Saturday, December 04, 2021

Afghan: Wanita X boleh dipaksa kahwin. Wanita kerja?

 

Anggota Taliban di pasar menjual burung di Kabul. - Foto AFP

Wanita tak boleh dipaksa berkahwin

AFGHANISTAN: Taliban mengeluarkan fatwa menegah kahwin paksa, manakala wanita tidak wajar dianggap sebagai harta dan persetujuan wanita mesti diperolehi, jika mahu dinikahi.

Namun, Taliban belum menjelaskan hak wanita untuk bekerja dan mendapat pendidikan tinggi, selepas kumpulan itu kembali menguasai Afghanistan pada pertengahan Ogos lalu.

Perintah itu diumumkan baru-baru ini oleh pemimpin mereka, Hibatullah Akhunzad, yang dipercayai berada di Kandahar.

"Kedua-dua (wanita dan lelaki) perlu sama rata. Tiada sesiapa boleh memaksa wanita berkahwin secara paksaan atau di bawah tekanan," kata arahan itu seperti yang dilaporkan dalam portal Al-Jazeera.

Bagaimanapun perintah itu tidak menyebut umur minimun untuk berkahwin, yang sebelum ini ditetapkan pada usia 16 tahun.

Taliban juga menyebut, seorang balu dibolehkan berkahwin selepas 17 minggu apabila kematian suaminya, dan diberi pilihan untuk memilih suami baharu.

Tradisi lama negara itu ialah seorang balu mengahwini seorang daripada saudara lelaki atau saudara mara bekas suaminya, sekiranya lelaki itu meninggal dunia.

Kepimpinan Taliban juga mengarahkan mahkmah Afghanistan untuk melayan wanita dengan adil, khusus apabila balu memohon pemilikan harta pusaka.

Agensi kerajaan juga menyebarkan kesedaran mengenai hak wanita dalam kalangan rakyat mereka.

Perkembangan baharu itu dilihat sebagai saat penting yang diperjuang oleh dua wanita terkemuka Afghanistan, namun timbul persoalan sama ada Taliban akan memperluas hak wanita dalam sektor pekerjaaan pendidikan.

"Ini langkah besar, terbesar. Jika ia dilakukan seperti yang sepatutnya, ini kali pertama mereka mengeluarkan perintah seperti sedemikian," kata Mahbouba Seraj, Pengarah Eksekutif Pusat Pembangunan Skil Wanita Afghanistan.

Masyarakat antrabangsa membekukan dana berbilion dolar untuk Afghanistan menyatakan, hak wanita dan kemanusian perkara penting sebelum memberi kerjasama kepada negara itu.

Seraj turut berkata, sebelum Taliban menguasai negara itu pada 15 Ogos lalu, ahli politik negara berkenaan bergelut untuk membentuk dasar jelas mengenai hak wanita dalam perkahwinan. - Agensi

Kanak-kanak berdiri di rumah kelahiran Ketua Taliban, Hibatullah Akhundzada di Kampung Sperwan, Kandahar. - Foto AFP

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pada asasnya ajaran Islam di seluruh dunia sama saja. Pokoknya sama, kecuali ranting dan cabang mengikut keadaan keliling, suasana atau tempat. Contohnya mengenai hukum wanita berkerja dalam Islam. Kalau berbeda pun hanya soal ranting, tak perlu bising-bising.

Di Malaysia bagaimana hukum wanita berkerja dalam Islam?

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia, IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-304: 

HUKUM WANITA BERKERJAYA

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apa hukum wanita bekerja menurut Syarak?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam melayari bahtera kehidupan, sebagai manusia yang bersifat sebagai masyarakat madani, maka perjalanan adalah sentiasa menuju ke arah ketamadunan dan kemodenan di samping susun atur kehidupan bermasyarakat. Maka kerjaya adalah salah satu perkara sebagai manusia yang melaksanakan pelbagai bentuk pekerjaan untuk meneruskan kehidupan bahkan bagi menambahkan keselesaan. Pada zaman dahulu, pekerjaan adalah melalui pertanian, penternakan dan juga perniagaan. Ketiga-tiga bidang ini kemudian dikembangkan lagi dengan lebih khusus mengikut keperluan semasa.

Tugas pekerjaan bagi sesebuah keluarga pada awalnya dipikul oleh suami atau bapa. Ini sudah menjadi uruf dan adat. Begitu juga tradisi kebanyakan kaum serta bangsa. Akan tetapi setelah arus kemajuan serta kehidupan mula berubah, wanita dan lelaki seolah-olah seiring bahkan berlumba-lumba sepertimana dalam bidang pendidikan serta mencari peluang pekerjaan.

Justeru, kami bahaskan secara khusus pada kali ini berkaitan dengan isu wanita yang bekerja. Secara umumnya wanita juga bekerja pada peringkat awal sebagai membantu kepada suaminya dalam menyelesaikan isu keteraturan rumahtangga. Dengan sebab itu, perempuan digelar rabbatul bait. Kerjanya adalah seperti memasak, membasuh pakaian, mengemas rumah, mengasuh anak-anak bahkan sebahagiannya pula bercucuk tanam di hadapan rumah, menjalankan ternakan ayam, itik dan sebagainya yang menjadi penghasilan kepada masyarakat sekitar. Ini biasa dilakukan oleh wanita yang menjadi suri rumah sepenuh masa.

Kemudian wanita mula menceburi dalam bidang perguruan serta kerjaya yang bersesuaian. Sebahagian mereka melaksanakan perniagaan dengan mengambil kira apa yang dilakukan oleh Ummul Mukminin yang pertama, Khadijah R.Anha sebagai salah seorang tokoh korporat yang berjaya. Begitu juga, melihat peranan oleh al-Syifa’ R.Anha yang menjadi penyelia kepada pasar. Ada juga dalam kalangan sahabat yang membantu merawat tentera yang terluka dan cedera dalam peperangan. Begitu juga menjadi bidan kepada wanita yang bersalin seperti Ummu ‘Atiyyah.

Justeru, kerjaya bagi wanita tidaklah pelik dan bukanlah asing. Kami catatkan di sini kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya (Fatawa Mu’asirah (terj.), 2/202-205) yang menyebut: Walau bagaimanapun kerjaya pertama dan terbesar wanita yang tidak dapat disangkal dan tidak mampu ditandingi oleh mana-mana pesaing adalah mendidik seluruh generasi. Tugas ini disediakan oleh Allah SWT untuk wanita secara fizikal dan mental. Wanita perlu untuk tidak disibukkan daripada mesej agung ini dengan kesibukan isu kebendaan ataupun moral walau apa cara sekalipun. Ini kerana, tiada sesiapa yang mampu mengambil alih tempat wanita dalam tugas besar ini. Pada tugas ini juga terletaknya masa hadapan umat Islam. Melalui tugas ini juga terbentuknya kekayaan-kekayaan terbesar, iaitu kekayaan umat manusia.

Semoga Allah SWT merahmati penyair Mesir, Hafiz Ibrahim ketika beliau bermadah:

Ibu itu adalah sekolah jikalau dia menyediakannya

Menyediakan sebuah masyarakat yang baik asasnya

Tugas wanita juga adalah menguruskan rumah tangga dengan membahagiakan suami. Selain itu, membentuk sebuah keluarga bahagia yang berasaskan ketenangan, kemesraan, dan kasih sayang. Dicatatkan, wanita yang menjadi pendamping yang baik kepada suaminya dikira satu jihad pada jalan Allah SWT.

Ini tidak bermakna pekerjaan wanita di luar rumah adalah haram menurut syarak, kerana tiada sesiapa pun boleh mengharamkan sesuatu tanpa ketetapan syarak yang betul dan pembuktian yang jelas. Sedangkan asas untuk semua perkara dan perbuatan biasa adalah harus. Ini seperti mana yang sudah kita ketahui.

Dengan asas inilah kita katakan, sebenarnya pekerjaan wanita itu sendiri asalnya dibolehkan. Iaitu ia boleh jadi tuntutan sunat ataupun wajib sekiranya wanita itu memerlukannya. Contohnya, balu ataupun janda yang tiada sumber pendapatan dan orang yang menanggung, sedangkan dia berkemampuan bagi meraih pendapatan yang dapat mencukupkan tuntutan keperluan ataupun kebajikannya.

Selain itu, boleh jadi keadaan keluarga wanita itu memerlukan dia bekerja seperti membantu suami, mendidik anak-anak ataupun adik beradiknya yang masih kecil, ataupun membantu bapanya yang sudah tua. Contohnya, kisah dua orang anak perempuan seorang lelaki tua yang dinyatakan Al-Quran dalam surah Al-Qasas. Kedua-dua anak perempuan itu mengambil alih tugas bapa mereka dengan menggembala kambing:

قَالَتَا لَا نَسْقِي حَتَّىٰ يُصْدِرَ الرِّعَاءُ ۖ وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ

Maksudnya: Mereka menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga para penggembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya.”

Surah Al-Qasas (23)

Begitu juga dengan kisah Asma' binti Abu Bakar, pemilik dua tali pinggang (gelaran untuk Asma') yang membantu suaminya, Zubair bin Al-Awwam menguruskan kuda dan memahat batu bagi meleraikannya. Ini sehingga beliau sanggup memikul batu di atas kepala bagi membina dinding kebun yang sejauh jarak dari Madinah.

Boleh jadi juga keadaan masyarakat itu sendiri yang memerlukan tugas wanita seperti mengubati dan merawat golongan wanita, mengajar anak-anak perempuan, dan segala tugas yang seumpama dengannya, yang mengkhususkan kepada golongan wanita. Namun apa yang paling utama, wanita bekerja sesama wanita, bukan bersama lelaki.

Manakala penglibatan lelaki dalam beberapa situasi tertentu adalah antara bab terdesak yang perlu ditetapkan had batasan, dan bukan menjadi satu kaedah tetap.

Apabila kita membolehkan wanita bekerja, maka ia perlu dibatasi dengan beberapa syarat:

-Pekerjaan itu sendiri adalah pekerjaan yang mengikut syarak. Pekerjaan itu sendiri tidak haram ataupun cenderung ke arah melakukan yang haram. Contohnya, wanita yang bekerja sebagai orang gaji kepada lelaki bujang, setiausaha khas kepada seorang pengarah yang memerlukan mereka berdua-duaan. Selain itu, penari yang merangsang segala nafsu dan keinginan dunia, pekerja kelab-kelab yang menghidangkan arak yang dilaknat oleh Rasulullah SAW. Sama ada pemberi minum, pembawa, dan penjualnya. Juga, pramugari kapal terbang yang tugasnya memerlukan dia menghidang benda-benda memabukkan dan bermusafir jauh tanpa mahram yang menyebabkan dia perlu bermalam seorang diri di negara-negara Barat. Ataupun segala jenis pekerjaan selain daripada itu yang diharamkan oleh Islam kepada wanita, terutamanya ataupun kepada semua golongan lelaki dan wanita.

-Sentiasa menjaga adab wanita Muslimah apabila keluar dari rumah. Sama ada dari segi penampilan, gaya berjalan, pertuturan, dan pergerakan. Firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya;

Surah al-Nur (31)

Firman Allah SWT:

وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ

Maksudnya: “Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka;

Surah al-Nur (31)

Firman Allah SWT juga:

فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

Maksudnya: Janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

Surah al-Ahzab (32)

-Jangan pula pekerjaan itu menyebabkan mereka mengabaikan pekerjaan-pekerjaan lain. Contohnya seperti kewajipan mereka kepada suami dan anak-anaknya, iaitu kewajipan pertama mereka yang menjadi pekerjaan asas wanita. (Lihat Fatawa Mu’asirah –terj., 2/202-205)

Walaupun begitu, suka kami tegaskan, wanita yang berkerjaya mestilah memahami tugas hakiki sebagai isteri kepada suaminya dan ibu kepada anak-anaknya yang inginkan dambaan kasih sayang serta bantuannya ketika berada di rumah. Ini akan melahirkan perasaan kasih sayang, rahmah dan sakinah di alam rumahtangga yang akan menatijahkan Baiti Jannati. Memahami tanggungjawab dan hak sebagai ibu atau isteri serta dapat melaksanakannya dengan sebaik mungkin sudah tentu ia akan lebih dihormati dan perjalanan kehidupan kekeluargaan dalam keadaan harmoni.

Akhir kalam, kami menutup perbincangan ini dengan berdoa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Sekian.

1 comment:

Anonymous said...

Alhamdullillah. Kepimpinan taliban jelas mematuhi syara'. Ini yg jadikan amerika berang apabila syara' jadi pegangan. Kat malaysia,puak liberal pulak yg berang. Sama mcm parti roket.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails