Monday, August 29, 2022

A/Hadi: 28 laporan polis berbaur perkauman.. PAS teruk?

 

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

1. Bukit Aman siasat Hadi Awang

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, susulan kenyataan beliau yang berbaur perkauman berkaitan isu rasuah, baru-baru ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner A Skandaguru, berkata Abdul Hadi akan dipanggil ke Bukit Aman untuk direkodkan keterangan.

Beliau berkata, ia susulan siasatan dijalankan pihaknya berhubung 28 laporan polis yang diterima terhadap Ahli Parlimen Marang itu setakat ini.

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) di Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

"Tan Sri Abdul Hadi Awang akan dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang dibuat," katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, media melaporkan Abdul Hadi dalam satu kenyataan pada minggu lalu, berkata memilih pemimpin yang tidak berintegriti dan mengamalkan rasuah adalah suatu bentuk perbuatan khianat yang akan menghancurkan negara serta dunia

Katanya, pemimpin yang tidak berintegriti akan menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman.

Tambah Abdul Hadi, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan Bumiputera.

Mengulas lanjut, Skandaguru berkata, siasatan masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu proses siasatan PDRM.

"PDRM juga menyeru orang ramai cakna dan prihatin terhadap isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh menggugat keharmonian dalam kalangan masyarakat.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa juga cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya. (BH)


2. PAS paling teruk bab keadilan, nasib baik PH menang? 

MAHKAMAH telah menjatuhkan hukuman ke atas Dato’ Seri Najib Razak. Semua orang menunggu keputusan yang bertahun-tahun dijalankan itu dengan sabar. Sabar dengan kerenah penyokong, peguam dan juga parti beliau. Ramai yang menyatakan kegembiraan dengan keputusan itu. Bagi sesetengah orang, keadilan telah dilaksanakan, mahkamah telah berlaku adil.

Kepada para musuh Najib, mereka bukan sahaja gembira, malah ‘menganjing’, menghina dan berbagai lagi perbuatan, bagaikan mereka sangat bersih, sesuci embun pagi. Sikap melampau dalam menghina sebegini, telah dipamerkan oleh golongan munafik pada zaman Rasulullah dahulu. 

Manakala orang mukmin, menerima nasihat Rasulullah agar tidak menghina tubuh badan si pelaku dosa, tetapi boleh membenci dosa maksiat itu sendiri. Dalam kata lain, jangan melampau. Begitulah nasihat pimpinan PAS kepada ahlinya. Cermatlah ketika dosa orang, Allah hebahkan, kerana dosa dalam kain kita, belum tahu bila akan tersebar. Syukurlah, takutlah kepada Allah.

Di sebalik semua ini, mahkamah kini menjadi mulia oleh pembenci Najib. Mereka mungkin sudah melupakan dakwaan arsenik diletakkan dalam sel penjara Anwar yang mereka cipta dahulu. Sebab mereka melihat sendiri bagaimana Anwar, walaupun telah di’arsenik’kan 20 tahun lalu, masih tetap utuh, gagah berjoget bersama dengan ‘MGR’ jadian sewaktu kempen PRK. Dan ia berlaku bukan sekali. Deyyy anne…!

Manakala wajah manis Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang berlesung pipit ketika tersenyum, menjadi bagaikan wajah hantu langsuir yang mahu menerkam sebahagian penyokong Najib. Sudah terhakis ingatan mereka ketika mahkamah menjatuhkan hukuman kepada Anwar, suatu masa dahulu. Benci sungguh mereka kepada Ketua Hakim ini, bahkan mungkin sistem ‘judiciary’ keseluruhannya.

Maka bermadahlah salah seorang peguam dari PH yang suatu ketika juga pernah menghadapi dakwaan mencabul yang bahawa, benasib baiklah akan sekalian manusia di Malaya ini kerana PH menang. Jadi, katanya, dek kerana itu, maka mahkamah menjadi bersih.

Kita jadi kebingunan dengan dakwaan seorang peguam begitu. Adakah kerana PH menang selama 22 bulan, mahkamah telah berjaya mereka perbaharui? Makanya sistem mahkamah sebelum ini adalah salah dan menyeleweng? Atau ia hanyalah kepada kes-kes terpilih sebagaimana kes membebaskan Lim Guan Eng itu?

Jangan lupa, kes Najib masih ada lagi dan jika beliau dibebaskan untuk salah satu kes itu, maka adakah mahkamah tidak adil semula? Perlu juga disemat dalam ingatan yang kes Lim Guan Eng, masih belum tamat. Kes Syed Saddiq juga sedang berlangsung. Maka, adakah mahkamah tiba-tiba menjadi curang kembali, jika kedua-dua kes ini nanti tidak memihak kepada tertuduh? Tidak lupa kes Teoh Beng Hock yang sehingga PH kalah, masih belum selesai. Keluarga mereka menagih harapan yang diberikan sebelum ini.

Bagi PAS, keadilan bagaikan tiada dalam Malaysia ini dan PAS adalah yang paling teruk dalam keadilan di Malaysia. Manakan tidak, ketika sebelum bersama memerintah Malaysia dahulu, PAS tidak pernah ada kes penyelewengan apa-apa, malah dipelawa agensi kerajaan untuk datang menyiasat. Tetapi saban hari, PAS seperti berada dalam kandang pesalah bagi menjawab pertuduhan fitnah lawan.

Ketika PAS dituduh menerima rasuah RM90 juta dari Umno, PAS berada dalam dua keadaan pemerintahan. SPRM ketika pemerintahan BN mengesahkan tiada kes. Maka marahlah segala makhluk-makhluk itu mendengarnya. Dan sewaktu PH melantik Latheefa Koya menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM, beliau juga menafikannya. Tetap penyokong PH tidak puas hati.

Pemerintahan di semua negeri PAS tidak pernah didakwa atas salah laku walaupun fitnah berkenaan rasuah, balak, berleluasa. Sehinggakan BN, musuh ketat PAS juga, tidak pernah berjaya mencari salah untuk mendakwa PAS melanggar peraturan pembalakan. Apabila muncul PH sebagai kerajaan, juga sama, tiada satu pun dakwaan yang sebelum ini mereka uar-uarkan, mereka bawa ke mahkamah, walaupun mereka dakwa mahkamah zaman mereka adil.

Semasa PAS diisytiharkan oleh musuh mereka sebagai parti yang membawa ajaran sesat, BN tidak pernah memberikan bukti tuduhan mereka di mahkamah sebagaimana mereka lakukan kepada al-Arqam. Dan PH yang dikatakan sangat adil itu, walaupun benci teramat sangat kepada PAS, mereka juga gagal membawa ajaran sesat PAS ini ke mahkamah.

Jadi jelas, PAS adalah parti yang paling teruk keadilan yang diberikan kepada mereka. Walau jelas tidak bersalah, tetapi tetap mereka fitnah, caci, cerca dan hina. Tiada bukti, mereka ada-adakan. Kerana apa? Kerana PAS membawa jalan Islam. Ya, walau masih kurang sempurna, tetapi ia jauh lebih baik daripada semua parti yang ada.

Apabila sakit, masing-masing mencari PAS. Dan apabila senang, PAS mahu ditinggalkan. Sikap PAS pula, seteruk mana rakannya, jika ada membawa kebaikan kepada Islam, PAS akan bersama mereka, bantu, tanpa mengkhianati atau menyusahkan mereka. Terbukti dengan pengakuan Perdana Menteri dalam satu video mengenai sikap PAS yang tidak menyusahkan rakan.

Di sisi Islam, adil itu adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul. Dipanggil zalim jika meletakkan songkok di kaki kerana bukan tempatnya. Jika hanya begitu sudah dipanggil zalim, bagaimana pula jika tidak mahu meletakkan Islam pada tempatnya? PAS bergerak perlahan-lahan kena fitnah, PAS bergerak laju dikata gopoh pula. Sedang PAS meletakkan sesuatu itu dengan ilmu, pada tempatnya.

Sungguh, nasib baik PH menang 22 bulan sebagaimana kata peguam PH itu. Kalau tidak orang akan masih percaya PAS ini sebagaimana fitnah yang direka musuhnya. Jelas sekarang, musuh sendiri gagal mendakwa PAS. PAS memang paling teruk diberikan keadilan, tetapi Allah Maha Adil, Dia tahu PAS bukan sebagaimana perkataan fitnah yang musuh ciptakan, maka Allah berikan semua menang PRU, jadi kerajaan, tetapi PAS tetap tidak bersalah. Alhamdulillah ya Allah, alhamdulillah.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 25/8/2022



Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails