Wednesday, January 26, 2022

Penyanyi Aishah dianugerah pingat 'Datuk' N/Sembilan.

 

Tuanku Muhriz berkenan mengurniakan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan membawa gelaran Datuk kepada Aishah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan Ke-74. - Foto IG Aishah 

HALAMAN HIBURAN

KUALA LUMPUR: Penyanyi versatil, Datuk Aishah menyifatkan kurniaan diterima adalah satu pengiktirafan berharga sepanjang lebih tiga dekad bergelar pejuang seni.

Ashah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 57, dianugerahkan pingat Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan Ke-74, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Seri Menanti pada Sabtu lalu.

"Jujurnya, saya sangat terharu atas kurniaan pangkat ini. Apabila dikenang semula aturan suka duka perjalanan kerjaya seni, saya tak pernah tidak menitiskan air mata.

"Adat dan lumrah, hidup pasti ada turun naik. Ada yang suka dan sebaliknya.

"Walaupun dunia seni ini sering diperlekehkan, saya percaya keikhlasan menyampaikan mesej dalam lagu sedikit sebanyak mempengaruhi pendengar.

"Kurniaan ini menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang dan berkarya. Sudah tentu status ini dipelihara sebaik mungkin untuk perkara positif dan kerja amal," katanya kepada BH Online.

Mengakui canggung dengan pangkat itu pada mulanya, penyanyi lagu Janji Manismu dan Bahtera Merdeka itu pernah terbit rasa bimbang saat orang memanggilnya menggunakan gelaran itu.

"Setiap kali orang memanggil saya Datuk, secara automatik saya mula menoleh ke belakang kerana berfikiran mereka bercakap dengan orang lain. Takut salah bual.

"Namun, walau apapun gelaran yang dikurniakan, saya masih seperti Aishah yang dahulu. Tiada apa yang dapat mengubahnya. Gelaran ini sebagai satu penghargaan kepada mereka yang lama berkhidmat dalam pelbagai bidang.

"Ia gelaran yang kebiasaannya digunakan pada majlis rasmi, kata ibu kepada Armand Azhari dan Azhad Ahlami ini. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails