Thursday, May 12, 2022

MN: Siapa khianati siapa? -Nik Amar, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin & Muhammad Sanusi.

 

1. Muafakat Nasional siapa khianati siapa – Nik Amar

KOTA BHARU: Ketika peringkat awal penubuhan Muafakat Nasional (MN) tawaran kepada Bersatu untuk menyertai muafakat tersebut turut dipersetujui pemimpin Umno.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, usaha menawarkan Bersatu menyertai kerjasama tersebut bagi membolehkan muafakat tersebut berperanan lebih besar.

Katanya, pada peringkat awal Umno sebagai pengasas bersama MN bersetuju menawarkan kepada Bersatu menyertai kerjasama tersebut.

“Dalam MN PAS dan Umno merupakan pengasas utama. Dan kita mahu pakatan tersebut lebih besar dengan menjemput sama Bersatu.

“Umno setuju menjemput Bersatu untuk joint sama. Ketika itu Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yasin juga sebagai perdana menteri,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Baru-baru ini Presiden Umno Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, kerjasama Umno dan PAS melalui MN perlu dilupakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya parti tersebut memberi ruang secukupnya kepada PAS untuk mempersetujui perkara terkandung dalam Piagam MN, namun tidak disepakati.

Piagam MN yang ditandatangani pada 14 September 2019 antara lain menyebut ‘Membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara’.

Pada 21 Ogos 2020, Ahmad Zahid dilapor mengesahkan Umno dan PAS menjemput Bersatu menyertai MN.

Menurutnya jemputan itu diputuskan pada mesyuarat yang dipengerusi bersama Timbalan Presiden Umno Dato’ Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, baru-baru ini Umno Selangor menjelaskan parti itu akan meneruskan kerjasama dengan PAS.

“Bagaimanapun peliknya Presiden Umno pula memaklumkan tidak mahu meneruskan kerjasama dengan PAS.

“Jadi siapa yang mengkhianati siapa. Malah Umno sendiri pun dilihat masih bercelaru dengan kenyataan yang dikeluarkan memperlihatkan seolah keputusan dibuat presiden secara peribadi dan bukan keputusan yang disepakati parti itu,” katanya.

Sedangkan kata beliau PAS sentiasa terbuka untuk meneruskan kerjasama dengan Umno dalam MN demi perpaduan ummah. – HARAKAHDAILY 11/5/2022

2. PAS tidak akan bersama kelompok pecah amanah  

KUALA LUMPUR: PAS bertegas tidak akan bersama dengan pihak yang terbukti bersalah melakukan tindakan pecah amanah, salah guna kuasa serta mengamalkan rasuah dalam kepimpinan.

Ketua Penerangan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, agenda Penyatuan Ummah yang dibawa PAS tetap akan diteruskan walaupun Presiden Umno, Datuk Seri Zahid menolak penyatuan itu.

“PAS memberi jaminan bahawa PAS akan teruskan agenda penyatuan ummah ini meskipun Presiden Umno menolak secara total agenda penyatuan ini.

“Untuk pemimpin Umno yang masih yakin bahawa PAS dan Umno adalah tawaran terbaik buat rakyat Malaysia, kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan untuk teruskan agenda ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Khairil Nizam, agenda penyatuan Ummah itu merupakan agenda yang perlu dibawa bersama demi kesejahteraan dan kegemilangan Keluarga Malaysia.

Katanya, PAS akan terus dengan prinsip Islam Memimpin, Keadilan untuk Semua, dan Ummah sebagai Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum serta agama yang tidak ekstrim melawan Islam.

Menurut Khairil Nizam, PAS tetap dengan pendirian negara mestilah dipimpin oleh pemimpin Melayu Islam selaku kelompok majoriti dalam usaha membangunkan negara yang adil dan makmur.

“Jurang perpaduan nasional, kesenjangan ekonomi yang ketara antara masyarakat luar bandar dan masyarakat bandar, serta landskap politik negara yang bercelaru adalah antara masalah rakyat yang timbul akibat daripada lemahnya kuasa politik umat Islam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru Khairil Nizam mengajak semua parti Islam dan Melayu duduk semeja dan memikirkan nasib generasi umat Islam di negara ini.

Katanya, seruan itu bagi memastikan nasib umat Islam lebih terpelihara serta dibela dari sudut pendidikan, ekonomi, sosial dan politik berteraskan kepada peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.

Khairil Nizam turut berterima kasih kepada semua pemimpin politik negara yang berjiwa besar serta terus komited dalam agenda Penyatuan Ummah.

Katanya, agenda penyatuan Ummah itu diakui keberkesananya seperti yang dapat lihat di Kedah, Perak, Selangor dan Pahang.

“Semangat kebersamaan ini juga dilihat kukuh diperingkat akar umbi meskipun pada masa yang sama ada segelintir pemimpin yang makin hilang kepercayaan serta telah putus harapan kepada usaha murni ini.

“Tahniah buat semua barisan kepimpinan PAS dan Umno di negeri-negeri tersebut dan juga untuk Perdana Menteri kita yang sentiasa terbuka menyokong penyatuan ummah dalam kalangan umat Islam di Malaysia. – HARAKAHDAILY 11/5/2022

3. PAS tetap komited perkukuh penyatuan ummah 

ALOR SETAR: PAS tetap komited dengan matlamat kesatuan ummah dengan memperkukuhkan politik Melayu dan penyatuan umat Islam.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, PAS akan meneruskan kerjasama Muafakat Nasional (MN) bersama Umno tanpa meninggalkan Perikatan Nasional (PN).

“PAS berpegang kepada keputusan pimpinan tertinggi dan Majlis Syura memperkukuhkan MN dan memperkasakan PN demi politik umat Islam dan Melayu di negara ini,” katanya selepas mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

Menurutnya PAS konsisten bersama PN dan MN dan tidak mempunyai sebarang masalah sama ada dengan Umno atau Bersatu.

Bagaimanapun kata beliau sekiranya Umno mempunyai masalah, mereka perlu menyelesaikannya sendiri.

Baru-baru ini Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada kenyataannya menyifatkan MN perlu dilupakan pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah mengingatkan pihak yang cuba menimbulkan kontroversi untuk mengganggu-gugat MN segera memberhentikan perbuatan tersebut.

“Dalam keadaan umat Islam berdepan dengan pelbagai cabaran di seluruh dunia yang datang dari pelbagai penjuru, ubat yang terbaik ialah memperkukuh perpaduan dan kerjasama.

“PN dan MN mampu memperkukuhkan perpaduan umat Islam dan Melayu di negara ini kerana kedua-duanya mempunyai kepentingan sama,” tambah beliau yang juga Pengerusi PN Kedah. – HARAKAHDAILY 11/5/2022

4.  'Apa masalah PAS ada dalam PN, MN' - Mohd Amar  (BH)

3 comments:

Anonymous said...

Bolehker percaya dengan presiden yg bermasalah. Sanggup gadai negara seperti guru politiknya si abam

Anonymous said...

Apa perkembangan terkini tentang siasatan SPRM terhadap hakim tu, ada siapa2 boleh tolong updatekan progressnya. Setidak2nya sahkan dahulu samada minit mesyuarat sebuah bank terkemuka tu ori atau tidak. Penyiasatan ini dijangkakan mudah dan tidak mengambil masa tapi networkingnya@ jaringannya mungkin melangkaui batas kepada yg lain juga. Apa2 pun jom semua rakyat Malaysia sama2 kira beri kerjasama padu kepada ketua SPRM negara... kah..kah..kah...

Anonymous said...

Orang yang bermoral tinggi pasti akan menolak puak kluster mahkamah dan abang besar roket dan talibarutnya kerana mereka semua didakwa terlibat dalam pelbagai skandal yang sangat merugikan rakyat dan negara.

Sila pastikan mereka semua kalah dalam PRU supaya rakyat dan negara selamat dari pelbagai skandal.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails