Friday, July 01, 2022

Mat Kilau filem ‘amal jariah’, pawagam, politik.& RM23 juta.

 

HALAMAN HIBURAN

1. Menteri Agama contohkan Mat Kilau sebagai filem ‘amal jariah’

RATA-rata anak seni merasa bangga dengan naskhah terbaru karya Syamsul Yusof biarpun bukan semua artis tanah air terlibat dalam filem ‘box office‘ ini. 

Apatah lagi para pelakon yang membintangi filem itu sendiri, justeru secara tiba-tiba dalam minggu ini semua mata dan lensa kamera menyorot kelibat dan wajah mereka di mana sahaja.

Setelah sekian lama industri filem tanah air tidak bergegar sebegini, akhirnya pasca 2 tahun lebih pandemik, filem Mat Kilau menjadi kebanggaan semua. Tahniah pada penerbit, tim produksi, pengarah, pelakon, FINAS dan semuanya.

Tidak terkecuali adalah Menteri Agama, YB Datuk Ustaz Haji Idris Haji Ahmad yang menambah ceria, mengelola pertemuan yang amat bagus pada hari ini bersama pasukan Studio Kembara, penerbit Mat Kilau ke pejabatnya. Tanpa usaha gigih dan kesungguhan mereka, ‘the million dollar film’ sudah pasti sukar dijayakan.

Hari ini sudah lebih daripada RM20 juta nilai kutipannya. Ia jauh meninggalkan filem dan genre Eropah, Korea dan filem tempatan lainnya. Ia menerobos minat dan rasa ingin menonton dalam jiwa setiap rakyat negara kita. 

Biarpun ada yang pulang bercerita kepada sahabat handai, tetapi ia sedikit pun tidak menjadi ‘spoiler’ seperti filem Barat sebelum ini. Masing-masing yang mendengar kehebatan cerita ini, akan juga menontonnya dengan asyik.

Ustaz Idris Ahmad turut berharap agar Mat Kilau menjadi contoh dalam industri perfileman negara di mana menurutnya filem yang baik, akan menjadi amal jariah kepada penerbit, pengarah filem, pelakon serta krew produksi dan seluruh terlibat. Itu asasnya.

Pujiannya itu mungkin tidak menjadi ‘headline’ kepada mana-mana media, tetapi ia cukup besar bagi setiap diri yang memahami tujuan penciptaannya sebagai hamba Allah S.W.T. Segala di dunia ini nantinya ada ganjaran atau pembalasan di akhirat menentukan hidup di negeri abadi.

Pada yang tidak dipuji, diam itu terserah pada tafsiran menurut ilmu bersandar al-Quran dan as-Sunnah. Tapi jika ada yang ditegur menjelaskan larangan dan tegahan, nasihat itu usah pula diingkari. Kerana jika difahami, tentu di sana ada ‘maksiat jariah’ untuk dijauhi.

Khalayak penonton termasuk YB Menteri sendiri mengakui Mat Kilau telah membangkit semangat jati diri Islam. Ia menyajikan unsur-unsur nasihat, ikatan ukhuwah serta persaudaraan, persahabatan yang kuat dan membawa mesej dakwah kepada masyarakat.

Kehadiran Tuan Haji Abdul Rahman Mat Dali, Pengarah Urusan Studio Kembara dan seluruh teman-teman selaku penerbit filem Mat Kilau ke pejabat YB Menteri adalah suatu permulaan yang amat baik dan boleh dicontohi oleh para penerbit yang lainnya.

Sudah pasti banyak perbincangan dan sumbang saran yang mampu terjana antara pihak kerajaan dan penghasil karya seni dalam negara jika hubungan mesra dan strategik ini terjalin sentiasa.

YB Ustaz Idris juga dalam hantaran Facebook beliau usai pertemuan dengan penerbit, mengucapkan tahniah buat Saudara Syamsul Yusof selaku pengarah, seluruh barisan pelakon dan warga produksi filem Mat Kilau. Sehingga kini para warganet banyak memuji karya seni yang diarahkan oleh Syamsul yang sentiasa tidak mengecewakan peminat.

Satu berita gembira juga disebut oleh YB Menteri iaitu pemakluman bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menganjurkan Majlis Anugerah Media Islam pada Januari 2023. JAKIM telah dipilih untuk menjadi sekretariat bagi majlis penyampaian anugerah ini yang akan mengiktiraf karya-karya kreatif berunsurkan Islam.

Justeru, dengan sokongan dan semangat yang diberikan oleh kerajaan ini, para penerbit, pengarah dan anak seni diharapkan terus menghasilkan naskhah yang baik serta bermanfaat kepada masyarakat dan umat Islam. 

Biar kita yang mulakan. Hasil seni itu biar mampu menjentik hati dan sanubari umat. Di situ mahalnya karya kita nanti.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 30/6/2022 

2. Ada banyak alternatif bagi pawagam – Mohd Amar  

KUALA LUMPUR
: Tanpa PAS mengadakan dasar untuk tidak membuka pawagam di Kelantan, hakikatnya telah banyak pawagam di seluruh negara ditutup berikutan hiburan seumpama boleh didapati menerusi pelbagai pilihan pada masa kini.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah menjelaskan, pilihan hiburan tersebut kini banyak tersedia secara meluas sejak dunia semakin terbuka dan beralih kepada digital di mana ianya telah berada di hampir setiap kediaman termasuk di hujung jari.

“(Pawagam) Coliseum sendiri, apa semua tutup. Federal semua tutup sekarang ini. GSC kalau tak silap saya, itu pun sudah berapa banyak yang tutup. Sebab kalau tak ada pawagam pun orang boleh tengok filem.

“Sekarang ini ada pawagam di rumah, Netflix sebagai contohnya. Netflix itu ‘more than cinema’. Kita (tengok di telefon pintar pun boleh). Jadi kenapa kita besarkan isu pawagam ini? Sebab itu bagi saya, benda ini bukan satu isu yang besar.

“Dan kita tidak menghalang orang nak berhibur, nak tengok masuk wayang di mana-mana itu kita tak ada hak nak larang,” ujarnya yang berkeudara pada temubual dalam rancangan Feng Ren Guan bersama Penganalisis Massa, Lum Chih Feng, semalam.

Mempertahankan tindakan Pemuda PAS yang menonton filem Mat Kilau di pawagam, beliau berkata hal tersebut menunjukkan bahawa PAS tidak menyekat hiburan sekiranya ia baik dan boleh diterima yakni tidak bercanggah syariat Islam.

Chih Feng lebih dahulu senada dengan hal itu apabila menyifatkan tindakan Pemuda PAS tersebut merupakan satu bentuk perspektif dan simbol sokongan serta semangat terhadap filem Mat Kilau dan bukannya berkehendakkan kepada hiburan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu turut menegaskan, prinsip sama dipegang di negeri Kelantan di mana ia dilaksanakan menerusi enakmen hiburan sebagai satu bentuk peraturan serta garis panduan dan bukannya menyekat semua hiburan.

Jelas beliau, Kelantan sejak zaman Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi telah berbincang panjang perihal pawagam dengan melihat kepada pro dan kontra serta suasana negeri di mana berpendirian tiada keperluan untuk membenarkannya.

“Di Kelantan, rakyat sendiri tidak bising tentang isu pawagam. Tak ada (isu) bagi mereka. Sebab mereka boleh tengok macam saya sebut tadi dalam Netflix. Netflix ini you boleh tengok semua.

“Jadi kenapa you perlu pergi duduk bayar duit di pawagam apa semua, satu jam dua jam? You duduk rumah sambil makan kuaci pun you boleh tengok. Cuma timbul isu pawagam ini bila ada filem Mat Kilau saja.

“Tiba-tiba, dia ada orang yang ambil kesempatan untuk jadikan isu politik. Kebetulanlah dekat pilihan raya kan?” sindir beliau yang juga ADUN Panchor. – HARAKAHDAILY 30/6/2022

3. Kisah Mat Kilau pun masih dipolitikkan ke atas Kelantan? 
HARI ini apa jua isu negara yang berlegar dalam kalangan rakyat baik secara amnya, mahupun secara khusus di negeri lain, tetapi ada sahaja puak atau kumpulan akan mengaitkannya dengan PAS dan juga Kelantan.

Terbaru, filem Mat Kilau sedang ‘trending’ kini turut dicubitkan juga dengan parti Islam yang mentadbir beberapa buah negeri cuma ia tersorot khasnya kepada Kelantan. Bagi kami, terima kasih ada yang mahu jadikan Kelantan sebagai ‘pembaris’.

Filem epik pahlawan Melayu ini ditayangkan hampir serentak dengan beberapa filem antarabangsa, antaranya Jurassic World dan Top Gun Maverick. Akan tetapi jumlah kutipan hari keempat semalam seperti diumumkan GSC Cinemas telah mencapai RM12.2 juta. Ia mengatasi semua filem tempatan lain dan juga Hollywood berkenaan.

Tahniah dan syabas kita ucapkan kepada Pengarah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan iaitu Syamsul Yusof yang telah berjaya dalam memaparkan hasil seni dan karya kreatifnya ke layar perak, sekali gus mengangkat sejarah perjuangan tokoh itu.

Diharap, pihak Kerajaan Persekutuan sedia menambah peruntukkan menerusi Belanjawan Malaysia kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) untuk disalurkan kepada industri filem dan seni kreatif serta para pengkarya untuk menghasilkan lebih banyak genre patriotisme.

Kejayaan filem ini, selain premis asas wataknya iaitu nama besar Mat Kilau itu sendiri, ia juga disusun dengan plot dan jalan cerita yang cukup menarik, menyentuh jiwa dan emosi penonton. Selain dibarisi juga oleh pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhan, Johan As’ari dan ramai lagi.

Pendek kata, bermula dengan skrip bagus, plot dan jalan cerita bijak, pengarah kompeten, barisan pelakon tersohor, ‘marketing’ yang bagus serta semuanyalah. Ia pakej yang meruntun perasaan rakyat negara ini untuk menyaksikannya.

Luahan itu dibuktikan antaranya kehadiran para penonton ke pawagam membawa roh dan semangat kepahlawanan biarpun secara penampilan busana Melayu, tanjak, keris dan aksesori berkaitan.

Seiring itu juga, kejayaan filem epik ini pada hari pertamanya ditayangkan, turut ditambah dengan rencah politik para politikus yang terserlah kebuluran isu.

Ia bermula dengan tiba-tiba sahaja apabila Ketua Pemuda PAS Malaysia membuat hantaran di Facebook akan kehadirannya ke pawagam untuk turut sama berkongsi keterujaan rakyat Malaysia dalam menyaksikan filem sejarah agung ini.

Terus sahaja musuh politik PAS menimbulkan persoalan kenapa masuk pawagam sedangkan di Kelantan tidak diwujudkan pun pawagam sebegitu? Mereka menerobos ‘terowong masa’ kembali ke beberapa tahun dahulu mengenai cadangan membuka pawagam di Kelantan.

Ya, Ketua Pemuda PAS melontar pandangan tersebut kerana tiada keperluan untuk Kelantan kepada pawagam dalam realiti di negeri ini sudah sarat dengan kebudayaan dan seni serta aktiviti sektor ini yang subur dalam kalangan penggeraknya.

Beliau tidak menghukum haram atau membantah halang, malah tidak juga terhadap premis sedia ada di negeri lain. Sedang perbahasan mengenai hukum-hukum berkaitan, telah banyak diterang oleh pelbagai pihak.

Harus, halal, haram bukan hanya untuk Kelantan

Jawapannya mudah sahaja bagi yang mahu memahami, iaitu tidak semua perkara halal perlu dibuat di Kelantan, tetapi jangan sekali-kali ada perkara haram mahu dibuat di negeri ini. Ini prinsip bagi negeri Serambi Makkah ini.

Maksudnya, jika ada perkara yang harus hukumnya di sisi syarak, ia tak bermakna Kelantan wajib buat. Tuntutan halal memang banyak, tetapi bukan semua ada di negeri Kelantan. Namun, kenapa tidak ditanya juga kepada mereka yang mempertikai itu, mengapa tuntutan seumpama tidak cuba diadaptasi di negeri lain?

Itupun jika kita bicara mengenai tuntutan-tuntutan halal. Kalau perkara yang syubhah? Benda yang dikaburi akan duduk sifatnya? Atau yang terang nyata haram? Mana suara pertikaian menghalang atau mencegah mungkar itu?

Ia perbahasan yang luas, namun mesti diletak hukum itu mengikut keadilan neraca agama, bukan kesempitan sentimen. Jika wujud mereka yang marah pada PAS kerana tidak wujudkan pawagam di Kelantan, kenapa tidak pula mereka puji pawagam yang sedang menayangkan filem-filem tertentu itu di Terengganu dan Kedah sebagai misalnya?

PAS yang memerintah dua negeri lainnya, adalah PAS yang sama juga memerintah Kelantan. Dasarnya sama, akidah perjuangannya serupa, panduan mereka adalah al-Quran dan as-Sunnah yang dipimpin ulamak memadu ijmak dan qiyas.

Cuma perlukah perkara yang ada di Kedah kena ada di Kelantan? Perkara yang wujud di Kelantan pula wajib ada di Terengganu biarpun semua mereka ini ditadbir PAS? Sudah pasti tidak bukan?

Ada negeri yang PAS tadbir menetapkan sekian-sekian syarat kepada operator pawagam. Perubahan berlaku secara berfasa-fasa untuk difahami dan dituruti rakyat. Begitu dan begini agar ia sentiasa terpandu dengan agama, patuh syariah.

Kelantan juga menerima banyak prospek pemaju yang menyatakan minat serta sanggup mematuhi apa jua syarat Kelantan tetapkan dalam kerangka patuh syariah. Mereka wujud dan bersedia.

Tetapi Kerajaan Negeri ambil keputusan untuk tidak membuka semula pawagam di negeri ini. Walaupun mereka patuh syariah, pendek katanya halal, tetapi tak membawa maksud Kelantan perlu mengadakannya. Kita sudah pilih untuk tidak mahu, sedang ‘pilihan lain’ atau pergi memasuki pawagam di negeri lain tidak di halang.

Ada yang mempersoalkan ramainya anak Kelantan ke Terengganu dan juga Kuala Lumpur untuk menonton filem, ya silakan. Tidak ada apa-apa halangan. Pilihlah filem dan cerita yang bermanfaat dan tidak membawa kepada kelalaian, serta menjauhi sebarang tingkah laku dilarang agama. Itu sahaja asasnya.

Tidak berbangkit isu Ketua Pemuda PAS terlupa atau tidak berpendirian, tetapi menunjukkan betapa sesuatu itu mesti diletakkan pada tempatnya dengan mengambil kira persekitaran dan masyarakatnya.

Kecuali oleh mereka yang bermata lalat, di mana selama ini terdesak dan ketandusan isu, lalu hal tersebut cepat dihukum sebagai hipokrit. Hakikatnya, mereka mengutip dan menghurung isu secara dangkal dan tidak matang, memanaskan sisi jelik modal politik untuk menyerang reputasi semata-mata.

Kesian mereka ini, jika nanti tersepak batu dan tersadung kaki pun, mereka akan menyalahkan PAS dan Kelantan. Ketika filem Mat Kilau menjulang semula sejarah dan Jurassic World pula mencetus fiksyen sains menghidupkan fosil, mereka ini pula politikus yang bakal ditenggelam menjadi fosil sejarah.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 28/6/2022

4. Mat Kilau kutip RM23 juta

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh tujuh hari tayangan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan berjaya mencatat kutipan lebih RM23 juta.

Sekaligus menjadikan ia filem epik Melayu pertama yang pecah panggung. Rentetan kejayaan itu, ramai penggiat seni tempatan termasuk dalam kalangan penonton mahukan kesinambungan filem Mat Kilau.

Pengarahnya Syamsul Yusof berkata, Mat Kilau 2 akan ada sama seperti kebanyakan filem dihasilkan sebelum ini.

"Filem Mat Kilau 2, setakat ini kalau dari bahagian saya sudah semestinya akan ada. Cuma, perkara ini tak boleh gopoh..."


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Mat Kilau filem ‘amal jariah’, kaitan dengan pawagam Kelantan dan bagaimana di politikkan? Yang penting, hiburan mesti tetap patuh syariah. Allahu Akbar!

Lihat hebatnya PAS..

Hibur Hibur Sikit 
Singapura Melayu punya.. siri 1

Nona Singapura - R.Azmi


A. Ramlie & The Click 4 ~Ole Ole Temasik~. 11,520 views • Feb 8, 2011 • Ole Ole Temasik … Show more. Show more ...
YouTube · nasri kelan · 9 Feb 2011

Ini adalah lagu J Rukimin yang popular pada zaman gemilang pop yeh yeh. Semoga terhibur.
YouTube · MrJohanAmir · 28 Jun 2009

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

1 comment:

Anonymous said...

Mai pakat pakat sokong pas. Satu satunya parti yg kekal istiqamah. Sentiasa melakukan pemutihan. Pimpinan yang menimbulkan keraguan, direhatkan. Dan digantikan dengan yg lain.

Beza dengan parti lain, bukan takat ada kes mahkamah, yg dah dijatuhkan hukum masih dikitar semula. Yg sedang di mahkamah berhempas pulas membuktikan sebagai konspirasi dan fitnah. Alasan untuk duduk di kerusi itu.

Untuk rakyat mempercayai atau meyakini sudah pudar. Pemimpin mahkamah eloklah sedar diri dan kosongkan kerusi untuk orang lain. Jika tidak, selamanya tidak berlaku pemutihan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails