Thursday, January 27, 2022

Laku jual durian di Hong Kong. M'sia berpotensi tarik pelabur.

 

Karen berharap usaha memperkenalkan menu Malaysia menerusi perniagaan dapat menjadi perangsang untuk lebih dikenali di Hong Kong. - Foto IG Karen Kong

1. Penyanyi Malaysia 'laku' jual durian di Hong Kong

KUALA LUMPUR: Penyanyi Malaysia berbangsa Cina yang berpangkalan di Hong Kong, Karen Kong, 37, mendedahkan pernah tidak mempunyai pendapatan hingga memaksanya melakukan pelbagai kerja pejabat termasuk menjual durian sejak berhijrah ke negara berkenaan sejak 11 tahun lalu.

Karen yang mendirikan rumah tangga dengan jejaka Hong Kong berkata, dia mengalami kesukaran meneruskan hidupnya dan kerjaya seni ekoran kos sara hidup di Hong Kong yang tinggi.

"Saya mengalami banyak jatuh bangun sepanjang 11 tahun hidup di Hong Kong. Jujurnya, ada yang menggembirakan dan menyedihkan, tetapi saya melalui dengan semangat Malaysia Boleh.

"Ada suatu masa saya pernah tidak mempunyai pendapatan, jadi, saya melakukan pelbagai kerja pejabat untuk mencari wang. Saya sanggup melakukan apa sahaja kerja asalkan ada pendapatan untuk sara diri, membayar bil dan sewa rumah.

"Memang susah nak terima realiti kesusahan ketika itu, tetapi saya tak boleh buat apa-apa. Sewa di sana sangat tinggi, jadi saya buat apa sahaja kerja untuk sara hidup.

"Ketika itu, saya sangat rindukan Malaysia, tetapi perlu banyak bersabar. Tahun lalu, ada berita baik apabila saya menerima anugerah artis paling banyak peningkatan dari sebuah stesen radio

"Saya merasakan kesabaran saya berbaloi. Sekarang, saya bersyukur semuanya beransur baik," katanya kepada BH Online.

Dalam masa sama, Karen berkata, dia gembira apabila bisnes kecil-kecilan, iaitu berniaga durian dari Malaysia mendapat sambutan sangat menggalakkan.

"Saya import durian dari Malaysia, iaitu dari Pahang dan Pulau Pinang. Seperti ramai tahu, tawaran persembahan tiada dan kena cari sumber pendapatan lain kepada pandemik COVID-19. Jadi, saya terfikir ada bagusnya saya menjual durian di Hong Kong.

"Saya terkejut, ia mendapat sambutan sangat memberangsangkan. Orang Hong Kong sangat sukakan durian Malaysia mengalahkan durian dari Thailand. Durian juga ada musimnya, jadi saya akan berniaga pada musim buah," katanya.

Tambah Karen, dia juga mengusahakan perniagaan kafe salon bersama suami dan bersyukur apabila ia berjalan lancar sejak beroperasi tiga bulan lalu.

"Saya dan suami membuka kedai kopi dan salon sejak tiga bulan lalu. Membuka kafe salon adalah impian kami memandangkan suami adalah pereka rambut.

"Jujurnya, sewa kedai sangat tinggi, apatah lagi pada musim pandemik. Peningkatan varian Omicron juga memberi impak pada perniagaan, kami mengalami kerugian dari segi jualan.

"Di Hong Kong, semua kedai perlu ditutup pada jam 6 petang, ia sedikit sebanyak memberi impak kepada banyak perniagaan. Disebabkan itu, saya perlu bekerja lebih keras untuk membantu suami," katanya yang mendirikan rumah tangga sejak empat tahun lalu.

Di kafe salon itu, Karen turut memperkenalkan menu Malaysia iaitu laksa dan berbangga apabila ia menerima banyak komen positif.

"Orang Hong Kong sukakannya dan memuji keaslian laksa dari Malaysia. Saya selalu berkongsi mengenai keistimewaan makanan Malaysia sebab ramai yang tidak tahu dan tidak kenal. Jadi, ini adalah salah satu inisiatif saya.

"Saya juga membuat saluran YouTube sendiri, yang mana saya berkongsi mengenai keistimewaan Malaysia seperti makanan, budaya dan pelbagai lagi.

"Sekarang saya di Malaysia, saya mahu bercuti dan merakamkan lokasi menarik untuk berkongsi bersama pengikut di Hong Kong," katanya.

Karen berharap usahanya menerusi perniagaan dapat menjadikan perangsang buatnya terus mengembangkan kerjaya nyanyian.

Terbaru, Karen baharu mengeluarkan dua single baharu di Hong Kong.

"Saya menyertai program realiti, King Maker 3 dan berjaya mendapat Top 30. Dari situ, saya berjaya bernaung di bawah sebuah syarikat rakaman dan baru mengeluarkan dua single baharu.

"Lega dan rasa berbaloi kerana usaha keras semakin membuahkan hasil dan tidak sia-sia, biarpun lebih 11 tahun menunggu," katanya.

Pada 2007, Karen pernah popular dalam kalangan peminat tempatan selepas melancarkan album Melayu. Lagu popularnya, Cinta Hello Kitty juga berjaya menaikkan namanya di Malaysia.

2. Malaysia negara Asia Tenggara paling berpotensi tarik pelabur selepas kegagalan pemerintahan PH.

Malaysia mengambil langkah untuk melonggarkan sekatan dan menggubal dasar bagi memanfaatkan perkembangan perdagangan - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada kedudukan pertama dalam kalangan negara Asia Tenggara baharu muncul yang paling berpotensi untuk menarik pelabur asing, menurut Indeks Peluang Global Milken Institute 2022.

Berdasarkan indeks itu, Malaysia mendapat kedudukan paling tinggi di rantau itu disebabkan oleh prestasinya yang kukuh merentasi semua kategori yang diukur.

Malaysia, Thailand dan Indonesia menduduki tempat teratas di Asia Tenggara yang baharu muncul, manakala Vietnam dan Filipina melengkapkan lima negara teratas di Asia Tenggara yang baharu muncul, mengikut susunan indeks itu.

Milken Institute berkata, Malaysia yang juga pasaran bon ketiga terbesar di Asia selepas Jepun dan Korea mengambil langkah dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk melonggarkan sekatan dan menggubal dasar bagi memanfaatkan perkembangan perdagangan, sekali gus membantunya meraih tempat pertama dalam indeks tahun ini.

"Dalam laporan tahun ini, kami mengenal pasti beberapa dasar yang akan membantu negara Asia Tenggara yang baharu muncul kekal berdaya saing apabila membabitkan peluang pelaburan.

"Kerajaan di rantau ini mesti mengukuhkan rangka kerja institusi, memperdalamkan integrasi serantau untuk memanfaatkan sumber dan peluang unik bagi setiap negara, selain memaksimumkan impak sosial dengan memanfaatkan aliran modal global untuk memajukan pembangunan," kata Ketua Jabatan Penyelidikan Milken Institute, Claude Lopez.

Penilaian tahunan itu dibuat Milken Institute untuk membantu memaklumkan keputusan pelaburan global pelabur dan pembuat dasar, menilai sebuah landskap pelaburan ekonomi dengan menggunakan pembolehubah seperti prospek ekonomi makro, akses kepada perkhidmatan kewangan, potensi untuk inovasi dan pembangunan masa depan.

Indeks Peluang Global 2022 itu termasuk satu laporan yang memberi tumpuan kepada Asia Tenggara yang baharu muncul, rantau yang mana kemasukan modal boleh membawa kepada peningkatan inovasi, penciptaan peluang pekerjaan dan berdaya saing.

Asia Tenggara yang baharu muncul mendapat markah yang baik berbanding dengan ekonomi baharu muncul dan ekonomi membangun lain dalam tiga bidang utama iaitu prestasi ekonomi yang kukuh; menawarkan tenaga kerja berkelayakan tinggi dan bersepadu teguh dengan ekonomi global.

Bagi membina indeks, Milken Institute menilai peluang pelaburan melalui 100 pembolehubah yang disusun kepada lima kategori dan 14 sub-kategori.

Lima kategori utama termasuk Persepsi Perniagaan; Perkhidmatan Kewangan; Piawaian & Dasar Antarabangsa; Asas Ekonomi dan Rangka Kerja Institusi.

Pembolehubah di dalam kategori itu mengukur semua sudut bagi potensi pelaburan negara, termasuk keterbukaan dan prestasi ekonomi, kekangan perniagaan serta bakat dan kepelbagaian tenaga kerja.

Sumber data termasuk Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Bank untuk Penyelesaian Antarabangsa dan Pertukaran Data Kesihatan Global.

Penemuan utama daripada Indeks Peluang Global 2022 itu termasuk Sweden mengekalkan kedudukan pertama dari 2021 sebagai negara paling berpotensi untuk menarik pelaburan asing, diikuti oleh United Kingdom (UK) di tempat kedua dan Denmark di tempat ketiga.

Amerika Syarikat (AS) jatuh dari tempat ketiga pada 2021 ke tempat kesembilan tahun ini, didorong oleh asas ekonomi dan keadaan kewangan yang lemah.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kalau dia Muslim, berniaga apa pun boleh, di mana saja pun boleh, dengan syarat patuh syariah. Walaupun di peringkat antarabangsa. Insya Allah, al-hamdulillah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails