Thursday, September 01, 2022

PM umum inisiatif baru & berita gembira.. & PAS X PH.

 

Penjawat awam yang hadir di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-MAPPA XVIII di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

1. Tambahan khas RM100 Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam Gred 11- 56

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan beberapa inisiatif baharu dan berita gembira buat penjawat awam antaranya tambahan khas RM100 dalam Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023.

"Keluh kesah anggota perkhidmatan awam sentiasa didengari oleh kerajaan," katanya pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) yang dihadiri kira-kira 4,000 anggota perkhidmatan awam secara fizikal di sini serta ribuan lagi mengikutinya secara dalam talian.

Beliau berkata, KGT tambahan khas sebanyak RM100 itu adalah bagi penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 dan akan dibayar mulai Januari 2023, yang akan membabitkan kira-kira 1.28 juta penjawat awam serta implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion. 

"Sebagai contoh, sebelum ini kadar KGT bagi gred 11 adalah RM80, maka pada 2023, beliau akan menerima kadar KGT asas sebanyak RM80 dan tambahan khas sebanyak RM100 menjadikan jumlah KGT diterima pada 2023 adalah sebanyak RM180," katanya sambil disambut dengan sorakan hadiri setiap kali beliau mengumumkan insentif untuk penjawat awam. 

Ismail Sabri turut mengumumkan BKK Tahun 2023 kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700 dan RM350 bagi pesara kerajaan veteran tidak berpencen yang akan dibayar pada Januari 2023.

MAPPA adalah acara tahunan bagi mendengar amanat daripada perdana menteri kepada anggota perkhidmatan awam daripada pelbagai perkhidmatan di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan serta syarikat berkaitan kerajaan.

Turut hadir menteri-menteri Kabinet antaranya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat.

Ismail Sabri pada perhimpunan itu turut mengumumkan kenaikan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari.

Ismail Sabri menyampaikan amanat pada majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto BERNAMA

"Kerajaan memahami dengan beban tugas yang semakin besar dan mencabar, ramai anggota perkhidmatan awam yang tidak dapat menghabiskan cuti rehat tahunan mereka.

"Dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai semasa persaraan sekali gus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak," katanya.

Ismail Sabri turut mengumumkan tambahan Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.

Tambahan Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 500,000 guru bagi urusan mustahak dan kecemasan yang dibenarkan serta memberi peluang guru-guru mengumpul jumlah GCR yang lebih tinggi, katanya. 

Pada majlis itu Perdana Menteri turut mengumumkan mengenai perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat.

"Jika sebelum ini cuti tanpa rekod bagi urusan kematian hanya tertakluk kepada kematian suami atau isteri, ibu kandung dan ibu mentua, bapa kandung dan bapa mentua serta anak sahaja, penambahbaikan tafsiran ahli keluarga diperluas kepada kematian yang membabitkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam," katanya.

Beliau turut memaklumkan langkah penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum.

"Kerajaan telah bersetuju menambah baik Kadar Tetap 3 peratus semasa yang diterima oleh pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada suatu kadar baharu dan diseragamkan mengikut gred bagi semua klasifikasi perkhidmatan berkuat kuasa 1 Januari 2022," katanya.

Ismail Sabri berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan pekeliling berkaitan bagi penjelasan terperinci bagi perkara itu.

Kerajaan juga bersetuju agar JPA menyegerakan kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan.

"Kajian juga merangkumi saraan dan perkhidmatan agar relevan dengan keadaan semasa serta kemampuan kewangan kerajaan," katanya.

Dalam perjumpaan bersama penjawat awam itu, Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam yang sentiasa memastikan jentera kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi kerajaan.

"Sekiranya produktiviti dapat ditingkatkan, ekonomi negara akan bertambah kukuh dan kerajaan akan lebih berupaya meningkatkan kemudahan kepada Keluarga Malaysia seluruhnya," katanya menambah penjawat awam tidak akan dilupakan dan yakin mereka adalah tonggak Aspirasi Keluarga Malaysia.

BERITA BERKAITAN

2. PRU15: PAS tegaskan tiada kerjasama dengan PH 

Datuk Seri Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR: PAS bependirian tegas untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata keputusan itu dimuktamadkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat yang diadakan pada 29 Ogos, semalam.

Katanya, antara perkara lain yang dimuktamadkan dalam mesyuarat sama adalah PAS tetap mengutamakan konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional dalam setiap langkah dan pendirian politik PAS.

“PAS amat optimis pendekatan penyatuan ummah tersebut boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputra kerana ia adalah formula paling berkesan serta diterima oleh majoriti rakyat Malaysia.

“PAS secara tegas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan mahupun mana-mana parti komponennya dalam menghadapi PRU15, termasuklah cadangan konsep ‘khemah besar’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Kota Bharu itu, kerajaan negeri yang diteraju PAS juga tidak akan membubarkan Dewan-Dewan Undangan Negeri masing-masing lebih awal dari bulan Mac tahun hadapan.

Katanya, tindakan itu dibuat atas dasar pertimbangan untuk memberi penumpuan yang lebih perlu kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat terutama dalam bidang perekonomian selain dari kesihatan.

Selain itu katanya, PAS juga mengambil pendekatan bersikap terbuka dalam mencari formula terbaik bagi mewujudkan kerjasama politik dengan pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU15.

Keputusan itu kata Takiyuddin diambil oleh PAS demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

“Perkara-perkara di atas akan turut diberikan tumpuan semasa Muktamar Tahunan PAS Ke-68 yang akan diadakan di Alor Setar, Kedah pada 3 dan 4 September 2022,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/8/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: PM umum inisiatif baru dan berita gembira untuk penjawat awam... & PAS tiada kerjasama dengan PH.  

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails