Thursday, May 12, 2022

Pelarian, Turki X paksa keluar, contoh terbaik. & kemelut inflasi.

 

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. - Foto REUTERS

1. Erdogan ulangi tidak akan paksa pelarian keluar dari Turki

ANKARA: Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata, Turki tidak akan memaksa pelarian yang diberi perlindungan keluar dari negara itu.

Beliau berkata, mereka yang melarikan diri daripada penganiayaan dan peperangan di Iraq, Syria, atau tempat lain dan mencari perlindungan di negara itu adalah tetamu.

"Jika mereka mahu pulang secara sukarela, mereka boleh pulang, jika tidak, pintu kami akan sentiasa terbuka kepada pelarian.

"Turki tidak akan menghantar mereka ke dalam pelukan pembunuh," katanya semasa mesyuarat ketua wilayah Parti AK Turki, lapor Agensi Anadolu.

Beliau berkata, menjadi tuan rumah kepada mereka yang memerlukan perlindungan adalah sebahagian tradisi Turki.

Erdogan baru-baru ini, mengumumkan rancangan baharu iaitu membina ratusan ribu rumah di utara Syria yang dikuasai pembangkang selain sekolah, hospital dan institusi lain yang diperlukan.

Kira-kira empat juta pelarian Syria kini tinggal di Turki, terbanyak berbanding mana-mana negara di dunia dan beliau menjangkakan rancangan itu akan menarik kira-kira satu juta pelarian untuk kembali secara sukarela ke Syria.

Sejak 2016, tentera Turki juga membersihkan sebahagian besar kawasan daripada kumpulan pengganas bagi menjadikannya selamat untuk penempatan semula. - BERNAMA


2. Erdogan bergelut turunkan inflasi 

Erdogan ketika berucap di majlis pembukaan Sidang Kemuncak Kerjasama Turki-Afrika Ketiga di Istanbul. FOTO AFP

ANKARA: Presiden Recep Tayyip Erdogan memberi jaminan untuk mengekang kadar inflasi yang menjejaskan kuasa membeli warga Turki dan meningkatkan 'tentangannya' terhadap penetapan kadar faedah tinggi.

Erdogan yang menentang pemikiran ekonomi ortodoks sebagai sebahagian daripada pendiriannya dalam 'perang kemerdekaan ekonomi' berkata, kadar faedah tinggi mendorong inflasi.

Beliau berkata, pihaknya juga yakin ekonomi Turki akan terus kekal di landasan sewajarnya berdasarkan pasaran bebas, seperti dilakukan setakat ini.

"Cepat atau lambat, seperti mana kita menurunkan inflasi kepada empat peratus ketika saya berkuasa, kita akan mengurangkannya semula.

"Namun saya tidak akan membenarkan rakyat saya dihancurkan oleh kadar faedah, kita yakin kadar inflasi akan turun secepat mungkin," katanya selepas sidang kemuncak Turki-Afrika yang berakhir kelmarin.

Kali terakhir kadar harga pengguna mencecah sekitar empat peratus adalah pada tahun 2011 namun inflasi terus meningkat sejak tahun 2017.

Di bawah tekanan Erdogan, bank pusat mengurangkan kadar faedah utama sebanyak 500 mata sejak September lalu.

Bank pusat menurunkan kadar faedah sebanyak empat kali minggu lalu walaupun kadar inflasi tahunan mencecah 21.31 peratus pada November, dengan pakar meramalkan kenaikan lagi bulan ini.

Selain itu, pihaknya turut mendakwa Turki berada di bawah 'serangan mengarut' dan mengkritik kehendak Persatuan Perniagaan dan Usahawan Berpengaruh (TUSIAD).

TUSIAD menimbulkan kemarahan Erdogan selepas menyeru kerajaan supaya meninggalkan dasar ekonomi diamalkan ketika ini dan kembali kepada 'peraturan sains ekonomi'.

Erdogan mendesak kadar faedah yang lebih rendah untuk merangsang pertumbuhan dan pengeluaran serta meningkatkan eksport.

Namun mata wang Turki, lira dilaporkan mengalami kejatuhan dengan kehilangan hampir 40 peratus nilai berbanding dolar sejak awal November selain dijangka terus menurun nilainya. - AFP

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Al-hamdulillah, dalam menangani pelarian, Turki menjadi contoh terbaik, tidak memaksa dan menghambat mereka keluar dari Turki, bahkan menyelamatkan dari pelukan pembunuh di negeri sendiri. Tidak seperti kuasa besar AS dan Rusia yang turut menzalimi pelarian.

..Walaupun Turki juga turut bergelut dengan kemelut inflasi, yang juga boleh dinilai sebagai contoh terbaik bagi negara umat Islam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails