Thursday, January 20, 2022

Susuri Gurun Sahara yang diselimuti salji..

 

Fenomena salji yang melanda Ain Sefra di Gurun Sahara pada 18 Januari 2022 merupakan sesuatu yang jarang berlaku di situ. (FOTO Bav Media/Geoff Robinson/Karim Bouchetata)

Ungkap Rahsia Yang Maha Agung 

Gurun Sahara dilitupi salji, bakal kembali hijau

GURUN Sahara yang sebelum ini diwartakan sebagai lokasi yang mempunyai udara paling kering di dunia dengan suhu panas tertinggi pernah dicapai mencecah 58 darjah celcius, kini dilitupi salji.

Penduduk tempatan pada Selasa (18 Jan) dilaporkan terpaksa bergelut semalaman dengan suhu menjunam turun hingga di bawah paras beku -2 darjah celcius dalam fenomena yang jarang berlaku di padang pasir panas terbesar di dunia itu.

Jurugambar profesional, Karim Bouchetata menurut laporan dailymail.co.uk sempat merakam imej salji dan ais yang menakjubkan di bandar Ain Sefra, terletak di barat laut Algeria kelmarin.

Ain Sefra yang juga dikenali sebagai The Gateway to the Desert itu terletak kira-kira 3,000 kaki di atas paras laut dan dikelilingi Pergunungan Atlas.

Julat suhu di bandar tersebut pada kebiasaannya adalah dari 12 darjah celcius pada Januari yang merupakan bulan paling sejuk, dan mencecah hingga ke suhu maksima 40 darjah celcius pada Julai.

Sebagai padang pasir panas terbesar di dunia, Gurun Sahara meliputi sebahagian besar Afrika Utara merangkumi 3,600,000 batu persegi; dan ia merupakan padang pasir ketiga terbesar di bumi selepas Gurun Antartika di Kutub Selatan dan Gurun Arktik di Rusia.

Gurun Sahara merupakan padang pasir panas terbesar di dunia. (FOTO Andrzej Kryzpinjuk/Unsplash)

Biarpun ia merangkumi sebahagian besar bahagian utara Afrika, namun kawasannya tidak termasuk Lembah Nil Sudan dan Mesir, Atlas Mountain, dan kawasan subur di pantai Laut Mediterranean.

Di sebelah selatan, padang pasir berkenaan disempadani Sudan, Sahel dan sabuk sabuk tropika separa gersang yang terletak di sekitar lembah Sungai Nil.

Antisiklon

Bahagian Gurun Sahara dibahagikan kepada beberapa wilayah termasuk Gurun Libya, Gurun Tenere, Air Mountains, gunung Tibesti, gunung Ahaggar pusat, dan Sahara Barat. Gurun itu membentang ke pelbagai negara termasuk Tunisia, Maghribi, Sudan, Niger, Mauritania, Mali, Libya, Mesir, Chad, dan Algeria.

Walaupun secara amnya, ia dilihat sebagai gurun terbesar dan terpanas di dunia, namun Gurun Sahara sebenarnya telah melalui perubahan suhu dan kelembapan sejak beberapa ratus ribu tahun yang lalu.

Seorang kanak-kanak dari pekan Mekalis yang terletak berdekatan Ain Sefra gembira dengan kemunculan salji di gurun panas terbesar di dunia itu. (FOTO SHUTTERSHOCK/BBC)

Salji dan ais merupakan fenomena luar biasa di kawasan padang pasir, tetapi kenapa ia berlaku tidak diketahui sepenuhnya.

Suhu di padang pasir boleh turun secara mendadak dalam sekelip mata tetapi sebarang salji yang muncul biasanya akan cair pada hari berikutnya.

Dalam kes seperti yang terjadi pada  bulan ini di Ain Sefra yang terletak 555 kilometer dari Algiers, ibu kota Algeria, sistem tekanan tinggi udara sejuk telah berpindah ke daratan (padang pasir), menyebabkan suhu menjunam lebih rendah.

Antisiklon sedemikian cenderung untuk sampai sehingga ke Arab Saudi dengan bergerak mengikut arah jam keluar dari Asia Tengah, mengambil lembapan dalam perjalanan yang menyejuk untuk membentuk salji.

Sebahagian kawasan di Arab Saudi terutama di Turaif telah dilanda salji lebat pada 18 Januari 2022. (FOTO NCM/Arab News)

Bulan Januari 2022 dan 2021 menyaksikan salji melanda Gurun Sahara dan Arab Saudi tetapi ia bukan kali pertama bintik-bintik panas yang biasanya melepuh itu diselimuti warna putih salji.

Pada 2018, Ain Sefra dilanda salji buat kali ketiga dalam tempoh 40 tahun. Justeru, fenomena salji itu telah dicatatkan di bandar itu pada 2022, 2021, 2018 dan 2017, dengan salji yang direkodkan di situ paling awal adalah pada 1979.

Suhu di bawah sifar 

Sementara itu, Arab News pada Selasa (18 Jan) melaporkan sebahagian Arab Saudi telah mencatat suhu di bawah sifar, khususnya Turaif yang kini dilanda salji.

Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi dalam ciapan Twitter memaklumkan bahawa suhu terendah telah direkodkan di Turaif yang mencatat suhu terendah sejak awal musim sejuk tahun ini, diikuti di Qurayyat dan Arar.

Turut mencatat suhu di bawah sifar dan kemunculan salji ialah di Tabuk, sebagaimana dimaklumkan Pengarah NCM di wilayah tersebut, Farhan Al-Anzi.

Selain Tabuk, bandar utama lain di wilayah utara seperti Arar, Rafha dan Shaqraa turut mencatat  penurunan suhu di bawah sifar yang menyaksikan salji lebat. 

Klip video merakamkan pemandangan menakjubkan menyaksikan sekumpulan unta berjalan di antara kabus dan salji di Tabuk pada 18 Januari 2022. (FOTO Teller Report)

Sehubungan itu, sistem amaran awal NCM meramalkan penurunan suhu di bawah sifar akan berterusan di kebanyakan bandar di wilayah utara sehingga hujung minggu ini.

Di Riyadh yang merupakan ibu negara Arab Saudi,  ramalan kaji cuaca menjangka berlaku penurunan suhu kepada tiga darjah celcius pada hari ini (Khamis 20 Jan) dan satu darjah menjelang esok, Jumaat (21 Jan).

Sebenarnya di Arab Saudi, fenomena salji lebat sudah berlaku pada Jan 2021 yang menurut laparan MailOnline, berlaku di kawasan pergunungan di wilayah Asir di Arab Saudi berhampiran sempadan Yaman, yang mana ia juga pernah dicatat berlaku sebelum itu, pada April, 2018.

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, salji didapati turut melanda beberapa lokasi lain di Arab Saudi. 

Pemandangan unik salji yang turun di Ain Sefra yang terletak dalam kawasan Gurun Sahara dirakam pada 13 Januari 2021. (Foto Karim Bouchetata/Reuters)

Pada 2020, suhu turun di bawah paras beku di kawasan pergunungan di barat laut negara itu termasuk Tabuk, ketika ribut salji melanda menyebabkan kerajaan negara itu memberi amaran kepada penduduk supaya memastikan mereka berada dalam keadaan bersedia bagi menghadapi cabaran perubahan suhu yang turun mendadak itu. 

Dalam pada itu menurut medium.com, walaupun sangat kering ketika ini, Gurun Sahara dijangka menjadi hijau semula dalam masa kira-kira 15,000 tahun akan datang.

Menurut kajian saintifik, kali terakhir Gurun Sahara merupakan kawasan hijau adalah sekitar 8000 hingga 6000 Sebelum Masihi, di penghujung zaman ais. Ketika itu, Gurun Sahara ditumbuhi rumput hijau yang subur yang menjadi penempatan haiwan-haiwan termasuk zirafah.

Paksi bumi

Walau bagaimanapun, sekarang ini ia adalah gurun panas terbesar di dunia, dan gurun ketiga terbesar secara keseluruhan (selepas Antartika dan Artik) dengan keluasan mencecah 3.6 juta batu persegi.

Selaras dengan pergerakan paksi bumi, Gurun Sahara berubah daripada menjadi padang rumput dan padang pasir setiap 20,000 tahun. 

Kajian saintifik mendapati kali terakhir Gurun Sahara wujud sebagai kawasan hijau adalah sekitar 8,000 hingga 6,000 Sebelum Masihi, ketika di penghujung zaman ais. (FOTO NextBigPicture.com)

Disebabkan paksi bumi tidak tetap di angkasa tetapi ia bergoyang dalam bulatan, ini  mendorong Afrika Utara menjadi lebih dekat dengan matahari pada beberapa musim dan berada dalam kedudukan lebih jauh pada musim lain.

Apabila matahari lebih dekat, hujan lebih kerap turun dan Gurun Sahara ‘berhenti’ daripada menjadi padang pasir.

Penemuan itu adalah hasil kajian terhadap habuk yang dimendapkan jauh ke dalam Lautan Atlantik oleh angin yang bertiup merentasi benua Afrika.

Apabila tanah gersang dan kering, lebih banyak habuk akan didapati. Dan apabila ia adalah padang rumput, terdapat lebih sedikit habuk.

Habuk berkenaan juga menyembunyikan unsur kimia logam radioaktif lemah dikenali sebagai Thorium, satu lagi penanda untuk kehadiran atau ketiadaan padang pasir, khususnya di benua Afrika. – HARAKAHDAILY 20/1/2021

Lihat sebelum ini.. 

E-Buku IH-22: Ungkap Rahsia Yang Maha Agung

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails