjajah itu termasuk dalam program melumpuhkan orang Melayu Islam dengan meletakkan kaum lain dalam penyusunan masyarakat majmuk yang bertujuan mempergunakan semua bangsa yang dijajah bagi kepentingan penjajahan yang berpanjangan.

Kaum Melayu diwajibkan menerima syarat jus soli (menerima kerakyatan warga asing) jika mahu memperoleh kemerdekaan dengan pemberian konsep yang diatur sebegitu rupa. Walau bagaimanapun, roh Islam yang masih ada dalam diri bangsa Melayu yang diajar oleh Islam cara bermasyarakat majmuk, menyebabkan mereka tidak bertindak agresif terhadap kaum yang lain. Walaupun mereka terpaksa menerima kesan yang sangat negatif dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Keadaan ini dapat disaksikan berlaku di negeri-negeri yang terdapat banyak pendidikan agama Islam seperti di Pantai Timur dan utara Semenanjung. Maka, kalangan mereka yang menuding jari terhadap orang Melayu sangatlah tidak berbudi, bukan sahaja tidak bermoral dan tidak beradab.

Kelemahan yang dialami oleh Barisan Nasional (BN) yang memerintah, sehingga menyaksikan kejatuhannya dalam PRU-14 tidak boleh diletakkan kepada parti Melayu UMNO sahaja. Malah, sepatutnya diletakkan juga ke atas beban BN bersama parti kaum bukan Melayu seperti MCA dan MIC, termasuk pembangkang khususnya parti-parti dalam PH, bersamanya yang menguasai ekonomi dan menjadi penyumbang paling besar serta paling mahal kepada berlakunya rasuah dan salah laku.

Islam menegaskan bahawa pemberi rasuah itu lebih besar dosa dan laknatnya daripada penerima rasuah, walaupun kedua-dua pihak dilaknat dengan keras. Namun, pemberi rasuah masih diselamatkan daripada tindakan undang-undang, khususnya ketika PH memerintah dalam jangka masa yang pendek.

PH menggunakan pengaruh media baru yang ditaja perbelanjaan besarnya oleh kalangan yang menguasai ekonomi daripada dalam dan luar negara, dan digunakan bagi merosakkan pengundi muda Melayu khususnya yang tidak boleh dianggap remeh temeh. Ini merupakan kedatangan penjajah baharu terhadap tanah air kita.

Keadaan kini menjadikan hukum fardu ‘ain untuk berjihad politik bagi menyelamatkan negara dan umat bersama Islam. Oleh itu, perpaduan umat Islam terlebih dahulu diutamakan, sebelum penyertaan kaum bukan Islam yang tidak ekstrem juga mesti digabungkan dalam masyarakat majmuk bagi melaksanakan keadilan untuk semua yang menjadi konsep Islam yang sangat penting.

PAS tetap beristiqamah dengan sabar bersama Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), walaupun menjadi parti yang paling banyak dibuli terhadap ahlinya dalam jangka masa yang paling lama. Bahkan, ahlinya juga ramai yang diambil tindakan melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan ada yang terkorban seperti dalam Peristiwa Memali dan lain-lain.

Selain itu, dinafikan hak Royalti Kelantan dan dirompak hasilnya daripada Terengganu ketika pemerintahannya, termasuklah hak-hak yang lain mengikut Perlembagaan Persekutuan yang berkonsepkan federalisme. Sehinggakan, kerajaan yang dipimpin oleh PAS menghadapi masalah yang sukar diselesaikan dan mudah dikritik oleh lidah yang tidak bertulang dan dakwat cair yang mudah ditulis untuk menjadikannya fitnah  murahan, khususnya bagi menipu generasi muda yang tidak sempat mengikuti hal yang sebenarnya.

Mereka itu lebih buruk perangainya dan lebih hina daripada binatang kera yang memilih buah yang baik untuk dipungut dan dimakan, tetapi kalangan yang menentang Islam pula mencari perkara yang dianggapnya buruk seperti apa-apa kelemahan atau dianggapnya kegagalan. Hal itu adalah semata-mata untuk mewujudkan wajah yang buruk terhadap orang-orang yang beriman yang diuji dengan halangan kezaliman dan penindasan. Kepada golongan tersebut, ingatlah firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ فَتَنُواْ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ ثُمَّ لَمۡ يَتُوبُواْ فَلَهُمۡ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمۡ عَذَابُ ٱلۡحَرِيقِ١٠﴾

“Sesungguhnya, orang-orang yang mendatangkan cubaan kepada orang-orang yang beriman daripada kalangan lelaki dan perempuan; kemudiannya mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka juga azab (neraka) yang membakar.” (Surah al-Buruj: 10)

Syabas kepada rakyat Kelantan dan mereka yang terus bersabar untuk bersama PAS dan perjuangan Islam yang banyak ujiannya di seluruh dunia yang tidak mengizinkan umat untuk bangkit semula bersama Islam dan laknat Allah SWT terhadap mereka yang memperkecilkannya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 28 Safar 1444 / 25 September 2022 – HARAKAHDAILY 25/9/2022


III. Presiden PAS luruskan sisi penting sejarah kemerdekaan

PADANG RENGAS: Negara dan rantau ini telah dirosakkan dengan kedatangan penjajah yang memusuhi Islam di mana perjuangan menentang dan melawan mereka adalah bertitik tolak dari keimanan dalam jiwa dan diri umat Islam ketika itu.

Demikian itu, gerakan menghadapi penjajah telah bermula dengan perjuangan Islam sejak penaklukan Melaka 1511 dan bukan dari penubuhan Umno tahun 1946 sebagaimana difahamkan atau difahami pihak-pihak tertentu.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Islam yang datang ke Nusantara termasuk di Malaysia adalah sempurna dan berdaulat yakni memerintah negara, dan bukan terpotong-potong atau dikurangkan.

Ceritanya, menghadapi penjajah Portugis, Belanda dan British yang bertali arus ke rantau ini, umat Islam di Nusantara sebaliknya tidak menyerah kalah, bahkan rumpun Melayu termasuk daripada Indonesia telah berkumpul di Semenanjung.

Mereka itu jelas beliau, adalah daripada Acheh dan Minang terdiri sama daripada keturunan Jawa, Banjar dan Bugis telah datang beramai-ramai kerana jihad menentang penjajah dan memperkuatkan rakyat dengan Islam.

“Mereka bergerak mendidik rakyat, mengajar agama untuk melawan serangan pemikiran yang mahu menghancurkan kefahaman Islam. Ulamak-ulamak yang berkumpul di Pulau Penyengat ratus tahun lalu yang pulang dari Makkah menubuhkan kumpulan Islam yang pertama.

“Diikuti penubuhan Partai Syarikat Islam yang berkembang seluruh nusantara, perjuangan menentang penjajah melibatkan umarak dan ulamak, raja-raja dan ulamak, melibatkan rakyat.

“Ada yang mati syahid, dipenjara, dibuang negeri, dipinggirkan, namun tidak menyerah kalah sehingga ratusan tahun lamanya,” ujar beliau pada Karnival PAS Pilihanku di Dewan Millenium, Lubuk Merbau, di sini semalam.

Lanjutnya bentang beliau, dalam gerakan politik moden, pemimpin-pemimpin Melayu dari berbagai sayap sama ada kanan, tengah dan kiri turut memperjuangkan kemerdekaan rantau ini daripada cengkaman penjajah.

Menurutnya, Parti Kebangsaan Melayu Malaya yang ditubuhkan ketika itu dan pernah dipimpin oleh Dr Burhanuddin al-Helmy daripada Perak telah hampir membuatkan Jepun menyerah kalah.

Malah menyingkap sejarah yang disembunyikan, beliau memberitahu bahawa para pemimpin Nusantara terdiri daripada Dr Burhanuddin, Sukarno, Mohammad Hatta dan lain-lain pernah bertemu di Taiping, Perak.

Muslihat penjajah Barat

“Mereka mahu mengambil alih pemerintahan sebelum datangnya British dan Belanda, sama-sama nak isytiharkan kemerdekaan. Namun kuasa-kuasa Barat sudah merancang.

“Bila mereka (sesama kuasa Barat) nak lawan Jerman dan Jepun dalam perang dunia kedua, mereka janjikan nak beri kemerdekaan kepada negeri-negeri jajahan. Tetapi kemerdekaan itu jangan serah kepada kumpulan Islam.

“Mereka sanggup menyerahkan kepada Komunis asalkan jangan pada Islam. Bukan sahaja Yaman Selatan, negeri Arab jajahan British. British tinggalkan Yaman Selatan serah pada Komunis memerintah Yaman Selatan, termasuk nusantara ini.

“Di masa Jepun, kumpulan Komunis banyak diberikan senjata, memiliki senjata. Di Tanah Melayu banyak orang Cina, di Indonesia banyak Komunis orang Indonesia, mereka bunuh para ulamak dan sultan di Sumatera, barangkali banyak yang tak tahu.

“Ini tonggak kekuatan orang Islam. Kecuali Sultan Aceh, wali kota, wali negara kerana Aceh ada kekuatan. Sultan Hamengkubuwono Jogja menyambung perjuangan Diponegoro menyumbang kepada kemerdekaan Indonesia. Pengaruhnya sangat besar.

“Yang lain dibunuh ulamak-ulamak, dikutip seorang demi seorang. Di Tanah Melayu Bintang Tiga, ada orang Melayu yang tak faham, terlibat dalam perjuangan kiri mengangkat senjata selepas Jepun menyerah kalah,” imbau Tuan Guru.

Menurut beliau lagi, ada pemimpin veteran PAS pernah memberitahunya bahawa Dr Burhanuddin berperanan memberi nasihat apabila ada orang Melayu mahu masuk hutan bersama Komunis, kerana itu bukan cara yang betul.

Sebaliknya kata beliau, orang-orang tua dahulu begitu mengetahui peritnya pemerintahan Bintang Tiga Komunis, ditambah British datang menakluk semula dan Belanda datang berperang di Indonesia.

“Akhirnya mereka (penjajah) terpaksa memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Bila ada ura-ura nak beri kemerdekaan di samping parti Kebangsaan Melayu gabungan, United Malays National Organization, kumpulan-kumpulan Melayu bergabung.

“Apabila pemimpin-pemimpin Islam boleh membaca permainan British dalam penubuhan Umno, nak mengumpan orang Melayu, (maka) ditubuhkan Hizbul Muslimin (oleh pemimpin Islam),” cerita beliau.

Pun begitu kata Tuan Guru, Hizbul Muslimin yang menempa sejarah penubuhannya di Gunung Semanggol, Perak itu telah diharamkan oleh British hinggalah pada tahun 1951 ditubuhkan PAS dari asalnya sebuah NGO kemudiannya menjadi parti politik.

Bahkan Perak baginya, turut menempa sejarah apabila dalam Pilihan Raya 1955 pra kemerdekaan, PAS berjaya menang kerusi pertama di negeri tersebut, selain ramai juga pemimpin ulung datang dari bumi Perak.

Peranan MP tunggal PAS

“Menang satu kerusi. Satu-satunya pembangkang dalam Parlimen Tanah Melayu sebelum kemerdekaan, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein. Masa itu tak ada panggilan ‘Yang Berhormat’, dipanggil ‘Encik Pembangkang’.

“Dengan seorang Ahli Parlimen dan mengajak pemimpin-pemimpin Umno yang masih ada roh Islamnya. Kerana hodoh-hodoh orang Melayu ini, sayang pada Islam. Mereka menganggap Islam itu Melayu, Melayu itu Islam. Orang masuk Islam dia kata masuk Melayu. Eratnya Islam dengan Melayu ini,” ujarnya.

Menurut Tuan Guru, apabila British mahu memberi kemerdekaan, ditubuhkan Suruhanjaya Reid yang dipengerusinya Lord Reid dengan ahli-ahlinya terdiri dari hakim daripada England, Australia serta dua orang India Pakistan yang pro-Barat.

Namun bidasnya, Perlembagaan yang digubal itu tidak ada Islam dan tidak ada kepentingan umat Islam di dalamnya, termasuk kedudukan raja-raja juga tiada
kekuatan langsung diberikan.

Pun begitu katanya, Tuan Guru Ahmad Tuan Hussein selaku Ahli Parlimen PAS tunggal itu bersama rakan-rakan Umno yang masih ada semangat Islam dan pihak raja-raja telah menyuarakan kepentingan berkaitan.

Bahkan terangnya, turut menghargai perjuangan kaum lain dalam kalangan orang Cina dan India yang asalnya dibawa ke negara ini oleh penjajah diperhambakan di estet dan lombong atau menjadi askar berperang bagi pihak British.

Jelasnya, kaum lain diterima sesuai dengan ajaran Islam terhadap masyarakat majmuk, namun syarat Jus Soli oleh untuk warga asing menjadi rakyat secara mudah itu dibimbangi meminggirkan kaum Melayu.

Namun menurut beliau, oleh kerana ingin mencapai kemerdekaan dengan cepat, maka syarat Jus Soli oleh British itu akhirnya diterima juga dengan semangat Islam adalah agama masyarakat majmuk serta adil untuk semua.

Kemerdekaan tersebut beritahu Tuan Guru, diterima dengan Perlembagaan turut memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan di mana berbeza dengan kemerdekaan Indonesia yang tidak meletakkan Islam sebagai agama negaranya.

Islam: Akidah, politik, Perlembagaan dan negara

“Jadi perbahasan dalam Suruhanjaya Reid apa makna Islam, adakah Islamic State? Negara Islam? Ataupun Islam mengikut fahaman orang Barat, Islam yang tak ada negara. Oleh kerana sifat Perlembagaan itu ayatnya umum, mereka biarkan begitu sahaja.

“Dalam masa yang sama kebebasan terhadap penganut-penganut agama lain diizinkan. Raja mengikut konsep Perlembagaan masih ada.

“Walaupun penjajah menafsirkan ikut otak dia nak pinggirkan Islam, bila kita merdeka, kita mentafsirkan Islam itu agama yang sempurna, tak boleh ikut penjajah lagi. Ini perjuangan PAS, ini khilaf PAS dengan Umno peringkat awal,” ceritanya.

Tempelaknya, keberanian untuk meminggirkan Islam termasuk ke atas ketuanan dan kepimpinan Islam itu muncul kembali di masa Pakatan Harapan menjadi kerajaan sebelum ini melalui ICERD dan Statut Rom.

“Mengapa PAS menegaskan kepimpinan Islam? Kerana kepimpinan Islam sahaja yang ada perhitungan politik dosa dan pahala, hari akhirat. Islam adalah akidah, bukan ideologi. Idealogi ini akal manusia. Manusia boleh buat apa saja.

“Dia mengaku orang Islam tapi asingkan duit politik, boleh rasuah, boleh salah laku, boleh hentam duit banyak-banyak, lepas itu buat umrah, senang je. Seolah-olah tak ada tanggungjawab agama. Tak ada tanggungjawab dosa pahala sampai akhirat.

“Kekuatan Islam ialah akidahnya, dalam politik (dan) Perlembagaan negara,” terang Tuan Guru. – HARAKAHDAILY 25/9/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: PAS & A.Hadi. Ini langkah tukar kerajaan PH...

Saya (Ibnu Hasym) telah mempelajari dan menimba ilmu dari beliau Tuan Guru Abdul Hadi Awang sejak dari tahun 1980an lagi hingga sekarang. Pembelanjaran melalui menghadiri kuliah-kuliah beliau, merakam dan memperdengarkan keset-keset, video, membaca dan pernah menerbit buku beliau.

Saya sangat terhutang budi dan ilmu kepada beliau, bahkan sangat menyokong gagasan Negara Islam yang dipimpin oleh beliau sehingga tertegak, insya Allah!

Sekian.

2 comments:

Anonymous said...

Fakta mahkamah 'Can I Fuck You Today'- CIFUT BABI

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mahu rakyat tidak menaruh kepercayaan terhadap parti politik yang meletakkan jenama Melayu-Islam hanya pada nama semata-mata, namun tidak pada amalan mereka khususnya dalam membasmi kemiskinan, rasuah dan kerosakan alam sekitar.

Bole percaya bila pemimpin CIFUT BABI barhujah..?

Anonymous said...

Yg makn babi adalah dapig.
Yg suka beri rasuah adalah dapig.
Ini bukan budaya penduduk asal negara ini.
Tapi ini rakan abam dan mat sabun.
Ini ironi abam dan mat sabun.
Konon malaysia baru.
Konon ayuh malaysia.
Konon reformasi.
Tapi jadi jarum buat dapig.

Apa mat jambu buat pada pemberi rasuah.
Ada mat jambu bongkar atok kerala.
Ada mat jambu bongkar pindah milik kekayaan negara masuk kantong keluarga atok kerala.
Jelas mat jambu adalah ajen dapig utk hancurkan melayu.
Hanya bongkar satu side.
Not the other side.

Jom sokong pas.
Satu satunya parti yg punya vision buat org melayu dan rakyat malaysia.
Satu satunya parti yg tidak guna jentera fitnah.
Satu satunya parti yg tidak guna jentera rasuah.
Satu satunya parti yg tidak beri sampul kpd pengundi.
Satu satunya parti yg tidak kronisme.
Satu satunya parti yg bergerak guna dana sendiri.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails