Monday, May 16, 2022

Sultan Johor terima laporan pasukan khas kes Batu Puteh

 

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, menerima laporan Pasukan Petugas Khas kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengerusi Pasukan Khas berkenaan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, di Istana Polo, Johor Bahru. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini berkenan menerima laporan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menyemak isu dan tindakan perundangan berhubung kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama Pengerusi Pasukan Petugas Khas berkenaan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, mempersembah laporan itu serta taklimat kepada Sultan Ibrahim di Istana Polo, di sini.

Berangkat sama ke pertemuan itu ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pada 29 Oktober lalu, Kabinet bersetuju membentuk Pasukan Petugas Khas itu susulan keputusan Kerajaan Persekutuan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan semula kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Sultan Ibrahim dilaporkan bertitah, keputusan itu seolah-olah mengaku kalah sebelum memasuki gelanggang di ICJ walaupun ada penemuan bukti baharu yang memihak kepada Malaysia.

"Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil? Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu?" soal baginda dalam satu kenyataan pada tahun lalu.

Pada pertemuan hari ini, Sultan Ibrahim sekali lagi menegaskan kepada Pasukan Petugas Khas bahawa sebab-sebab keputusan kerajaan Dr Mahathir untuk tidak meneruskan semakan semula kes itu di ICJ perlu dijadikan pengetahuan umum.

"Ini adalah soal kedaulatan negeri Johor. Rakyat Johor berhak untuk mengetahui mengapa Kerajaan PH Pakatan Harapan) mengambil keputusan sedemikian," titah baginda. – BERNAMA

Pulau Batu Puteh. - Foto arkib NSTP

Perhatian: No telefon Ibnu Hasyim.com terkini 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails