Wednesday, August 31, 2022

Azalina lepas jawatan, 'borang Umno'? Jenis apa?

 

Datuk Seri Azalina Othman Said.

1. Azalina lepas jawatan Penasihat Undang-Undang PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini, meletak jawatan sebagai Penasihat Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri.

Perkembangan itu disahkan sumber dalaman di Pejabat Perdana Menteri, dipercayai mempunyai kaitan dengan isu kritikan Ahli Parlimen Pengerang itu terhadap badan kehakiman.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sudah menerima peletakan jawatan Azalina hari ini. Ia ada kaitan dengan isu kritikan (terhadap badan kehakiman)," katanya ringkas kepada BH, malam ini. 

Sabtu lalu, Azalina dilapor menyampaikan ucapan penuh semangat berkaitan pelantikan Peguam Negara (AG) sewaktu program Taklimat Khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. 

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menjelaskan, pelantikan AG adalah atas nasihat Perdana Menteri, maka dia harus melantik 'orang dia' untuk mudahkan segala urusan.

"Pelantikan AG adalah atas nasihat PM dan PM harus melantik 'orang dia' sebagai peguam negara untuk mudahkan segala urusan.

"Jika kuasa penukaran AG di tangan PM, mengapa PM tidak menukarkan AG, malah ia adalah bidang kuasa PM. Saya nak tanya satu sahaja, takkan nak tukar AG pun tak boleh," katanya.

Kenyataan itu mengundang pelbagai kritikan kerana dianggap memberi bayangan institusi pendakwaan negara dipengaruhi dan dikawal secara jelas oleh seorang Perdana Menteri.

Azalina dilantik Penasihat Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri pada 2 Oktober 2021, selepas meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 23 Ogos tahun sama.

BH masih berusaha mendapatkan komen Azalina mengenai peletakan jawatan itu.


2. Patut Azalina suruh Peguam Negara isi borang Umno  


UMNO adalah parti yang paling adil hanya untuk Umno. Umno adalah parti yang paling zalim bagi orang yang tak isi borang Umno.

Ini adalah kesimpulan yang boleh saya gambarkan jika lebih ramai atau majoriti ahli Umno berfikiran seperti Dato Seri Azalina Othman Said ketika mana seolah-olah mencadangkan Peguam Negara perlu ikut Umno dalam ucapannya dalam Program Taklimat Khas Presiden Umno, 27 Ogos 2022 lepas.

Beliau memberi perumpamaan seperti ketika mana beliau jadi Ketua Bahagian, maka Setiausaha dan Ketua Penerangan adalah orang beliau pilih dan perlu ikut telunjuk beliau.

Begitulah dangkalnya perumpamaan yang dibuat dan korupnya akal dan hati, apabila seolah-olah mahu memilik Umnokan pegawai kanan tertinggi kerajaan. 

Negara sebagaimanakah yang mahu kita bentuk jika idea autokratik yang diucapkan dalam Pertemuan Khas Umno beberapa hari lepas terus dominan menguasai. 

Pemikiran yang disebarkan oleh Dato Seri Azalina seolah-olah menganggap segala-gala perkakas dalam sistem berkerajaan di Malaysia ini hak milik Umno. 

Ini adalah sikap membawa kepada aksi melampau dan sewenang-wenangnya menyalahkan guna kuasa demi kepentingan Umno namun merosakkan keluhuran negara berdaulat milik bersama rakyat Malaysia.

Seorang sarjana sains politik yang juga ahli falsafah Perancis, Montesquieu memperkenal Teori Doktrin Pengasingan kuasa menyatakan bahawa jika ketiga-tiga kuasa itu dipegang oleh orang yang sama, maka akan wujud pemerintahan diktator dan pemerintahan sewenang-wenangnya akan berlaku.

Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang mengangkat doktrin pengasingan kuasa bagi menjamin keadilan untuk semua rakyat dan berteraskan sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan. 

Malaysia telah melalui proses ke arah kematangan demokrasi yang mengimbangi kuasa Badan Pentadbiran (Executive), Badan Perundangan (Legislative) dan Badan Kehakiman (Judiciary) di bawah yang Ketua Negara ke bawah DYMM Yang di-Pertuan Agong.

Ketika mana Dato Seri Azalina mengungkap seruan tersebut apakah beliau ingat DYMM Yang di-Pertuan Agong buta, pekak dan kaku serta akan membiarkan Umno sewenang-wenangnya melakukan apa-apa sahaja demi gelodak nafsu buas Umno versi beliau.

Walaupun kedengaran sorakan kuat dalam kalangan penyokong-penyokong beliau, namun keangkuhan tanpa muhasabah ini kelak bakal diajar oleh pengundi-pengundi rakyat Malaysia yang tidak rela membiarkan diri diperbudak.

Undi-undi majoriti rakyat Malaysia bakal mengajar keangkuhan yang disemarakkan dan akan membimbangkan sebahagian besar pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Umno yang masih tersisa ketulusan hati dan kewibawaan dalam memimpin.

Dato Seri Azalina dan penyokong-penyokongnya, seolah-olah lupa bahawa Umno kini tak segagah dulu kerana kesedaran rakyat menolak Umno kerana sikap angkuh, lupa diri yang sewenang-wenangnya tanpa rasa malu dan bersalah menyalahkan gunakan kuasa setelah diberi amanah memimpin negara sejak sekian lama.

Melihat kepada seruan rakus yang tak menghormati garis dan batas sempadan  pengasingan kuasa 3 badan utama sistem pemerintahan negara ini, maka Azalina dan mana-mana penyokong Umno yang bersama dengannya telah menjadi sangat hodoh di mata masyarakat pengundi atas pagar. 

Mungkin Umno berasa terlalu selesa dengan pengundi tegar mereka setelah mereka sangka koalisi parti lain masih belum kukuh. Mereka hanya mampu menilai secara sekilas dan berada di zon selesa dengan kemenangan Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor.

Ingat! Apabila sikap tak amanah serta khianat dan mahu merampas hak negara untuk supaya mengikut nafsu parti semata-mata, Maka tak ada sebab lagi untuk terus memberi undi kepada Umno kalaulah begini caranya. 

Pengundi-pengundi atas pagar akan mengajar Umno dengan kuasa memangkah kelak. Setelah kitaran korupsi wang bagaikan anai-anai merosak Umno selama ini , kita lihat pula sejauh mana korupsi pemikiran politik bermaruah bakal membenamkan untuk kali ke seterusnya. 

Kepada Dato Seri Azalina, teruskanlah angkuh, kalau betul-betul gedebe dan anak jantan paksalah Peguam Negara isi borang Umno!

Kita lihat kuasa undi rakyat Malaysia kelak akan menunjukkan siapa yang benar-benar jantan sejati!

ZIKRULLAH ISMAIL
Darulnaim Research Centre
30 Ogos 2022 – HARAKAHDAILY 30/8/2022


3. Peguam Negara jenis apa yang Azalina mahukan 

DATO’ Sri Azalina Othman Said telah mengeluarkan kenyataan yang mampu melunturkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan di Malaysia.

Dengan memberi gambaran bahawa seseorang Perdana Menteri sepatutnya melantik Peguam Negara dari kalangan ‘orang dia’, seolah-olah Azalina ingin membawa satu konsep keadilan di mana Peguam Negara akan membuat keputusan mengikut telunjuk si penguasa politik.

Ini satu usaha buruk untuk merompak keadilan negara di siang hari tanpa rasa malu. Peguam Negara sepatutnya bebas dari mana-mana campur tangan politik, supaya sang penguasa yang bersalah, dapat dibawa ke muka pengadilan. 

Sejarah Peguam Negara di Malaysia

Untuk lebih memahami soal ‘kebebasan Peguam Negara’, penting untuk kita mengetahui sejarah mengenai kuasa Peguam Negara di negara kita. 

Perkara yang mungkin mengejutkan kita, sebenarnya Perlembagaan Negara kita pernah pada satu ketika dahulu memberikan perlindungan yang amat tinggi kepada Peguam Negara dalam menjalankan pendakwaan di mahkamah.

Perkara ini dicapai melalui dua perkara utama: 1) pelantikan dan 2) pemecatan.

Dalam soal pelantikan, pemilihan calon untuk menjadi Peguam Negara dilakukan oleh satu badan bebas yang dikenali sebagai ‘Judicial and Legal Service Commission’. Ahli politik tidak ada kuasa dalam menentukan siapa yang akan menjadi Peguam Negara.

Manakala dalam soal pemecatan, Peguam Negara hanya boleh dipecat dengan melalui proses yang sama dengan pemecatan Hakim di Mahkamah Persekutuan. 

Proses pemecatan ini hanya boleh dilakukan dengan membentuk satu tribunal bebas, yang dibarisi oleh sekurang-kurangnya 5 orang hakim, yang akan menyiasat dan memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong. Dan hanya melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong, seseorang Peguam Negara itu boleh dipecat. 

Dua perkara ini menjadikan Peguam Negara ‘tidak terikat’ dengan mana-mana kuasa politik. Bebas untuk melakukan pendakwaan hatta kepada pemimpin paling berkuasa dalam negara. 

Malangnya, dari tahun 1960-1963, beberapa pindaan terhadap Perlembagaan telah dilakukan. Dan antara pindaan tersebut adalah dengan menarik balik perlindungan yang telah diberikan kepada Peguam Negara dari sebarang campur tangan politik. Jawatan Peguam Negara berubah sifat dari non-politikal, menjadi politikal. 

Reformasi di zaman Dato’ Seri Takiyuddin Hassan 

Menyedari kepincangan dalam sistem keadilan negara, Menteri dari PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan semasa menjawat jawatan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), telah memulakan langkah-langkah untuk memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya. 

Beliau bertegas langkah ini penting untuk mengelakkan dari berlakunya percanggahan kepentingan (conflict of interest). 

Azalina bergerak ke belakang

Berpandukan kepada sejarah Perlembagaan dan juga usaha reformasi oleh Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, kenyataan Azalina amat dikesali kerana mengajak Malaysia berundur ke belakang dalam soal kebebasan pendakwaan di Malaysia. 

Janganlah hanya kerana pemimpin parti sendiri didakwa dan disabit bersalah, sampai tergamak menggadai prinsip keadilan di negara kita.

Azalina berulang kali menyebut ‘lawan tetap lawan’ dalam ucapannya. Suka saya balas dengan serangkap pantun:

Pemimpin yang asyik di awang-awangan,
Merasa diri kluster kayangan,
Angkuh menyeru ‘lawan tetap lawan’,
Malangnya takut kepada pendakwaan.  

MUHAMMAD NABIL ZULKIFLI 
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 30/8/2022

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails