Friday, September 30, 2022

Denda RM43,000 logo halal palsu. Rasuah perlu lebih berat.

 

Sebahagian daripada daging import yang dirampas dalam operasi bersepadu tahun lalu

1. Lelaki didenda RM43,000 kerana guna logo halal palsu

SHAH ALAM: Seorang lelaki didenda RM43,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kelmarin, selepas mengaku bersalah mengguna logo halal palsu pada daging sejuk beku yang diimport.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Mohd Khairi Jamaludin, berkata hukuman itu dijatuhkan Hakim, Rasyihah Ghazali.

Beliau berkata, pendakwaan itu dibuat hasil operasi bersepadu KPDNHEP Selangor bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ibu Pejabat Polis (IPK) Selangor dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) terhadap sebuah premis di Pulau Indah, awal tahun lalu.

"Susulan operasi bersepadu itu, siasatan disempurnakan sehingga membawa kepada pengesyoran Orang Yang Disiasat (OYDS) untuk dipertuduhkan di mahkamah mengikut Akta Perihal Dagangan 2019.

"Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan. Mahkamah mengenakan denda RM43,000 atau 15 bulan penjara mengikut Perenggan 8(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

"Sejumlah 1,672 barang kes bernilai lebih RM500,000 yang dirampas dalam kes itu dilupuskan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam serbuan pada 25 Januari tahun lalu, KPDNHEP mendapati pengimport daging sejuk beku (daging lembu) berkenaan menggunakan penandaan logo halal dari luar negara dengan bahasa dan tulisan halal yang diragui.

"Siasatan mendapati, daging sejuk beku yang ditemui dalam serbuan itu diimport dari luar negara. Semakan dengan JAIS mendapati, logo halal digunakan tidak diiktiraf dan penandaan halal yang digunakan pada kotak pembungkusan diragui," katanya.

Beliau menegaskan, KPDNHEP Selangor akan bertindak tegas serta tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang khususnya membabitkan Perakuan dan Penandaan Halal di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.(BH)


2. Rasuah: Tambah baik undang-undang, hukuman perlu lebih berat 

KUALA LUMPUR: Di sebalik pelbagai usaha dilaksanakan oleh kerajaan dan pihak berkepentingan bagi menangani isu rasuah di negara ini, masalah itu terus berleluasa, dan paling membimbangkan apabila didapati gejala makan suap ini mempunyai generasi “pelapis” dalam kalangan belia.

Hal ini dapat dilihat daripada statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh 2007 hingga Ogos 2022 yang menyaksikan 57.8 peratus daripada 5,652 orang yang ditangkap kerana rasuah adalah penjawat awam berusia bawah 40-an.

Malah, pada 2020 sahaja, seramai 275 orang muda berusia 18 hingga 30 tahun, merangkumi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan penjawat awam, ditahan kerana terbabit gejala makan suap.

Kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2021 berkenaan tingkah laku mahasiswa berhubung rasuah mendapati 14.3 peratus daripada 2,254 penuntut IPT awam dan swasta yang terlibat dalam soal selidik itu mengaku pernah ditawarkan rasuah.

Namun yang meresahkan ialah pengakuan  2.5 peratus atau 56 orang daripada responden bahawa mereka dengan sengaja mengambilnya, sekali gus mengundang persoalan tentang keampuhan undang-undang rasuah di negara ini bagi menangani “penyakit jelik” yang boleh meruntuhkan sosioekonomi sesebuah negara itu.

Akta tidak “bertaring”?

Mengulas mengenainya, pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan  dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia UPM  Prof Madya  Dr Amini Amir Abdullah berkata sudah tiba masa kerajaan menilai semula dan menambah baik Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575), khususnya dari segi hukuman.

“Akta 575 memperuntukkan mereka yang disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih daripada 20 tahun. Oleh itu saya cadangkan agar kerajaan pinda hukuman penjara minimum itu kepada tidak kurang daripada dua tahun,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ulas beliau, hukuman penjara minimum perlu “diberatkan” kerana pemerhatiannya mendapati ada beberapa kes sebelum ini yang membabitkan nilai rasuah jutaan ringgit namun hukuman yang dikenakan hanya penjara tidak sampai sebulan.

“(Bagi saya) ini tidak adil,” tegasnya.

Untuk rekod, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694)  memperuntukkan hukuman penjara maksimum  20 tahun, namun tiada tempoh minimum ditetapkan, memberi ruang kepada budi bicara hakim dalam memutuskan hukuman.

Pada masa sama, Amini Amir turut  menyarankan jumlah denda minimum yang diperuntukkan menerusi Akta 694 dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM50,000 dengan mengekalkan “jumlah lima kali ganda nilai suapan” dan “mengikut mana lebih tinggi”.

Selain dua akta berkenaan, aktiviti rasuah juga boleh diambil tindakan menerusi Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sosial, UPM Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata hukuman lebih keras diperlukan dalam menangani rasuah bagi mencerminkan impak buruk yang dibawa oleh kegiatan tersebut.

Katanya pelaksanaan hukuman terhadap pesalah rasuah tidak boleh dibuat seperti menjatuhkan hukuman kepada individu yang disabitkan kesalahan mencuri di pasar raya.

Ini kerana kata beliau pelaku rasuah membabitkan pelbagai latar belakang termasuk golongan berkedudukan tinggi dalam masyarakat dan institusi.

“(Justeru) Hukuman berat perlu dijatuhkan kepada pesalah rasuah supaya mereka serik selain menggambarkan hukuman dikenakan adalah sesuai dengan kepentingan awam serta mampu membangkitkan rasa tidak senang atau jijik masyarakat terhadap jenayah tersebut.

“Ini sekali gus akan mencerminkan keseriusan kerajaan membanteras gejala rasuah selain memberi pengajaran kepada masyarakat umum supaya tidak terjebak dalam aktiviti tidak bermoral itu,” katanya.

Gaya hidup mewah “memakan diri”

Kajian menunjukkan ada pelbagai faktor yang membuatkan seseorang, khususnya mereka yang mempunyai kuasa, terbabit dalam rasuah. Antara alasan yang sering didengar ialah gaji kecil jika pelaku adalah penguat kuasa undang-undang, namun telah diatasi oleh kerajaan dengan meningkatkan kadar gaji minimum.

Namun amnya, ramai yang bersetuju isu rasuah bertitik tolak daripada pegangan agama dan integriti seseorang. Ditambah lagi gaya hidup masa kini, khususnya golongan muda yang bagaikan saling bersaing mempamerkan kemewahan hidup menerusi media sosial, hinggakan ada yang sanggup berhutang keliling pinggang.

 Amini Amir melihat sikap materialistik itu membuka ruang kepada golongan muda untuk terjebak dalam kegiatan rasuah.

“Gaya hidup mewah ini membuatkan ada antaranya mula berhutang, dan keadan bertambah parah apabila mereka gagal untuk melunaskan hutang sehingga terbabit dengan jenayah rasuah. Bagi mereka, rasuah dilihat sebagai satu punca ‘duit tepi’ yang boleh membantu mereka menyelesaikan hutang tersebut,” ujarnya.

Malah katanya, kemungkinan juga mereka terdorong terjebak rasuah apabila melihat budaya itu berleluasa dalam kalangan ketua mereka sendiri yang bagaikan kebal kerana tidak pernah ditangkap oleh SPRM, ataupun dibebaskan selepas ditahan.

Bagi pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula, beliau berpandangan ada keperluan untuk sikap “busy body” kembali diamalkan oleh masyarakat.

Budaya ini dilihat negatif kerana “menyibuk hal orang”, namun katanya sikap sedemikian berpotensi mengekang rasuah daripada terus menular dalam sesebuah organisasi.

“Ada pekerja tidak berani melaporkannya (rasuah) kerana takut dibuang kerja dan dipulaukan rakan sekerja sedangkan mereka perlu tahu kegagalan melaporkan kegiatan rasuah boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.

“Jadi, lebih baiklah melaporkannya kerana mereka akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 selain bakal menerima ganjaran sebagai mengiktiraf usaha membongkar kegiatan jenayah rasuah tersebut,” katanya.

Tambah baik pendidikan antirasuah

Ketika diminta mengulas tahap keberkesanan pendidikan antirasuah, Amini Amir berkata silibus berkaitan rasuah dalam sistem pendidikan negara ketika ini perlu ditambah baik agar matlamatnya untuk melahirkan generasi muda yang holistik termasuk bertanggungjawab, berintegriti  dan memiliki jati diri yang tinggi tercapai.

Beliau juga melihat ada keperluan menubuhkan Kadet SPRM di sekolah rendah dan menengah bagi memberi pendedahan yang meluas sejak awal tentang buruknya rasuah selain meningkatkan integriti golongan muda.

“Cadangan ini pastinya dapat menjadi satu nilai tambah terhadap usaha proaktif pihak SPRM yang telah memasukkan elemen pendidikan antirasuah dalam buku teks Bahasa Melayu sekolah rendah Tahun lima berkuat kuasa 2021. 

“Selain itu, kita juga boleh adakan aktiviti khas luar sekolah seperti lawatan ke penjara untuk mereka melihat sendiri banduan yang terbabit dengan rasuah bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahayanya rasuah,” tambahnya. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tiada rasuah penyelamat guna logo halal palsu. Makanan umat Islam jadi bersih.

Al-hamdulillah!

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

1 comment:

Anonymous said...

Nama Jho Low di sebut beratus ribu kali dalam mahkamah tapi bayang dan bekas tapak kasut Jho Low pun tak ada di tangga dan dalam mahkamah.

Saksi pendakwaan Joanna Yu mengaku bahawa Jho Low arahkan dia untuk sembunyikan keadaan akaun bank bahawa kod nama bagi akaun semasa milik Najib adalah ‘AmPrivate Banking-MR’. Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) turut dimaklumkan 'kod nama' mengenai perkara itu

Apa sebenarnya berlaku adalah beliau telah ditipu oleh Jho Low, pegawai-pegawai beliau, pegawai dalam 1MDB, Pegawai pegawai AmBank, Goldman Sachs dan juga Aabar Investments dari Abu Dhabi.

Kena yakin Beliau kena tipu. Najib ditipu bukan saja oleh Jho Low tetapi pegawai-pegawainya, pegawai dalam 1MDB. Dia ditipu oleh Goldman Sachs, dia ditipu oleh Aabar Investments dari Abu Dhabi.

Rakyat juga mesti faham isu ini, peranan Goldman Sachs, 1MDB, isu peranan saksi dan pendakwaan. Kita perlu faham semua ini, barulah kita dapat buat keputusan adil terhadap Najib Razak.

Tiada ‘walk for justice’ untuk ‘bring back Jho Low, tiada orang ‘walk for justice’ sebab hanya minta AS$3 bilion dari Goldman Sachs.”

Beratus kali nama Zety disebut batang hidung Zety pun tak dipanggil dalam proses rayuan akhir malah ditolak permintaan di sapina ke mahkamah kartel.

Bila nak tangkap rampas harta Zety. Apa jasa Taufik Ayman pada negara..! Muncul sekor lagi bapak tiri Jho Low bernama David Tan dari UKSB pulak bodoh bangang kan semua pemimpin Melayu. Nama Tun Mahathir pun disebut terkait penerima rasuah RM2.6 juta utk dana politik.

Jangan was-was, jangan bimbang nanti orang kata ‘kamu sokong penyangak, kamu penyokong perasuah’. Rakyat perlu yakin dengan kenyataan ini Bossku ditipu oleh pegawai 1MDB, Jho Low, Nik Faisal, Zety, Pegawai AmBank

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails