Friday, September 30, 2022

Syabas Tuan Ibrahim! Pembersihan di sungai Pontian pula..

 

Semalam, tular satu video berdurasi 36 saat memaparkan seorang pemandu lori memberhentikan sebuah lori satu tan sebelum memikul sampah daripada kenderaan berat itu dan membuangnya dari atas jambatan Sungai Wak Rabun Batu 33, Pontian

1. Pemandu lori buang sampah dalam Sungai Pontian sudah ditahan

JOHOR BAHRU: Pemandu lori yang dirakam dalam video tular memaparkan tindakannya membuang sampah ke dalam sungai dekat Pontian, sudah ditahan polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata lelaki tempatan berusia 52 tahun itu ditahan di bandar Pontian kira-kira 7 malam tadi, lima jam selepas usaha mencarinya dibuat.

"Kita cuba mengesan suspek selama lima jam termasuk di rumahnya tetapi tiada sehinggalah berjaya menghubungi dan menemuinya di kawasan bandar Pontian.

"Apabila berjaya ditemui dan ditahan, kita membawa suspek ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian dan menjalankan pemeriksaan serta siasatan.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun semakan mendapati dia mempunyai banyak rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada acara pelepasan (Flag Off) Konvoi Program Ramah Mesra PDRM Johor bersama Brother Motor di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini. 

Tangkap layar video tular memaparkan perbuatan seorang lelaki membuang sampah dalam sungai di Pontian semalam.

Semalam, tular satu video berdurasi 36 saat memaparkan seorang pemandu lori memberhentikan sebuah lori satu tan sebelum memikul sampah daripada kenderaan berat itu dan membuangnya dari atas jambatan Sungai Wak Rabun Batu 33, Pontian.

Tindakannya itu dirakam orang awam sebelum dimuat naik di laman sosial Facebook dan mendapat perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Kamarul Zaman berkata, Onn Hafiz kemudian menghubungi beliau dan meminta pihak polis membantu mengambil tindakan.

"Saya kemudian mengarahkan Ketua Polis Daerah Pontian untuk mengambil tindakan mengesan suspek," katanya.

Kamarul Zaman berkata, suspek yang kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam percakapan dan diambil tindakan kompaun mengikut Rule 52 LN 166/59 selainmemandu tanpa lesen GDL.

"Perbuatan itu (membuang sampah dari kenderaan) adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan saman atau kompaun sehingga RM2,000," jelasnya.

Difahamkan, lori milik suspek itu dihantar Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut.

Selain itu, beliau berkata, polis turut bekerjasama dengan pentadbir sungai di Johor iaitu Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang turut menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang mereka.

"SWCorp juga akan siasat, kita sudah bincang dengan mereka, SWCorp juga akan ambil tindakan dan mengenakan kompaun sehingga maksimum RM10,000," katanya.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, suspek mendapat bayaran daripada kerja mengutip sampah dari kilang dan tempat pembuangan sampah dan sampah dikutip sepatutnya dibuang di tempat khas, namun suspek bertindak mengambil jalan mudah.

"Kita sudah tahan suspek dan nasihat, dia juga berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu. Mungkin sebelum ini dia buat, orang tidak nampak," katanya. (BH)


2. Tuan Ibrahim kecam perbuatan lupus sampah dalam sungai di Pontian 

Suspek dan lori yang digunakan untuk membuang sampah domestik dalam sungai di Pontian sudah ditahan polis. NSTP/ Togi Marzuki

JOHOR BAHRU: Perbuatan seorang lelaki membuang sampah ke dalam Sungai Wak Rabun dekat Pontian di sini semalam, menarik perhatian Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mengarahkan tindakan segera diambil terhadapnya.

Tuan Ibrahim menyifatkan, perbuatan lelaki terbabit mengambil jalan mudah dengan membuang sampah ke dalam sungai itu sebagai tindakan yang melampau.

"Saya sudah minta Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk segera menjalankan siasatan serta mengambil tindakan susulan terhadap perbuatan itu," katanya dalam perkongsian di Facebook, malam tadi.

Tuan Ibrahim berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perbuatan seumpama itu boleh menghantar mesej kepadanya.

Perkongsian beliau di Facebook menarik perhatian ribuan pengguna media sosial yang berharap perbuatan terbabit dikenakan tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff, berkata siasatan awal mendapati sampah yang dibuang lelaki berkenaan adalah sampah domestik dan bukan bahan buangan berjadual.

Pengerusi Persatuan Penjagaan Alam Sekitar Bumi Hijau (GES), P Siva Kumar, berpandangan kesedaran sivik dan usaha memupuk kesedaran berkaitan kepentingan alam sekitar dapat menangani masalah pembuangan sampah ke sungai.

Beliau berkata, peruntukan undang-undang alam sekitar perlu dikaji semula untuk mengenakan hukuman yang lebih berat kepada individu yang membuang sampah dan mencemarkan sungai.

"Disebabkan oleh pencemaran, difahamkan hanya 50 peratus daripada sungai di negeri ini boleh digunakan sebagai sumber bekalan air.

"Banyak lagi langkah pro aktif diperlukan daripada peringkat kerajaan negeri atau pusat untuk peranan pro aktif dalam mengekalkan kemampanan sungai kita.

"Kerajaan negeri perlu bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar untuk mengadakan kempen alam sekitar di sekolah sebagai langkah memupuk kesedaran daripada peringkat awal.

"Ia juga dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang," katanya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Syabas Tun Ibrahim! Pembersihan di sungai Pontian pula.. Al-hamdulillah.


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

1 comment:

Anonymous said...

Sekarang ni kebanjiran kes rasuah kat selangor dan pulau pinang. Yg ni tak kira monsun. Janji ada abam dan eng guan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails