Friday, July 01, 2022

Muslimah ini, ingin jadi jurulatih memanah berkuda..

 

Aksi Atlet Pemanah Berkuda, Erina Emelina Ismail Curi Perhatian, Tangkas Macam Srikandi Islam! - Nona

Sukan memanah berkuda semakin diminati ramai rakyat Malaysia. (FOTO IHSAN FAIZAH LATIFF)

SUKAN

Nur Syahidah tekad jadi jurulatih sukan memanah berkuda

KUALA LUMPUR: Penglibatan wanita dalam sukan memanah berkuda di Malaysia masih didominasi golongan lelaki sehingga menyebabkan kalangan wanita khususnya Muslimah kurang selesa untuk menceburi bidang ini kerana perlu menjalani latihan dengan jurulatih lelaki.

Sehubungan itu, Nur Syahidah Mizan, 32, berkata, dia berazam ingin menjadi menjadi jurulatih memanah berkuda wanita, seterusnya dapat memberikan sumbangan kepada golongan Muslimah bagi memudahkan urusan dari segi pergaulan dan keselesaan dalam menjayakan sukan ekstrem itu.

“Sebelum ini, saya menyertai pertandingan Liga Memanah Berkuda (LMB) Malaysia 2022, di Cape Cavallho, Rembau, Negeri Sembilan dan muncul sebagai satu-satunya peserta yang memakai niqab, yang mana saya merupakan antara empat  orang peserta perempuan daripada 30 orang peserta lelaki.

“Pada masa akan datang, saya akan menyertai karnival yang julung-julung kali diadakan pertandingan memanah berkuda,” ujarnya ketika ditemui HarakahDaily di sini, hari ini.  

Nur Syahidah (kanan) dan ibunya, Faizah sama-sama mempunyai minat dan azam yang kuat dalam bidang sukan memanah berkuda. (FOTO HARAKAHDAILY/JAMAL KEMALA)

Menurutnya, dia akan terus berusaha dan mengembangkan lagi bakatnya untuk terus mara ke hadapan dalam sukan memanah berkuda kerana ia merupakan antara sukan sunnah yang dianjurkan Rasulullah SAW.

Nur Syahidah yang merupakan graduan Ijazah dalam bidang Fiqh wa Usul di Universiti Mu’tah, Jordan berkata, sepanjang penglibatannya dalam sukan memanah berkuda, masih tiada lagi halangan untuk mana-mana  individu menutup aurat berbanding sukan-sukan lain dan dia menyarankan agar sesiapa yang menyertai sukan ini  meneruskan pemakaian Muslimah.

Katanya lagi, setiap perkara yang dilakukan mestilah mempunyai matlamat dan azam, justeru dia meletakkan matlamat untuk menjadi jurulatih memanah berkuda pada suatu hari nanti.  

Sukan ekstrem ini memerlukan samangat yang jitu, azam yang kuat dan paling penting ikatan jalinan dengan kuda agar ia selesa untuk ditunggang tanpa mendatangkan risiko bahaya. (FOTO HARAKAHDAILY/JAMAL KEMALA)

Sambil memberikan nasihat kepada individu yang mempunyai minat menceburi sukan ekstrem itu, dia berkata, semua yang berminat bermula dengan tiada pengalaman, jadi tiada masalah bagi individu yang berminat tetapi tidak mempunyai pengalaman dan kekangan.

 “Sama juga seperti saya. Saya sebenarnya takut dengan haiwan. Namun apabila saya mula merasakan ‘feel’ yang sangat seronok apabila menaiki kuda, ia menyebabkan saya terus melibatkan diri dalam sukan memanah ini,” jelasnya yang sebelum ini merupakan seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Tambahnya, bagi mereka yang berminat, boleh terus datang ke mana-mana pusat latihan (atau stable) kuda, dan bersua dengan haiwan ini bagi membiasakan diri atau pun sekadar mengusap badannya bagi menjalinkan ikatan (atau bonding) dengan kuda akan melahirkan rasa keyakinan diri dan ikatan yang rapat dengannya.  

Sukan memanah berkuda di Malaysia ketika ini masih didominasi golongan lelaki. (FOTO IHSAN FAIZAH LATIFF)

Menurut Nur Syuhadah lagi, pendorong utama minatnya dalam sukan memanah berkuda ini ialah ibunya, Faizah Latiff yang juga sangat aktif dalam sukan ekstrem ini  sejak 2013 sehingga sekarang; dan ibunya sering membawanya berlatih dan menyertai pelbagai pertandingan sukan memanah berkuda di serata Malaysia.

Sementara itu Faizah berkata, antara tempat untuk menjalani sesi latihan aktiviti sukan memanah berkuda ini ialah di Rubinga Equestrian Park Gombak; Rahman Putra Equine Centre (RPEC), Sungai Buloh,; MAEPS Rubinga Equestrian Center, Seri Kembangan, dan beberapa tempat lagi yang sesuai untuk aktiviti sukan ini.

Katanya, bukan semua tempat sesuai untuk sukan memanah berkuda ini kerana mengikut jenis-jenis tempat yang bersesuaian kerana ada yang hanya sesuai untuk menunggang kuda dan bukan untuk aktiviti memanah berkuda. 

Latihan memanah amat diperlukan oleh individu sebelum menceburi sukan memanah berkuda. (FOTO DARIPADA VIDEO IHSAN FAIZAH LATIFF)

“Tempat  latihan terbaik bagi saya dan anak saya untuk mengadakan latihan sukan memanah berkuda adalah di Kem Covahole Rembau kerana pelbagai pertandingan-pertandingan peringkat kebangsaan diadakan di situ.

“Ia merupakan tempat yang bagus untuk latihan disebabkan terdapat lebih daripada 50 ekor kuda di situ bagi untuk membiasakan anak saya dengan latihan bagi mengelakkan rasa janggal ketika menunggang kuda,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/6/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Memanah, berenang dan berkuda dalam Islam. 

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-150: MEMANAH, BERENANG DAN BERKUDA

Soalan: Apakah status hadith memanah, berenang dan juga berkuda?

Matan Hadith

  • Daripada Ibn Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda: 

عَلِّمُوا أَبْنَاءَكُمُ السِّبَاحَةَ وَالرَّمْيَ

Maksudnya: “Ajarlah anak kamu berenang dan memanah”. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir (5477)]

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan hadith di atas, kita sering mendengar bahawa antara sukan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW adalah berenang, memanah dan menunggang kuda. Ketiga sukan ini dikatakan ia digolongkan di dalam sunnah Nabi SAW. Selain itu, hadith seperti ini juga diriwayatkan oleh jalur yang lain. Antaranya, Bakar bin Abdillah bin Rabi’ al-Ansari, Jabir bin Abdillah dan Umar bin al-Khattab yang diriwayatkan secara mawquf (tidak sampai kepada Nabi SAW). Untuk itu, kami cuba untuk menjelaskan berkaitan masalah ini:

Hukum Hadith

Antara penilaian ulama’ berkaitan hadith ini:

  • Imam al-Baihaqi menilai salah seorang daripada perawi di dalam jalur Ibn Umar iaitu Ubaid al-Atthar adalah seorang munkar al-Hadith (ditolak hadithnya). [Lihat: Syu’ab al-Iman, 135/11]
  • Imam al-Zahabi mengatakan riwayat perawi bernama Salim bin Amr daripada Ali bin ‘Iyash adalah riwayat yang bathil iaitu melalui jalur Bakar bin Abdillah bin Rabi’ al-Ansari. [Lihat: Mizan al-‘Itidal, 231/2]
  • Imam al-Sakhawi mengatakan sanadnya (jalur Bakar bin Abdillah bin Rabi’ al-Ansari) adalah dhaif tetapi ia mempunyai syawahid. [Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 463/1]
  • Al-Albani menilai hadith ini melalui jalur Bakar bin Abdillah bin Rabi’ al-Ansari sebagai dhaif. Manakala melalui jalur Ibn Umar adalah teramat lemah dan melalui jalur Jabir adalah palsu. [Lihat: Silsilah al-Dhaifah, 334,335 dan 336/8]

Setelah melihat penilain di atas, kami melihat dan cenderung untuk mengatakan bahawa hadith ini adalah teramat lemah (dhaif ). Selain itu juga, terdapat sebuah hadith yang dikatakan bahawa ia daripada Nabi SAW tetapi ia sebenarnya merupakan kata-kata Umar bin al-Khattab RA bukannya hadith Nabi SAW:

عَلِّمُوْا أَوْلَادَكُم الرِّمَايَةَ وَرَكُوْبَ الخَيْلِ وَالسِّبَاحَةَ

Maksudnya: “Ajarlah anak-anak kamu memanah, menunggang kuda dan juga berenang”.

Akan tetapi, di sana terdapat isyarat daripada hadith atau ayat al-Qur’an yang menunjukkan akan kepentingan memanah dan berenang ini.

Walaupun hadith ini dhaif, terdapat isyarat daripada hadith lain yang menunjukkan bahawa Nabi SAW memerintahkan kita agar mempelajari perkara-perkara ini. Antaranya: 

Pertama: Memanah

  • Daripada Salamah bin al-Akwa’ RA berkata:

مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى نَفَرٍ مِنْ أَسْلَمَ يَنْتَضِلُونَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ارْمُوا بَنِي إِسْمَاعِيلَ، فَإِنَّ أَبَاكُمْ كَانَ رَامِيًا ارْمُوا

Maksudnya: “Nabi SAW telah berjalan di hadapan sekumpulan daripada suku Aslam yang sedang berlumba (dalam menunjukkan kemahiran memanah)”. Maka Nabi SAW bersabda: “Panahlah, wahai bani Ismail kerana sesungguhnya nenek moyang kamu adalah ahli dalam memanah maka panahlah”. [Riwayat al-Bukhari (2899) (3373) (3507)]

  • Daripada Uqbah bin Amir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda ketika di atas mimbar:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ [الأنفال: 60]، أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ، أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ، أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ

Maksudnya: “Dan sedialah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah)”. [Riwayat Muslim (1917)]

Berdasarkan dua hadith sahih di atas, menunjukkan saranan daripada Nabi SAW untuk kita semua mempelajari memanah.

Kedua: Berenang

  • Daripada Jabir bin Umair berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ شَيْءٍ لَيْسَ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ فَهُوَ لَهْوٌ وَسَهْوٌ، إِلَّا أَرْبَعَ خِصَالٍ: مَشْيُ الرَّجُلِ بَيْنَ الْغَرَضَيْنِ، وَتَأْدِيبُهُ فَرَسَهُ، وَمُلَاعَبَتُهُ أَهْلَهُ، وَتَعَلُّمُ السِّبَاحَةِ

Maksudnya: “Setiap perkara yang tidak disebut nama Allah SWT adalah sia-sia dan lalai melainkan empat benda: Perjalanan seorang lelaki di antara dua matlamat, seorang yang mengajar kudanya, bermesra dengan isteri dan juga belajar berenang”. [Lihat: Mu’jam al-Awsath (8147)] [Imam al-Haithami di dalam [Majma’ al-Zawaid 269/5] mengatakan bahawa perawi-perawi Thabarani adalah sahih kecuali Abdul Wahab bin Bukht dan dia adalah seorang yang thiqah (dipercayai)]

Hadith di atas menunjukkan bahawa belajar menunggang kuda dan belajar berenang tidak termasuk di dalam perkara yang sia-sia dan juga melalaikan.

Ketiga: Belajar menunggang kuda

  • Daripada ‘Urwah bahawa Nabi SAW bersabda:

الخَيْلُ مَعْقُودٌ فِي نَوَاصِيهَا الخَيْرُ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ

Maksudnya: “Kuda yang tersimpul pada ubun-ubunnya segala kebaikan sehingga hari Kiamat”. [Riwayat al-Bukhari (2850)]

Berdasarkan hadith di atas, ia menunjukkan akan kelebihan yang terdapat pada seekor kuda yang digunakan untuk berjihad di jalan Allah SWT. Selain itu juga, terdapat sebuah hadith di dalam Jami’ al-Tirmizi yang menunjukkan bahawa galakan memanah dan juga berkuda:

  • Daripada Uqbah bin Amir RA bahawa Nabi SAW bersabda:

ارْمُوا وَارْكَبُوا

Maksudnya: “Lemparkanlah (panah) dan tungganglah (kuda)”. [Riwayat al-Tirmizi] [Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan]

Penutup

Kesimpulannya, beriadhah atau bersukan amat penting di dalam kehidupan kita agar menjadi seorang mukmin yang sihat dan kuat. Ini kerana, di dalam sebuah hadith:

  • Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ، خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ

Maksudnya: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi oleh Allah SWT  daripada Mukmin yang lemah”. [Riwayat Muslim (2664)]

Untuk itu, kita memahami bahawa memiliki tubuh badan yang sihat adalah satu sunnah dan tuntutan di dalam agama. Tambahan pula, menembak dan seumpama dengannya boleh dimasukkan ke dalam maksud memanah kerana sifatnya yang hampir sama. Selain itu juga, Nabi SAW tidak menyebut agar kita mempelajari ketiga perkara ini secara khsuus, akan tetapi ia difahami melalui isyarat daripada Baginda SAW akan kepentingannya. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita kesihatan yang baik agar kita dapat melaksanakan ibadah dan ketaatan kepada Allah SWT dengan sebaik-baiknya. Amin.

Wallahua’lam


Hibur Hibur Sikit 
Singapura Melayu punya.. siri 2

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails