Monday, May 09, 2022

'Penyatuan ummah lebih besar. Masjid perlahan azan & mesra alam.

 

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

1. 'Penyatuan ummah lebih besar daripada kerjasama politik'

KUALA LUMPUR: PAS kekal berpendirian bahawa penyatuan ummah adalah lebih besar daripada penyatuan politik kepartian atau kerjasama politik dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu melihat keperluan untuk penyatuan dalam kerangka yang ditandatangani menerusi piagam Muafakat Nasional (MN).

"Elok kalau dibaca dan dihayati semula apa yang telah disepakati, waktu itu PAS dan UMNO merasai adanya ancaman kepada masa depan Melayu Islam dan kita berhimpun menentangnya," katanya kepada BH hari ini.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, dalam konteks politik kepartian, setiap pihak boleh membuat apa yang difikir sesuai untuk partinya dan keadaan ini tentu berbeza antara satu kawasan, negeri berbanding lain.

"Selangor, Perak kelihatan berbeza dengan sikap Presiden UMNO , bagaimana pula Pulau Pinang. Apakah sekadar menang sorak, kampung tergadai," katanya.

Tambah beliau, PAS yakin setiap parti mempunyai hala tuju dan strategi masing-masing menjelang PRU akan datang. "Pelbagai andaian juga akan muncul. Kita masih terbuka untuk melihat perkara ini dengan lebih serius.

"Buat masa ini PAS sebahagian komponen Perikatan Nasional (PN) dan akan meneruskan agenda menggesa penyatuan ummah diteruskan.

"Kami yakin cabaran Barisan Nasional ialah PN berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang memberi bayangan mustahil untuk gagasan MN diteruskan jika PAS terus memperlihat sikap 'talam dua muka'.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, UMNO mahu rakan yang setia dalam MN bukan sahaja berdasarkan daripada kenyataan-kenyataan dikeluarkan tetapi menerusi tindakan dan keputusan yang dibuat oleh parti terbabit. (BH)


2. Masjid di Mumbai memperlahankan bunyi azan

Polis berkawal di pintu utama Masjid Jama di Mumbai, India. - Foto REUTERS

MUMBAI: Lebih 900 masjid di barat Mumbai bersetuju memperlahankan laungan azan selepas menerima aduan daripada ahli politik tempatan.

April lalu, pemimpin parti Hindu serantau, Raj Thackeray, menuntut supaya masjid dan semua tempat ibadat lain mematuhi had bunyi yang dibenarkan bagi sebarang kegiatan keagamaan termasuk laungan azan.

Thackeray, yang hanya mempunyai satu kerusi dalam kalangan 288 Ahli Dewan Undangan Negeri, berkata beliau hanya menegaskan pematuhan terhadap keputusan mahkamah berhubung tahap bunyi dan mahu keputusan itu dikuatkuasakan.

"Jika agama adalah urusan peribadi, kenapa umat Islam dibenar menggunakan pembesar suara bagi laungan azan lima kali sehari, sepanjang 365 hari (setahun)?" katanya.

Pemimpin 200 juta umat Islam India melihat tindakan itu, yang kebetulan dibuat ketika sambutan Aidilfitri, sebagai cubaan oleh penganut Hindu untuk mencabar hak beribadat dan mengamalkan agama secara bebas.

Difahamkan, tindakan itu turut mendapat sokongan parti memerintah nasionalis India, Bharatiya Janata Party (BJP), yang dipimpin Perdana Menteri, Narendra Modi.

Beberapa minggu kebelakangan ini juga, seorang pemimpin kanan BJP mula mendesak penyeragaman undang-undang perkahwinan dan warisan harta berdasarkan agama di bawah satu kod sivil, yang dilihat secara khusus menyasarkan umat Islam kerana agama itu membenarkan lelaki mengahwini empat isteri.

Sementara itu di Masjid Jama, khatib utama di masjid terbesar Mumbai, Mohammed Ashfaq Kazi, berkata beliau mematuhi tuntutan Thackeray bagi mengelakkan risiko mencetuskan keganasan antara umat Islam dan Hindu.

Kerajaan mengambil serius inisiatif Thackeray, di mana awal bulan ini, pegawai kanan polis bertemu dengan pemimpin agama termasuk Kazi bagi memastikan bunyi pembesar suara dikecilkan, berikutan bimbang berulangnya rusuhan kaum di Maharashtra, yang dihuni lebih 10 juta penduduk Islam dan 70 juta penduduk Hindu.

Semalam, pihak polis memfailkan kes jenayah terhadap dua lelaki di Mumbai kerana menggunakan pembesar suara bagi melaungkan azan subuh dan memberi amaran kepada pekerja parti Thackeray supaya jangan berkumpul di sekitar masjid.

Pegawai kanan polis Mumbai, VN Patil, berkata pihaknya dalam apa keadaan sekalipun tidak akan membenarkan sesiapa mewujudkan ketegangan perkauman dan perintah mahkamah perlu dihormati. - REUTERS


3. Masjid mesra alam pertama di Perancis 

PARIS, 7 Syawal 1443H, Ahad – Dikenali sebagai masjid mesra alam yang pertama di Perancis, Masjid Besar Massy satu yang unik daripada segi penjimatan tenaga dan penggunaan sumber semula jadi secara cekap.

Masjid yang dibina di Massy, dipinggir selatan Paris, menarik perhatian ramai dengan struktur kubah kaca selain menara masjid yang sebahagian besar juga diperbuat menggunakan kaca serta tingkap dari lantai hingga ke siling, menurut Agensi Anadolu.

Dengan dinding penebat dua lapisan, sistem pemanasan bawah lantai dan lampu LED, ia memastikan penggunaan sumber tenaga yang cekap.

Bumbung masjid mempunyai salutan vegetatif menghalang kehilangan tenaga dan haba serta menghasilkan oksigen, tambahnya.

Masjid itu menelan belanja hingga €4.5 juta (U$4.74 juta) keseluruhan dan dibina atas sumbangan umat Islam di Massy dan seluruh Perancis.

Mahmoud Ismail, pengerusi Majlis Umat Islam di Massy, berkata pembinaan masjid itu berdasarkan ajaran Nabi Muhammad 1,400 tahun lalu dan mengambil kira prinsip ekologi dalam al-Quran.
“Nabi Muhammad menggalakkan perlindungan terhadap tumbuh-tumbuhan dan haiwan, serta mengelakkan pembaziran,” kata Ismail.- Bernama

1 comment:

Anonymous said...

Rejim ektremis hindu pimpinan modi bersikap hopokrit dengan mengamalkan double standard dengan mengambil tindakan undang-undang ke atas orang-orang Islam dan memberi amaran sahaja kepada pelampau hindu di india yang mengancam umat Islam.

Bukankah semasa rusuhan gujerat dahulu, polis hindu berpihak kepada pengganas hindu yang telah menyerang dan membunuh umat Islam dan membakar rumah umat Islam ???

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails