Friday, December 03, 2021

Talkin buat PH di Sarawak

 

PILIHAN Raya Umum ke-14 tahun 2018 lalu telah menggegarkan landskap politik negara. Hasil janji-janji melangit dan bertalu-talu fitnah telah mengakibatkan Barisan Nasional buat pertama kali hilang genggaman kuasanya di Putrajaya termasuklah kebanyakan negeri lain di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis dan Pahang.

Atas runtuhan BN itu bangkit kuasa baru politik melalui Pakatan Harapan iaitu gabungan beberapa parti blok pembangkang sebelumnya yang didominasi DAP. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir ketika itu telah diangkat sebagai Perdana Menteri PH yang pertama.

Dengan kejayaan besar PH itu ramai yang menjangkakan sukar bagi mana-mana parti untuk mengganggu-gugat PH lagi dan mereka diyakini terus berkuasa untuk satu jangka waktu yang panjang. 

Tanggapan seumpama itu menaikkan nafsu politik PH sehingga mereka berani mengganggu-gugat banyak status quo yang selama ini dipertahankan termasuklah berkaitan kepentingan umat Melayu Islam. 

DAP yang punya kuasa dominan dalam kerajaan mula mengasak untuk memperkenalkan cita-cita perjuangannya dalam pentadbiran kerajaan. Namun tanpa diduga baru 22 bulan memanaskan kerusi-kerusi empuk di Putrajaya, kerajaan kucar itu roboh apabila Perdana Menterinya letak jawatan. Ini diikuti dengan jatuh pula kerajaan negeri-negeri mereka di Johor, Kedah, Perak dan Melaka.

Sebelumnya beberapa siri Pilihan Raya Kecil bermula di Cameron Highlands telah menyaksikan yang ‘grip’ politik PH rupanya masih rapuh dan mudah sahaja dipatahkan. Dan apabila terbentuk kerajaan baru di Putrajaya nasib mereka terus malang.

Kerajaan PH-Warisan di Sabah pula kecundang dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada bulan September 2020. PH langsung tidak dapat menyumbang untuk mempertahankan kerajaan negeri, malah mereka lebih merupakan liabiliti buat Warisan.

Kini di Melaka, PH kalah lagi. Jika pada PRU ke-14 tahun 2018 mereka merangkul negeri ini dengan memenangi 15 dari 28 kerusi. Dalam PRN Melaka baru-baru ini kemenangan di 15 DUN itu merosot teruk apabila PH hanya mampu bertahan di 5 DUN, iaitu 4 dimenangi DAP dan 1 PAN. PKR langsung tidak mampu menang walau satu kerusi.

Ternyata rakyat semakin menolak dan tidak lagi mesra PH sebagaimana pra PRU ke-14 dulu. DAP, PKR dan PAN mula diragui rakyat sehinggakan di Melaka komponen BN iaitu MCA dan MIC yang sebelum ini kalah teruk lantaran ditolak masyarakat bukan-Melayu pun mampu memenangi kerusi-kerusi yang diperuntukkan kepada mereka termasuk di kerusi-kerusi milik DAP.

Siri-siri kekalahan ini membuktikan rakyat sudah hilang kepercayaan pada PH dan tidak lagi menaruh kepercayaan pada mereka. Mungkin pengalaman 22 bulan berpayung di bawah PH memberi rakyat pengajaran bahawa pimpinan PH tidak kiralah sama ada dari DAP, PKR mahupun PAN semuanya tidak mampu memimpin dan memenuhi kehendak rakyat. 

Mereka sekadar ghairah dan galak menabur janji dan menuding jari tetapi apabila diberi peluang berkuasa mereka malah lebih teruk dari musuh-musuh politik mereka yang mereka kambing hitamkan.

Kerana itu di Sabah dan terbaru di Melaka , PH seakan tidak mampu bangkit kembali. Mungkin politik ekstrem, rasis dan tidak peduli pada sensitiviti rakyat memang tidak ada tempat di Malaysia. 

Begitu juga sikap melompat parti, rakyat di Melaka telah memberi isyarat bahawa mereka tidak dapat lagi menerima sikap atau tindakan ADUN yang melompat parti, kerana itu dalam PRN Melaka, semua calon yang melompat parti telah kalah.

Trend ini dijangka akan berulang dalam PRU ke-15 nanti termasuk di PRN Sarawak. Kini bulan Disember ini akan menyaksikan pula Pilihan Raya Negeri Sarawak. Ia berkemungkinan Pilihan Raya Negeri terakhir sebelum PRU ke-15 yang dijangka diadakan tahun 2022 nanti.  Soalnya mampukah PH, khasnya DAP dan PKR diterima oleh rakyat Sarawak setelah apa yang berlaku sebagaimana disebutkan?

Jika mereka mampu mencetuskan sesuatu yang luar biasa di Sarawak yang punya 82 kerusi DUN itu, barulah mereka punya masa depan khasnya dalam menghadapi PRU ke-15 nanti akan tetapi kiranya Sarawak juga sama sebagaimana Melaka dan lain-lain yang kita sebutkan bermakna PH bakal roboh dan hancur musnah.

Di Sarawak dalam PRN yang lalu DAP menang 7 kerusi manakala PKR 3. Malang buat PKR kini ketiga-tiga wakilnya iaitu dari Batu Lintang, Ba’kelalan dan Krian telah ‘lompat parti’ menyertai parti lain.

Sehingga saat ini tidak nampak ada lagi persefahaman antara parti-parti bawah gabungan PH untuk menghadapi PRN Sarawak ini. Seperti biasa DAP dan PKR berantakan berebut kerusi manakala PAN pula terpaksa berpuas hati dengan sisa-sisa kerusi yang tiada kepentingan buat DAP dan PKR.

Dengan trend kekalahan di Semenanjung dan Sabah, PH Sarawak juga bakal menempah ‘maut’ dalam PRN kali ini dengan GPS atau Gabungan Parti Sarawak iaitu parti pemerintah hari ini dijangka menang besar. Jika di Melaka pun calon-calon PH ada yang hilang wang pertaruhan, tidak mustahil rakyat Sarawak juga akan memberi hukuman yang sama buat mereka dalam PRN nanti.

Sebagaimana biasa, isu-isu panas dan ekstrem dimainkan oleh blok PH yang hanya memecahbelahkan antara rakyat di negeri ini selain mencetuskan kebencian dan ketegangan dengan Kerajaan Persekutuan, suatu kempen yang langsung tidak memberi manfaat buat sesiapa.

Gesaan atau ancaman untuk memisahkan Sarawak dari Malaysia pasti akan ditolak majoriti rakyat yang masing-masing telah yakin dan mahu bangkit membangun dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang dicetuskan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri. Sesungguhnya inilah peluang terbaik buat rakyat menghukum dan memusnahkan PH. 

GPS dengan sokongan Kerajaan Persekutuan perlulah berkempen dengan cara yang paling matang dan harmoni, semarakkan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang lebih inklusif dengan menjanjikan masa depan yang lebih baik dan bermakna buat semua rakyat Malaysia termasuk anak-anak Sarawak.

Rakyat Sarawak perlu tunjukkan bahawa ‘Keluarga Malaysia’ perlu bebas dari pimpinan yang ekstrem dan porak-peranda seumpama Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mat Sabu. Apa yang kita perlukan adalah kerajaan dan pimpinan yang menepati janji, yang meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat dan negara di hadapan, yang bermoral dan penuh integriti. 

Di Sabah, rakyat telah membuat pilihan tepat demikian juga di Melaka dan kini giliran Sarawak. Jika dalam PRN ini rakyat Sarawak juga bangkit menolak PH, sekali lagi landskap politik Malaysia akan berubah dan kali ini isyarat yang diberikan adalah bahawa rakyat Malaysia mahukan ketenangan dan kestabilan. 

Kemenangan yang ‘solid’ di Sarawak bakal meranapkan PH dalam PRU ke-15 nanti dan dengan itu akan hilang terus penguasaannya di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Malaysia bakal merehatkan Anwar, Guan Eng dan Mat Sabu. Dan ianya akan bermula dari PRN Sarawak. Selamat berpilihan raya rakan-rakan di Sarawak dan selamat mengundi.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 2/12/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100009880363600/posts/1652875851718411/

Sila lihat sebelum ini..
Siri Praktikal Kesihatan:

2 comments:

Anonymous said...

eh ni bukan mamat minta maaf sebab fitnah ke... apa kisah fitnah ye dak sokong tambah 22 kali boleh...

Anonymous said...

Rakyat dah faham fitnah tidak membawa kemajuan. Fitnah 90 juta mampu memenangi pru18, tapi tdk mampu bertahan lama. Berjuta pengundi tertipu oleh 90 juta, timbul kebencian melampau terutamanya pada dap dan kuncu2 nya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails