Thursday, January 27, 2022

Rasuah, pencabar di M'sia tidak berani seperti di Filipina..

 

Manny Pacquiao. - Foto AGENSI

Pacquiao cabar penjawat awam Filipina isytihar kekayaan

MANILA: Bekas peninju terkemuka, Manny Pacquiao, menyatakan kesediaan mengisytiharkan hartanya dan mencabar semua pegawai untuk mengambil tindakan sama.

Tekad bagi memerangi kegiatan penyelewengan dalam Kerajaan Filipina itu disuarakan Pacquiao sekiranya dilantik sebagai Presiden.

"Saya bekerja keras untuk harta saya. Saya pertaruhkan darah, peluh dan nyawa saya untuk mendapatkannya.

"Semua penjawat awam perlu dedahkan (isytihar harta mereka)," katanya dalam temu bual bersama radio DZBB.

Kenyataan Pacquiao itu dibuat selepas seorang lagi pesaing bagi merebut jawatan presiden, Ferdinand Marcos Jr. sebelum ini dilaporkan berkata beliau akan mengambil pendekatan berhati-hati dalam mengeluarkan penyata asetnya kerana bimbang ia disalahgunakan oleh seteru politik.

Presiden Rodrigo Duterte, yang menerajui tampuk pemerintahan kerajaan dan dikritik oleh Pacquiao kerana didakwa gagal merintis usaha bagi memerangi penyelewengan, tidak mengisytiharkan aset kekayaan kepada awam sejak 2017.

Pacquiao yang juga seorang senator menjadikan perjuangan memerangi rasuah sebagai kempen utama dalam pilihan raya presiden, dengan menyamakan pegawai terbabit rasuah adalah kanser dalam kerajaan.

Beliau turut menzahirkan janji dan tekad untuk memenjarakan kesemua pegawai yang terbabit dengan rasuah.

"Saya ada banyak cara dan strategi untuk memerangi rasuah, tetapi tidak boleh dedahkan lagi kerana mungkin pegawai ini akan bersedia dengan lebih awal.

"Tuhan kurniakan saya pengetahuan dan kebijaksanaan mengenai bagaimana untuk membanteras rasuah," kata bekas juara tinju lapan kali berturut-turut itu.

Sementara tiada pihak yang mempersoalkan kehebatannya di dalam gelanggang, segelintir pemerhati politik mempertikai kemampuan bekas juara tinju itu dalam menerajui tampuk pemerintahan kerajaan.

Turut disanggah ialah kemampuan Pacquiao untuk mengembalikan ekonomi Filipina ke arah pemulihan selepas teruk terkesan akibat pandemik COVID-19.

"Saya tidak akan bertanding (untuk menjadi presiden) jika rasa tidak mampu. Kenapa perlu saya malukan diri sendiri?

"Saya tahu semua masalah dalam negara dan cara penyelesaiannya," katanya.

Pacquiao mempunyai latar belakang keluarga susah dan mula berkecimpung dalam kejuaraan tinju, berbekalkan hadiah kemenangan AS$2 (RM8.39).

Berdasarkan kenyataan aset Filipina, nilai bersih aset dimilikinya setakat 2020 ialah AS$69 juta (RM289.62 juta). - REUTERS

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Di Malaysia, parti-parti yang ingin merebut jawatan PM Malaysia, nampaknya tidak berani menjanjikan mengenai pembersihan rasuah. Mungkin tuduhan rasuah ke atas pemimpin mereka sudah tak dapat nak dielakkan lagi.

DAP dari PH lagi teruk, sedang menunggu keputusan kes-kes besar dan luar biasa, seperti rasuah terowong KM P/Pinang dan kematian, ADUN rogol dan ADUN dadah, dan segala macam lagi. Termasuk janji lidah biawak setelah merudum 22 bulan.

PAS mungkin boleh menjanjikan mengenai tiada rasuah, kerana sudah membuktikan selama memerintah Kelantan puluhan tahun masih '0' rasuah, bahkan sudah diiktiraf dan diakui.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails