Monday, May 09, 2022

Mendarat helikopter beli 36 bungkus 'nasi ganja' -Datuk..

 

Sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh, untuk mengambil tempahan 36 bungkus nasi kandar daripada sebuah restoran terkemuka di Ipoh pada 23 Julai tahun lalu.

Datuk dituduh kes mendaratkan helikopter beli 'nasi ganja'

IPOH: Seorang juruterbang berpangkat Datuk yang didakwa mendaratkan helikopter di Padang Ipoh untuk membeli 36 bungkus 'nasi ganja' pada Julai tahun lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan melanggar Kaedah-Kaedah Udara dalam penerbangan awam.

Datuk Mohamed Raffe K Chekku, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga Pengarah Urusan sebuah syarikat, didakwa melanggar Kaedah-Kaedah Udara seperti yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Penerbangan Awam dalam 'Civil Aviation Directive 2 - Rules of the Air' bawah Chapter (Bab) 3, iaitu tidak mematuhi 'Flight Plan' (Pelan Penerbangan) yang dikemukakan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu apabila membuat pendaratan sebuah pesawat jenis Bell 505 bernombor pendaftaran 9M-RCI di lokasi selain daripada Aerodrome yang dinyatakan dalam 'Flight Plan'.

Tertuduh dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan Padang Ipoh, Jalan Tun Sambanthan, di sini, kira-kira jam 9.50 hingga 10 pagi 23 Julai tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 77(2) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 206(3)(a) Peraturan yang sama.

Jika sabit kesalahan, individu boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jane Sharmila Jesudason, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 29 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Datuk Mohamed Raffe K Chekku (depan) didakwa di Mahkamah Majistret di Ipoh, hari ini. - NSTP/L Manimaran

..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails