Tuesday, May 10, 2022

M'sia model kesatuan ummah, masyarakat majmuk. PRU15, MN terbaik..

 

1. Malaysia model memimpin kesatuan ummah, masyarakat majmuk

KUALA LUMPUR: Pengerusi The World Muslim Communities Council, Dr Ali Rashid Al Nuaimi meletakkan harapan tinggi kepada Kerajaan Malaysia untuk menjadi model memimpin kesatuan ummah khususnya dalam konteks masyarakat majmuk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, perkara itu dinyatakan Dr Ali dalam pertemuan dengan beliau.

Beliau merasa teruja dan gembira menerima jemputan daripada Dr. Ali Rashid Al Nuaimi sebelum selesai Persidangan Antarabangsa “Kesatuan Islam: Konsep, Peluang dan Cabaran” untuk hari pertama yang cukup padat di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Katanya, beliau dan Dr Ali Rashid beramah mesra dan saling bertukar-tukar pandangan.

Tambah Idris, Dr Ali Rashid juga menyampaikan sekalung tahniah di atas ucapan yang beliau sampaikan pada persidangan itu.

“Dr Ali Rashid meletakkan harapan tinggi kepada Kerajaan Malaysia untuk menjadi model memimpin kesatuan ummah khususnya dalam konteks masyarakat majmuk yang menekankan kesederhanaan dan toleransi dalam bermasyarakat.

“Beliau turut mendoakan agar Kerajaan Malaysia terus makmur dan harmoni yang selama ini menjadi rujukan negara umat Islam seluruh dunia. Walau pertemuan ini singkat, namun ia terasa amat berharga,” ujarnya menerusi laman sosial beliau, hari ini. 

Pada hantaran malam tadi, beliau memuatkan mengenai ucapan yang disampaikan dalam persidangan yang dirasmikan oleh Menteri Toleransi dan Kebersamaan UAE, HE Sheikh Nahayan bin Mabarack itu.

Pada hematnya, persidangan itu sangat bertepatan dengan waktunya di mana negara-negara umat Islam dalam keadaan memerlukan para pemikir dan cendekiawan Islam seluruh dunia demi merealisasikan perpaduan dalam kalangan umat Islam.

Dalam ucapannya, beliau menerangkan mengenai konsep “Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera” yang menjadi lambang komitmen kerajaan Malaysia kepada kesatuan dan perpaduan umat.

“Perpaduan adalah kunci kepada keharmonian antara kaum yang menjadi ramuan pembentukan negara Malaysia,” katanya.

Idris juga menyampaikan beberapa saranan antaranya ialah mewujudkan perbincangan yang aktif dalam kalangan negara Islam untuk membina wehdatul fikr dan wehdatul amal.

Di samping itu, ujarnya menggerakkan badan-badan Islam bersama agensi-agensi kerajaan bagi membincang dan mewujudkan Pelan Tindakan Perpaduan Ummah Negara dan Dunia.

“Memastikan perpaduan umat Islam di negara ini sentiasa berpaksikan kepada Islam sebagai agama di sisi Allah

“Mewakili Kerajaan Malaysia, saya mengucap terima kasih atas jemputan ke persidangan ini,” katanya lagi.

Beliau turut memetik ayat al-Quran daripada Surah al-Anfal, ayat 46 yang bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan. Kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati). Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” – HARAKAHDAILY 9/5/2022

2. Muafakat Nasional formula terbaik hadapi PRU15 

KOTA BHARU: Hubungan antara PAS dan Umno di peringkat negeri khususnya di Kelantan dan Terengganu akan diputuskan PAS Pusat.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS masih lagi menganggap konsep penyatuan ummah yang digagaskan parti itu dan Umno melalui Muafakat Nasional (MN) tetap diteruskan.

Katanya, malah ia merupakan formula terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Apa yang difahami PAS berdasar Piagam MN dan penyatuan ummah bukan hanya terhad kepada parti tertentu saja, sebaliknya MN boleh disertai mana-mana parti, NGO atau individu yang mempunyai matlamat ke arah penyatuan ummah,” katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menziarahi bekas jurulatih Kelantan FA, Mohd Hashim Mustapha di kediamannya di Kampung Guchil Bayam.

Umno Kelantan pada awal tahun ini memutuskan hubungan rasmi dengan PAS. Begitu juga Umno Terengganu tidak akan bekerjasama dengan PAS pada PRU15.

Takiyuddin juga berkata, PAS masih lagi berharap penyatuan ummah membabitkan semua pihak terutama parti Melayu-Islam, parti Bumiputera dan bukan Melayu yang tidak ekstrem.

Menurutnya perkara itu acap kali disebut Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Parti-parti yang bersama dalam kerajaan sekarang tiada masalah, di mana kita kerap mengulangi slogan ‘Memperkasakan MN dan Memperkuat Perikatan Nasional (PN)’.

“Kita masih lagi mengharap sesuatu yang terbaik untuk masa depan rakyat di negara ini. Kita juga berharap Umno pun begitu juga,” ujarnya.

Kata beliau juga PAS dan Umno masih boleh berbincang seperti berlaku dalam Kabinet sekarang yang disertai banyak parti.

Oleh itu beliau berkata, tidak mustahil demi kepentingan masa depan negara memerlukan penyatuan dan perkongsian kuasa melibatkan semua etnik, kaum, bangsa dan agama di Malaysia. HARAKAHDAILY 6/5/2022

3. PRU15: PAS bersedia, komited hingga habis penggal 

MARANG: Komitmen PAS hingga habis penggal Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika mahu diadakan PRU15 meskipun telah bersedia pada bila-bila masa sahaja.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, parti itu telah membuat kenyataan sebelum ini mahukan pilihan raya baru hingga habis penggal.

Katanya, kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah akan mengadakan pilihan raya hingga tamat tempoh itu.

“Kita bersedialah, pilihan raya bila-bila masa. Walaupun kita telah buat kenyataan, kerajaan negeri supaya habis penggal pilihan raya ini.

“Ini kerana, rakyat masih dalam keadaan letih, bersama dengan wabak yang belum lagi selesai.

“Jadi lebih baiklah kita beri peluang kepada kerajaan yang ada ini laksanakan tugas dia dalam tempoh yang cukuplah. 

“Jangan sekejap orang ini, sekejap orang ini pula. Pada kita pilihan raya ini kita setujulah tangguh,” ujarnya kepada pemberita di Rusila, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, PAS kini telah menggerakkan seluruh jentera parti di peringkat negeri dan negara bagi persediaan pilihan raya.

“Kita sudah gerak semua jentera-jentera pilihan raya seluruh negeri dan seluruh negara. Cawangan-cawangan kita dan tambah ahli-ahli parti. Kita kaji melalui ‘post-mortem’ tiga pilihan raya negeri (PRN) iaitu di PRN Sabah, Melaka dan Johor,” jelasnya.

Ditanya tentang kerjasama PAS-Umno dalam Muafakat Nasional (MN), katanya setakat ini kerjasama itu masih diteruskan.

Katanya, kerjasama itu penting kerana PAS membawa agenda perpaduan ummah bagi menyatukan umat Islam dan umat manusia.

“Kerjasama ini kita akan lihat perkembangan, sehingga ini kita akan terus dengan kerjasama yang ada pada hari ini.

“PAS membawa agenda perpaduan ummah iaitu umat Islam dan umat manusia. Orang Islam ialah melalui tiga parti besar orang Melayu iaitu Umno, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan PAS.

“Di samping parti Sarawak, dalam yang sama kita mengajak parti-parti bukan Islam yang tidak ekstrem yang boleh diajak berbincang,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berpesan kepada anak-anak muda di perantauan agar peka dengan perkembangan politik semasa.

Katanya, politik adalah kuasa pemerintahan negara yang penting agar tidak terlepas ke tangan orang lain.

“Kesimpulan, supaya mereka peka dengan perkembangan politik. Di samping sibuk-sibuk kerja ini, jangan lupa politik ini penting.

“Khususnya anak-anak muda kerana politik ini kuasa pemerintahan negara. Kalau kita lepas orang lain akan ambil kuasa pemerintahan negara dan akan menyusahkan banyaklah. Jangan kita pandang ringan politik ini,” ujarnya.

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, jatuhnya Palestin kepada Yahudi itu kerana mereka tidak peka tentang politiknya. – HARAKAHDAILY 6/5/2022

1 comment:

Anonymous said...

MN model terbaik dlm situasi politik semasa, ianya sangat digeruni oleh golongan kafir dan mereka yg beridealogi komunis... harap Selangor terus istiqamah dengan MN ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails