Wednesday, January 26, 2022

Filem pendek tel/pintar, baik untuk Pendakwah sasar remaja..

 

Filem Shout It Out papar kisah benar dan perjalanan dilalui ahli sukan karate pekak, Siti Norinsyirah Adawiah yang menjadi peserta perempuan tunggal Kejohanan Karate Pekak Dunia di Tehran, Iran. - Foto Ihsan Hundred Years Popcorn Production

HALAMAN HIBURAN

Rakam filem pendek guna telefon pintar

kUALA LUMPUR: Projek filem pendek kira-kira 10 minit memaparkan kecekalan skuad karate pekak menyertai Kejohanan Karate Pekak Dunia di Tehran, Iran, cukup istimewa berdasarkan jalan cerita dan teknik rakaman menggunakan telefon pintar sepenuhnya, yang kali pertama dilakukan penerbit untuk tayangan umum.

Filem pendek Shout It Our terbitan Hundred Years Popcorn Production Sdn Bhd, mengangkat kisah benar dan perjalanan dilalui ahli sukan karate pekak, Siti Norinsyirah Adawiah yang menjadi peserta perempuan tunggal dalam kejohanan itu, menempuh pelbagai liku hingga meraih pingat gangsa untuk negara.

Penerbit filem Shout It Out, Ong Peng Chu, menempuh pelbagai cabaran dalam menyiapkan filem pendek yang dirakam menggunakan telefon bimbit jenis Vivo X70 Pro.

Biarpun terpaksa melakukan semula kerja penggambaran dari babak pertama akibat kualiti video kurang memuaskan, halangan itu tidak mematahkan semangat kru menyiapkan karya istimewa berkisar perjalanan ditempuhi lapan anggota skuad karate dari Skudai, Johor itu.

"Kami habiskan kira-kira empat hari untuk menyiapkan filem Shout it Out. Namun, ketika menonton kembali rakaman yang sudah dibuat, kami dapati kualiti video kurang memuaskan dan tidak mencapai tahap dimahukan.

"Sebenarnya, kami tidak ada pengalaman menggunakan telefon bimbit untuk 'shooting'. Jadi, pada hari pertama dan kedua penggambaran, kami tidak perasan kualiti video tidak jelas. Sehinggalah apabila sudah hampir selesai 'shooting', barulah kami perasan kekurangan dalam rakaman dibuat.

"Menganggap apa yang mahu disampaikan dalam filem itu tidak tercapai, kami buat keputusan melakukan semula penggambaran dari awal. Kami tidak kisah terpaksa melakukan semula kerja 'shooting'... Apa yang penting, kualiti filem itu mencapai standard dimahukan," katanya kepada BH Online.

Peng Chu berkata, selain melakukan semula kerja penggambaran, mereka terpaksa mencari pelakon baharu disebabkan tawaran yang diberi kepada beberapa individu ditolak berikutan terikat dengan komitmen lain.

Tambahnya, selepas membiasakan diri melakukan kerja rakaman menggunakan telefon pintar, kru produksi berjaya memendekkan kerja 'shooting' kepada tiga hari.

"Kami menggunakan enam telefon bimbit yang dipakai bersilih ganti kerana peranti itu mudah panas. Sebaik telefon pintar panas, kami tukar kepada peranti lain secepat mungkin. Kami juga terpaksa mencari kaedah mengurangkan suhu telefon bimbit itu dengan cepat.

"Sebelum memulakan penggambaran, kami kaji pelbagai maklumat mengenai telefon pintar itu. Apabila sudah kaji dan menggunakan peranti itu, kami berjaya atasi masalah timbul dengan tenang dan beroleh ilmu baharu," katanya.

Peng Chu berkata, penggambaran filem pendek, Shout It Out dilakukan, November lalu.

"Pada peringkat awal kerja penggambaran, kami gunakan khidmat individu yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan.

"Namun, bagi penggambaran semula, kebanyakan pelakon sudah ada pengalaman. Jadi, lakonan mereka lebih bersahaja dan masing-masing berjaya menghayati watak dengan baik," katanya.

Penerbit filem Shout It Out, Ong Peng Chu, menempuh pelbagai cabaran dalam menyiapkan filem pendek yang dirakam menggunakan telefon bimbit. - Foto Ihsan Hundred Years Popcorn Production

Peng Chu berkata, disebabkan filem berkenaan berkisar kanak-kanak pekak, Siti Norinsyirah, khidmat guru pengajar bahasa isyarat kepada pelakon, diambil.

"Filem ini tidak menggunakan khidmat terlalu ramai pelakon. Sebaliknya, hanya tiga pelakon utama dan beberapa pelakon tambahan sahaja yang mengambil bahagian," katanya.

Ditanya apa yang mendorong dia memilih kejayaan atlet karate pekak untuk diketengahkan dalam filem berkenaan, Peng Chu mengaku tertarik kerana Siti Norinsyirah menjadi satu-satunya peserta perempuan dalam kejohanan itu, melalui pembacaannya di portal berita dan akhbar.

"Idea lahir selepas pertemuan dengan syarikat telefon bimbit yang memberitahu hasrat menghasilkan filem pendek. Saban tahun pengeluar telefon pintar itu melancarkan filem pendek.

"Mereka bertanya apakah saya berminat dan mempunyai idea yang ingin diketengahkan. Saya lantas meminta diberi sedikit masa.

"Balik rumah, saya buat sedikit kajian dan tengok apa yang menarik dalam perkembangan semasa dan terbaca mengenai skuad karate pekak negara yang sedang mencari dana untuk perjalanan ke Iran.

"Saya terbaca kisah Siti Norinsyirah dan tertarik kerana dia menjadi satu-satunya wakil perempuan. Biarpun dalam keadaannya yang tidak sempurna, dia ada semangat yang kuat dan bersungguh-sungguh berlatih demi mengharumkan nama negara.

"Sedangkan, kita yang sempurna tidak memiliki semangat sepertinya," katanya.

Peng Chu kemudian mengatur pertemuan dengan keluarga Siti Norinsyirah dan jurulatihnya di Johor untuk mendapatkan 'input' bagi filem pendek berkenaan.

Watak ahli sukan karate pekak yang bercita-cita besar mengharumkan nama negara, Siti Norinsyah dipegang Nurizyan Hishamuddin.

Turut memaparkan kecekalan jurulatih Siti Norinsyah lakonan Seelan Manoheran yang percaya terhadap kebolehan kanak-kanak itu dalam sukan karate.

Diarah Mallory Lee, Shout It Out boleh ditonton melalui saluran Vivo Malaysia.

Komen Weblog Ibnu HasyimFilem pendek telefon pintar adalah alat media baru untuk sampaikan masej kepada masyarakat.  Projek filem pendek 10 minit paparkan kecekalan skuad karate pekak menyertai Kejohanan Karate Pekak Dunia di Tehran, Iran, cukup istimewa dan berjaya sampaikan mesejnya.

Teknik begini amat baik untuk menarik golongan remaja, terutamanya. Pihak pendakwah atau penyampai Islam perlu dibekalkan kemudahan dan latihan ke'profesional'an begini, bagi menambah keberkesanan media kepada anak-anak remaja.

1 comment:

Anonymous said...

Filem pendek berkisar kebajikan tidak disukai oleh parti liberal dan sekutu. Mereka lebih gemar cerita lgbt dan rasuah. Tak caya tanya kartunis liberal junar.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails